Sunday, January 6

Sinar Suria di Cordoba

Travelog Jelajah Andalusia, Sepanyol - Part 2
Konvoi 2 van dan 1 kereta melalui highway baru, 4 lorong dari Malaga ke Cordoba
Day 3 : Cordoba
Mentari pagi mula garang menyinari bumi selatan Espana seawal 9.30 pagi. Perjalanan sejauh 120km ke Cordoba dari Fuengirola, Malaga selama 2 jam hampir tidak dirasai kerna begitu asyik memerhati pemandangan indah sambil mendengar celoteh Tour Manager Kelana Convoy bercerita mengenai sejarah Andalusi melalui corong walkie-talkie. Kiri-kanan lebuh raya dikepung bukit-bukau dengan hutan pokok renek dan juga hamparan ladang zaitun sejauh mata memandang. Lima terowong dan dua tol dilalui.
Pokok Zaitun hidup subur di bumi Andalusia
Menjelang tengahari, kami tiba ke destinasi pertama iaitu Madinat Az Zahra. Madinat Az-zahra adalah tapak bandar lama milik kerajaan pemerintahan Islam yang berada di atas bukit. Ia seakan bandar terpencil yang hidup secara sendiri, tapi kekal maju dan bertamadun dan menjadi pusat pertadbiran ala Putrajaya gitu. Dengan bayaran tiket EUR 1.20, kami memasuki kawasan muzium tepat jam 12 tghr. Pengunjung dijamu dengan tayangan video selama 20 min gambaran ilustrasi kehidupan dan suasana Medina Azahara zaman dahulu kala serta perbandingannya pada hari ini. Kemudian, kami dibawa menziarahi tapak asal medinat Az-zahra untuk melihat sisa tinggalan sambil mendalami rentetan kisah sejarah yang dilalui bandar ini.
Kota tinggalan, Medina Azahara
Kota seluas 112 hektar yang dibina oleh Khalifah Abdul Rahman III menjadi pusat kerajaan Islam di Sepanyol. Selain istana khalifah, kompleks ini lengkap dengan dewan tetamu, masjid, pejabat kerajaan, taman, berek tentera, bengkel, kolam dan tempat mandi awam. Kini hanya rangka binaan lama, tiang dan gerbang menjadi saksi kehebatan sebuah kerajaan yang telah hilang.
House of Ya'far
Seterusnya kami menuju ke bandar Cordoba, iaitu hanya 8km dari Medinat Az Zahra. Cordoba ataupun dalam English disebut Cordova sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, bimbang tidak tercapai apa yang ingin dikatakan. Namun, bagi yang belum pernah menjejakkan kami ke bumi Andalus, andai pernah menonton siri drama ’Suria di Cordoba’ setentunya dapat membayang keadaan dan suasana di kota Cordoba kini. Ala, drama bersiri lakonan Sari Yanti, Ady Putra dan Fahrin Ahmad dulu2 tu (2011).
Drama Suria di Cordoba. Kelihatam loceng yang diletakkan di menara The Torre de Alminar
Tidak sah jika berada di Cordoba tanpa memasuki Masjid Qurtubah [La Mezquita] yang telah diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Di dalam bangunan itu, masjid sudah hilang tanda. Yang tinggal hanya kesan-kesan sejarah dan lagenda. Semuanya sudah ditukarkan menjadi gereja. Perkarangan Masjid Cordoba yang dikelilingi pohon-pohon limau dan juga pohon tamar, seolah menyambut kehadiran pelawat. Menariknya, deretan pohon-pohon limau itu ditanam selari dengan tiang-tiang yang terdapat didalam masjid. Sungguh tenang. Namun seringkali ketenangan itu diganggu tatkala loceng gereja dari menara bergema. Menara setinggi 93m tempat muazzin melaungkan azan dari The Torre de Alminar, telah ditambah dengan loceng besar dan bertukar nama menjadi The Bell Tower. Bunyi bacaan ayat suci Al-Quran juga telah lama lenyap dan diganti dengan nyanyian gereja.  
Pohon limau dan tamar di hadapan pintu masuk Le Mezquita
Bayaran EUR8 dikenakan bagi pelawat dewasa. Huish nak masuk masjid pun kena bayar? Hmm nak buat macam mana masjid ini telah pun menjadi La Catedral de Cordoba. Rasa sedih melingkar kalbu. Bangunan masjid ini terkenal kerana adanya ornament lengkungan batu bata yang dibentuk arches yang berselang-seli warna merah dan putih menghubungkan tiang. Sebanyak 900 tiang (kini tinggal 856) dengan bahan marmar dan granit, memberikan nuansa yang sangat indah di dalam masjid. Lebih-lebih lagi tatkala cahaya matahari masuk menerangi menerusi tingkap masjid.

