Monday, December 13

Panorama Alam Sebelum dan Selepas Part 1

Penjejakan kaki ke bumi Denmark pada September yang lepas membolehkan saya menjadi saksi kepada perubahan musim di zon beriklim sederhana dengan deria pancaindera sendiri.

Dari musim Summer sepanas 22oC apabila bahang mentari menyinar ke musim Autumn dikala dedauan berguguran (dengan suhu purata 12-16oC) hinggalah kini, tiba musim Winter yang menggigilkan keseluruhan  206 tulang apabila suhu mencecah -5oC. 

Berikut diuploadkan beberapa keping gambar buat tatapan Bonda di Tanahair dan para pengunjung belog ini. Sungguh indah ciptaan Ilahi dan betapa nikmatnya kehidupan bagi mereka yang tahu bersyukur..

1)    Apartment kami, Grønnevej 54, St. Th.
Pn Alafiza dihadapan apartment, semasa musim panas
Pemandangan pada musim luruh
Pemandangan tatkala salju turun
2)    Dari tingkap depan rumah kami
Kanak-kanak tadika menunggu bas semasa musim panas
Seorang pekerja mengecat tanda laluan pejalan kaki di awal musim luruh
Pemandangan apabila ditimpa salju
3)    Pemandangan dari tingkap bilik tidur
Di awal musim luruh tatkala mentari masih menyinar

Salji yang memutih membaluti dahan-dahan pokok
4)    Pemandangan belakang rumah dari tingkap dapur
Semasa penghujung musim panas

Pemandangan indah apabila salji turun
5)    Pemandang di Virum Torv sebelah apartment
Gambar glamer yang masuk Berita Harian dalam ruangan Salam Perantau
Sapa nak duduk atas bangku? Kalu duduk pun nanti xxxx pun membeku..
6)    Taman belakang rumah kami
Bersenam gaya poyo di penghujung summer
Sapa yang nak bersenam sejuk2 begini?
7)    Penjaga taman belakang rumah kami
Gambar terpaksa di’sensored’kan agar dapat ditatap oleh kanak2 bawah 18thn
Tak sejuk ke dia ni, sejuk2 tak pakai baju?



Thursday, December 9

Membeli Buku Yang Berharga 5 Sen



2 buah buku yang ditempah dari Amazon Co UK berharga ₤0.01 (5 sen) setiap satu telah tiba ke pangkuan kami dengan jayanya. Ini merupakan cubaan pertama kami menempah buku secara online.  
Tempahan secara online di amazon.co.uk
Faktor yang menjadi pemangkin dalam proses penempahan secara online ini adalah disebabkan kesukaran mendapatkan buku dalam bahasa Inggeris di toko buku di Denmark, ditambah dengan harga yang sangat tidak berpatutan.

Buku pertama yang ditempah adalah untuk Cik Puan Isteri bertajuk ‘Where Rainbow End’ oleh Cecelia Ahern (harga asal adalah ₤10.99/RM 54.40) dan yang kedua untuk En Suami bertajuk ‘Facing Up: A Remarkable Journey to Summit’ oleh Bear Grylls (harga asal ₤14.99/RM 74.23).

Kedua-dua buku adalah versi kulit tebal (hardcover). Walaupun buku-buku tersebut telah digunakan (second hand), tetapi seolah-olah masih baru kecuali beberapa helaian halaman bergambar pada buku Facing Up yang hampir tertanggal.

Buku tersebut ditempah menerusi Amazon UK dari pengedar buku World of Books, West Sussex, UK pada 26 November 2010 dan tiba pada 9 Disember 2010 (14 hari untuk sampai). Walaupun harga untuk 2 buah buku tersebut adalah hanya 10 sen (RM 0.09), namun kos penghantaran menerusi Air Mail adalah ₤5 (RM 24.73). 
Bungkusan buku dari World of Books
Maka keseluruhan kos bagi dua buah buku adalah RM 24.83. Tetapi, masih lagi berbaloi-baloi sebagai wadah bacaan dikala musim sejuk sambil meneguk kopi ‘o’ panas cap dua badak yang diimport dari Ketereh, Kelantan.