Info: From Monday to Saturday, from 8:30 a.m. to 10:00 a.m., it could be possible to visit the Cathedral free.

Sejarah mencatatkan tapak asal Masjid Cordoba ini merupakan sebuah tempat penyembahan kaum Roman dalam kurun ke 6 dan apabila empayar Roman jatuh, ianya dijadikan sebuah gereja.  Dan, setelah orang Islam berjaya menduduki Sepanyol dibawah pemerintahan Bani Ummayah, gereja tersebut telah diruntuhkan sepenuhnya dan dijadikan sebuah masjid. Pembinaannya dimulakan oleh Khalifah Abd ar Rahman I dalam tahun 784. Walaupun pada asalnya tiang-tiang Roman digunakan, namun apabila ketinggiannya tidak sekata, tiang-tiang berbentuk empat segi ditambah di atas tiang-tiang asal.  Ini bagi membolehkan lengkungan-lengkungan yang unik mengampu siling masjid.
Tiang-tiang gerbang dan jalur merah putih Masjid Cordoba
Seterusnya Khalifah Abd ar Rahman II menyambung pembinaan dengan mendirikan menara dan Al Hakam II memperindahkan kawasan dalam masjid. Pada keseluruhannya pembinaan Masjid Cordoba ini sebenarnya telah memakan masa selama 203 tahun. Masjid Cordoba yang berkeluasan 24,000 meter persegi ini dapat menampung 10,000 umat Islam pada satu masa dan merupakan masjid yang ketiga terbesar dalam dunia Islam ketika itu. Puncak kegemilangan adalah semasa pemerintahan Abdul Rahman III (912 - 961). Ketika itu ia adalah kota terbesar di Eropah Barat lengkap dengan masjid, perpustakaan, universiti, pasar dan balai cerap. Namun, pada tahun 1236, Córdoba telah diambil alih dari orang Islam oleh Raja Ferdinand III. Setelah dikuasai, masjid ini diubah menjadi gereja Kristian. Maka, tiadalah berkesempatan untuk umat Islam bersujud disini lagi.  Tiada lagi Imam mengimamkan solat...
Ukiran dari emas di Mihraj masih dikekalkan dan dipagar
Sewaktu melewati bangunan yang penuh dengan ukiran dan patung Kristian, ditengah-tengah bangunan tersebut terdapat Mihrab yang menghadap ke kiblat, tempat dimana imam memimpin solat suatu masa dulu. Berbentuk cekungan langit-langit yang diukir dari blok marmar dan ruang-ruang di sisinya dihiasi dengan mozaik byzantium indah. Di sekeliling mihrab terukir dengan tinta emas dan biru 99 nama-nama Asma ul Husna. Subhanallah, sungguh indah mata memandang. Memang terpegun melihat keindahan senibina masjid ini. Terselit rasa bangga.
Roman Bridge
Di luar kawasan masjid terdapat deretan kedai souvenir yang pelbagai. Naik juling jugalah mata memandang. Pening jugak nak memilih. Kalau mahu diturutkan hati, mahu dibeli semuanya. Kemudian, kami meneruskan langkah menuju ke jambatan peninggalan Roman 'El Puente Romano'. Di bawahnya mengalir arus sungai Guadalquivir. Jambatan itu menghubung ke Torre de Calahorra agak unik, tapi air sungai sungguh busuk tidak terkata. Panorama La Mezquita dan juga Alcazar yang merupakan kota pertahanan kelihatan gah dari atas jambatan.

Semasa melalui sekitar kota ini, kami temui beberapa arca tokoh-tokoh terkemuka di Spain iaitu Seneca, Averroes/ Ibnu Rusyd, dan Maimonades. Ibnu Rusydi atau di barat dipanggil Averroes, seorang cendekiawan perubatan dan ahli falsafah yang terkenal dilahirkan di sini dari keluarga yang berpengaruh. Selain beliau, Ibn Arabi, seorang ahli mistik dan ahli falsafah, dan juga Az-Zahrawi seorang ilmuwan dalam perubatan moden serta Qadi Iyad, seorang ahli perundangan Islam dan ahli theologi juga lahir di kota Cordoba.
Monument Ibn Rusyd, tokoh cendekiawan Islam terbilang.
Next post : Kota nan merah, Al Hambra
panduan melancong ke cordoba, melawat cordoba andalusia, harga tiket masjid cordoba, cara ke cordoba

Friday, January 4

Andalusia Aku Datang!


Travelog Jelajah Andalusia, Sepanyol - Part 1

Tanggal 27 Disember 2012, penulis DKKC memulakan perjalanan ke bumi Andalusia di selatan Sepanyol ‘melarikan’ diri dari suhu sejuk musim winter di Denmark yang mencengkam tulang. Berbekalkan sebungkus roti home made cinnamon-snail dan juga pasta potato salad, langkah dimulakan menuju ke Copenhagen Airport seawal jam 3.40 pagi tatkala mata masih kantuk. Penerbangan di awangan hanya disulami dengan aktiviti terbantut, menyambung lena yang tergendala.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Taala, atas kelapangan masa yang ada, kemurahan rezeki yang diberikan, kesihatan tubuh-badan yang mengizinkan, sampai jugak kami ke Malaga, Espana setelah transit beberapa jam di Brussel Aiport. Perkataan ‘Bienvenido’ yang bermaksud welcome tertera jelas tatkala menuju ke bahagian arrival di Málaga-Costa del Sol Airport (Spanish: Aeropuerto de Málaga-Costa del Sol). Bahagian terminal 2 yang dibuka sejak Jun 2011 tampak moden dan seolah berada di KLIA. Udara nyaman menghembus muka tatkala mengorak keluar dari ruangan arrival disertai senyuman krew Kelana Convoy yang setia menunggu ketibaan kami. Oh ya, kami join tour anjuran Kelana Convoy bagi menjejaki sebahagian besar warisan Tamadun Islam di bumi Andalusia.
Mezquita de Fuengirola kelihatan cantik diapit pohon tamar, tapi sayang pagar berkunci. Mezquita bermaksud Masjid dalam bahasa Spanish
Trip ini merupakan kali kedua bersama Kelana Convoy, sebelum ini pernah mengikuti trip menaiki bas Highlight of Europe – tour 6 Countries (9 days, 7 nights). Tetapi kali ini hanya disertai oleh 19 orang beserta 3 orang krew KC selama 6 hari je. Maka hanya dua buah van dan sebuah kereta kecil jenama Fiat digunakan. Kami menginap di sebuah banglo di Fuengirola, iaitu pekan kecil berhampiran bandar Malaga. Villa bernama Mercedes itu mampu memuatkan 14 orang dewasa dengan 6 bilik tidur lengkap dengan perabot, dapur, kolam mandi (outdoor) dan juga bilik riadah sungguh selesa dan memang sesuai dengan namanya. Kawasan villa yang hanya 450m dari pantai Fuengirola yang menghadap Laut Mediterranean memang mendamaikan dengan cuaca yang nyaman dan disekitarnya pulak banyak pokok limau yang lebat buahnya ditanam menghiasi jalanan. 
Aktiviti riadah di Villa para peserta Kelana Convoy di malam hari setelah seharian berjalan-jalan
Day 2 : Gibraltar
Buenocias!! (Selamat Pagi) Penerokaan bumi Andalusia dimulakan dengan menghala ke bahagian selatan menuju ke The Rock of Gibraltar. Bukit berbatu yang hanya keluasan 5km x 1km tersebut adalah asalnya kepunyaan Sepanyol tetapi telah menjadi tanah jajahan Inggeris. Gibraltar merupakan salah satu dari 14 wilayah British Overseas Teritories. Oleh itu, kami perlu menunjukkan passport apabila tiba di kawalan Imigresen selepas melepasi La Línea de la Concepción di bahagian Sepanyol. Sungguh menarik kerana berada di bandar kecil itu seolah berada di United Kingdom. Hampir keseluruhan papan tanda menggunakan bahasa Inggeris. Bas merah seolah London Bus, pondok telefon merah, peti pos surat juga warna merah ada di merata tempat. Malah matawang pound turut digunakan di sini, tetapi tak sama dengan UK kerana Gibraltar Pound (GIP) digunakan, tetapi pound sterling juga diterima.
Jabal Tariq
Nama Gibraltar diambil sempena nama Jabal Tariq (Gunung Tariq) atau Jabraltar dan kemudian hanya disebut Gibraltar. Jeneral Tariq ibn Ziyad terkenal dengan kisah membakar kapal-kapal tentera Islam. Namanya terpahat dalam lipatan sejarah.  Menurut cerita, di atas bukit setinggi 300m dari aras laut itu, Jeneral Tariq memerintahkan pembakaran kapal-kapal yang telah membawa mereka. Arahan ini membuat tenteranya kehairanan.