Monday, December 6

Eksperimen Membuat Ais Free


Apa yang boleh buat bila kesejukan melanda? Hehe..Apabila suhu mencapai dibawah paras beku, molekul air akan berubah dari cecair kepada pepejal. Proses ini berlaku pada takat beku.    
Lantaran itu, satu ekseperimen telah saya jalankan dengan jayanya pada hari Ahad (suhu sekitar -2.5oC) yang lepas. Berikut hasil ujikaji tersebut;


Tajuk Ujikaji   : Pembekuan Ais Dengan Keadah Semulajadi Bagi Menyediakan Teh-O Ais
Tajuk secara saintifik : Natural Edible Ice Production from H2O
Bahan dan Radas:     1) 140cm3  Air bersih
                             2) Cawan IKEA
                             3) Sekotak Ice Tea Jenama Persika
Metadologi     :
1)    Sediakan segelas air
Letakkan gelas di beranda rumah

2)     Letakkan di luar rumah (misalnya beranda)
3)    Tunggu air membeku
4)    Setelah ais terhasil, basuh dan keluaran dari cawan dan hidangkan dengan teh.
Sebongkah ais terbentuk berbentuk gelas
Perbincangan  :
1)    Satu ciri luar biasa air yang dibekukan pada tekanan satu atmosfera adalah dalam bentuk pepejal ia adalah 8% kurang tumpat berbanding air cair. Air satu-satunya bahan bukan metalik yang diketahui mengembang apabila ia beku.
Nampak tak ais mengembang?

2)     Cuaca semasa musim sejuk (winter) adalah sesuai bagi membuat ais secara semula jadi. Ianya dapat mengurangkan 115 watts daripada tenaga yang digunakan oleh peti ais iaitu bersamaan 10kwH/year.

Ralat            
Cawan yang tidak ditutup boleh tercemar walaupun bakteria tidak dapat membiak pada suhu negatif
Kesimpulan  
Eksperimen telah dijalankan dengan jayanya. Segelas teh-o ais menggunakan ais yang dihasilkan secara semulajadi mengambil masa 7 ½ jam untuk dihasilkan dan hanya mengambil masa 4 ½ min untuk diminum.
Amaran        :  
Segelas air yang diletakkan di beranda rumah di Malaysia 99% pasti tidak akan terbentuk menjadi ais...walaupun di musim tengkujuh!!
Tadaa'. Dah siap dan selamat untuk diminum

…Selamat Menyambut Maal Hijrah 1432H. Apa azam baru? Tunaikan azam 1431H??

…Next post : Kegunaan Ais

Sunday, December 5

Tragedi Bermain Sledding di Furesø

Salji tengah reda. Mentari dah muncul. Suhu masih -2oC.
Saya dan isteri sepakat untuk ke ‘Pusat Bermain Ski’  di Lyngby. Perjalanan menaiki dari rumah kami mengambil masa 15 minit dengan menaiki bas dan berjalan kaki ke tasik Furesø (Sø dalam bahasa Danish adalah tasik). Malu juga membawa talam sleddin yang besar tu dalam bas..huhu. Nenek sebelah asyik mengerling je.
Jump in the air!
Meluncur pakai 'talam' sledding
Setibanya di sana, ramai juga kanak-kanak tengah galak bermain. Tak ramai sangat pada petang itu. Senang nak slide..
Turun pakai Sled best, tapi bila nak naik balik, huh penatnya

Terdapat bermacam-macam jenis papan sledding yang digunakan. Antaranya

1)    Kenderaan Kanak-kanak
Terdapat brake (warna biru) dan pemegang stereng (tapi tiada fungsi). Yang ni stereng dah patah
2)    Papan Tuju
Jenis ini paling popular kerana senang dikawal dan tidak berpusing
3)    Jenis Amatur
Digunakan oleh orang dewasa dan remaja
4)    Kenderaan Santa Claus
Diperbuat daripada kayu. Yang ni paling laju

     5)    Snowracer
Siap dengan brake kaki!
     6)    Jenis Talam
Sesuai untuk orang dewasa. Tapi sukar dikawal dan berpusing-pusing. Ini jenis yang kami pakai (Jenama Funbob)

Terdapat juga beberapa kaedah merempit sledding yang pelbagai (tiada dalam gambar-gaya superman). Antaranya

1)    Membonceng

2)    Konvoi

3)    Berpasukan

Ini gelagat orang Malaysia nih!
Dan tiba-tiba trajedi telah terjadi. Talam sleding yang dinaiki oleh isteri telah berputar-putar dan telah hilang kawalan. Dan akhirnya..plup menerjah tasik. Dan terus tenggelam.. Maka kebasahanlah beliau dari paras lutut ke bawah. Kami terus pulang kerana beliau kesejukan tidak terkira (air memasuki kasut). Tamatlah sesi latihan saya bermain sledding pada petang itu..