“Kenapa kamu lakukan ini?” tanya mereka. “Bagaimana kita kembali nanti?” tanya yang lain.
Namun Tariq tetap pada pendiriannya. Dengan gagah berani ia berseru,
“Kita datang ke sini bukan untuk kembali. Kita hanya punya dua pilihan, menakluk negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid di jalan Allah”

Kata-kata tersebut telah menaikan semangat perajurit muslim yang dipimpinnya. Bala tentara muslim yang berjumlah 12,000 orang melawan tentara musuh yang berkekuatan 100,000 tentera di bawah pimpinan King Roderick. Atas usahanya, kerajaan Islam Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun. Selain itu terdapat sebuah masjid di namakan bersempana Tariq ibn Ziyad tidak jauh dari pusat bandar Gibraltar.
Sebuah masjid di Gibraltar bernama Mosque Tarik ibn Zeyad
Kami mengambil pakej Official Gibraltar Rock Tour [EUR25/186kr/RM99] dengan menaiki van. Tour hampir 2 jam tersebut termasuk dengan pakej melawati monument The Pillars of Hercules, St. Michael’s Cave dan juga Great Siege Tunnels yang terletak di kawasan Nature Reserve Area. Terasa ngeri berada dalam van sewaktu mendaki lereng-lereng bukit yang sempit. Driver van pulak sibuk bercerita mengenai sejarah bukit tersebut, sambil tangan ligat memegang stereng. Maka kengerian berganda.

Info: Terdapat perkhidmatan Gibraltar Cable Car berharga EUR13.75 return tiket untuk dewasa. Tetapi tidak termasuk tiket melawat St. Michael’s Cave dan Great Siege Tunnels [EUR 14].
St. Michael Cave
St. Michael’s Cave sungguh menarik dan perlu dilawati jika menjejakkan kaki Gibraltar. Batuan kapur stalactites dan stalagmites yang terbentuk dari titisan air menjadikan struktur dalaman St. Michael’s Cave unik. Di kawasan puncak the Rock of Gibraltar pula wujud kolini kecil monyet yang suka menyakat pelancong. Pantang nampak makanan, terus di sambar. Sepatutnya pemandangan dari puncak bukit membolehkan kami melihat Jabal Musa yang terletak kira-kira 14 km di Morocco. Namun, kabus tebal yang ditiup bayu dari Laut Mediterranean menghalang pandangan.

Info: Dari selatan Sepanyol anda boleh menyeberangi selat Gibraltar untuk pergi ke utara Afrika ke Bandar tangier di Negara Magribi. Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk memasuki Maghribi.
Panorama dari puncak bukit Gibraltar. Kelihatan selat Gibraltar dan laluan jalan raya utama di atas landasan kapal terbang.
Kami menuju ke pusat bandar Gibraltar setelah turun dari puncak the rock of Gibraltar dan melalui the main street untuk ke Casemates Square. Tiada banyak pilihan makanan halal di kawasan tersebut, walau banyak deretan restoran dan cafe. Hanya Rock English Fish & Chips Cafe sahaja yang dijamin halal. Kami mengisi perut dengan hidangan Fish & Chips. Fries kentang yang panas dan rangup menenggelamkan hidangan ikan kod yang dirasakan kurang ’aumnya’. Bantai saja, lagipun ini bukannya siri rancangan Jalan-jalan Cari Makan. Asap tipis dari cappucino yang hangat menyimbangkan suasana di sekitar yang sesekali dihembus semilir dingin sambil mata memerhati kedai sekililing.
Masjid Ibrahim al Ibrahim sumbangan Kerajaan Arab Saudi
Usai aktiviti wajib-shopping souvenirs di sekitar jalanan main street, kami menuju ke Ibrahim-al-Ibrahim Mosque. Masjid yang terletak di pinggir laut di kaki bukit sungguh cantik dipandang, tapi sayang dipinggirkan dan kurang jemaah kerna terletak agak jauh dari kawasan bandar. Masjid tersebut dibina atas sumbangan oleh King Fahd bin Abdulaziz dari Kerajaan Arab Saudi. Walau sunyi, tetapi  Alhamdulillah, dapatlah kami menumpang bersolat dengan tenang dan selesa. 