Kawasan tasik yang diterjun
Mangsa mengeluarkan air yang memasuki kasut

… tak sempat nak ambil video bermain sleddin, dah berlaku tragedi

…Nest post : Eksperimen Ais Free?


Saturday, December 4

Jalan-jalan Cari Pasal di Legoland

Siapa yang tidak pernah bermain Lego? Semuanya pernah bukan? Tapi pernahkah anda terfikir untuk ke tempat yang mempunyai puluhan juta Lego di sebuah tempat yang dikenali sebagai Legoland?

Kini, terdapat 4 themepark Legoland di seluruh Dunia. Pertama, di negeri asal mainan Lego, di Billund, Denmark. Lain-lain tempat adalah Windsor (England),  Günzburg (Jerman) dan juga di California (USA). Satu lagi cawangan terbaru akan dibuka di Florida pada 2011 nanti. Dan semestinya seperti yang ditunggu-tunggu cawangan pertama di Asia akan dibuka di Nusajaya, Johor iaitu di kawasan Iskandar Malaysia pada 2013 (iaitu 3 tahun lagi!)
Dan pada minggu lepas saya dan isteri telah berkesempatan ke Legoland, Billund. Pada asalnya agak berbelah bagi juga hendak pergi. Maklumla, pada musim Winter kebanyakan tempat permainan outdoor di tutup. Selain bangunan mini daripada Lego tentu diselaputi oleh Salji, ditambah suhu yang mencecah -2oC pasti akan mencengkam sampai ke tulang. 

Tapi, disebabkan 2 keping tiket ‘Christmas at Legoland’ telah ‘ditaja’ oleh ‘Cik DAZ Sdn Bhd’, kami pun sepakat untuk tetap pergi walaupun rebut salji melanda (tapi sebenarnya sebab tiket keretapi laju antarabandar telah ditempah (632kr=RM363), lagipun dapat la merasai suasana Christmas di Legoland).
Bekalan makanan: Nasi goreng cina, Nugget, Udang goreng, sosej rebus, ayam goreng kfc, muffin coklat, epal& pear serta air masak dan kopi panas
Perjalanan ke Billund (iaitu terletak di Jutland, pulau utama di Denmark) mengambil masa lebih kurang 4 jam. Kami bergerak seawal jam 6.40am agar tiba di sana pada pukul 11am. Ini berikutan  waktu siang yang lebih pendek (3.30pm dah malam) dan membolehkan kami meronda sepuasnya-puasnya di sana. Perjalanan 4 jam hampir tidak dirasai kerana gerabak yang selesa (walaupun tiket kelas biasa) di samping melihat perandangan indah kawasan pedalaman Denmark diselaputi oleh Salji.
Peralatang yang dibawa: Backpack, Sejadah, kompas kiblat, gloves, tiket, kamera, earphone, bahan bacaan dan juga stokin (beberapa pasang takut basah dan lembap)
Melihat pemandangan laut Lille semasa merentasi Funen ke Jutland
Walaupun dalam kesejukan, pelawat yang datang pada hujung minggu tersebut agak ramai juga. Suasana di sana sangat meriah dengan dekorasi tambahan sempena Christmas. Kami di sana hinggalah terbenam matahari. Jadi, sempatlah melihat kerdipan lampu-lampu hiasan di sekitar Legoland di waktu senja.
Pelbagai bentuk dan bangunan daripada jutaan keping Lego..tapi telah diselaputi oleh salji
Kemeriahan sambutan Christmas di Legoland
Walaupun salji tengah hebat melanda Denmark, kami bersyukur kerana perjalanan lancar dan tiada ‘train delay’. Kami tiba dirumah jam 10.10mlm dengan tangan dan kaki yang kesejukan serta perut yang kelaparan serta terkejut melihat halaman rumah yang ditenggalami salji separas betis. Dan seperti yang dirancang dalam agenda hari itu, setibanya di rumah kami makan Maggi dengan penuh berselera!
Souvenir #1 yang dibeli di Legoland : Figura Bionicle (Dunkan Bulk), 70kr = RM 39.50
Souvenir #2 yang di beli di Legoland: Key chain lego Harry Potter , 35kr =RM 19.50




...nanti kelik Malaysia 2013 nanti boleh la pergi ke Legoland Nusajaya

...Next post : Tragedi Semasa Bermain Sledding di Tasik Furesø

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...