Next post : Mencari Suria di Cordoba (Part 2)
trip kelana convoy andalusia, melawat andalusia, panduan melancong ke andalusia, tempat menarik di andalusia

Wednesday, December 26

Lip Lap Lip lap-Berlin Festival of Lights (10 gambar)

Travelog Melencong ke Berlin : Part 3 (Day 3)

Setiap tahun sejak 2005, Kotaraya Berlin berseri dengan kerlipan lampu semasa Festival of Lights. Alhamdulillah, pada festival kali ini yang berlangsung dari 10-21 October 2012 penulis DKKC berkesempatan menikmati panorama malam Berlin dibaluti cahaya.
Bradenburg Torr

Kebanyakan landmark penting dihiasi dengan lampu-lampu yang berwarna warni disertai dengan pancaran laser. Memang menarik dan penuh dengan orang ramai. Bukan selalu dapat melihat bandar orang yang bermandikan cahaya.

Lights illumination@ Hotel Adlon Kempinski 
Bradenburg Torr di kala senja
Pancaran laser promosi filem James Bond- Skyfall@ Potsdamer Platz
Postdamer Platz
Berlin Catheral (Berliner Dom)
Sila layan 6 lagi gambar versi gambar berbeza Berliner Dom

Tuesday, December 25

Dalam Hati Ada Taman: Istana Kayangan di Potsdam, Jerman

Travelog Melencong ke Berlin : Part 2 (Day 3)
Taman ala kayangan di Potsdam, Jerman
Penerokaan hari ke-3 ibukota Jerman diteruskan dengan menjejaki kawasan luar kota Berlin. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Negara jerman suatu ketika dulu pernah mempunyai raja dan berada dibawah pemerintahan monarki. Maka lantaran itu banyak istana yang megah terbina. Walaubagaimanapun banyak yang telahpun musnah semasa perang. Kami memilih untuk mengunjungi bandar kecil berhampiran tidak jauh dari Berlin iaitu Postdam. Bandar diraja ini kiranya macam Winsdor di UK, yang mana terdapat banyak istana dalam sesuatu kawasan.

Kawasan postdam terletak kira-kira 28km, dan berada dalam Zon C jika dari Berlin. Oleh itu, kami mengambil day pass ticket dengan harga EUR7/52kr/RM28. Penjalanan train S7 dari kawasan penginapanan kami iaitu dari stesen Berlin-Charlottenburg ke Potsdam Haufbahn mengambil masa 40 min. Dari situ kami mengambil bas. Mujur tiket masih laku dan boleh dipakai.

Fakta#1: Di kawasan Berlin terdapat juga nama Potsdamer platz iaitu kawasan moden di Bandar Berlin. Potsdam pulak diluar Bandar Berlin, kawasan taman-taman Istana.

Kawasan Potsdam mempunyai beberapa lokasi yang menarik dan tersenarai dalam UNESCO World Heritage. Terdapat dua Istana lama yang popular di kawasan berdekatan. Walaupun tidaklah sepopular Istana Fairy Tale atas bukit iaitu Neuschwanstein Castle, namun Istana Sanssouci dan juga Neues Palais (New Palace) tidak kurang menariknya. Tempat pertama yang dituju adalah Bradenburg Torr. Nama yang sama seperti yang yang terdapat di Kota Berlin, tetapi tembok yang ni kurang popular dan juga bersaiz lebih kecil.

Info#1: Bradenburg Torr di Postdam hanya berdekatan Sccouci Palace, boleh jalan kaki ke masuk ikut taman.
Di hadapan New Palace (4 tingkat)
Seterusnya kami bergerak menaiki bas ke New Palace. Dari jauh kelihatan dua bangunan besar tersergam megah di kiri dan kanan. Di hadapan New Palace terdapat bangunan istana yang telah dijadikan kawasan University of Potsdam. Hanya 2000 pengunjung dibenarkan memasuki ruangan Istana tersebut setiap hari. Tiket yang dikenakan agak mahal iaitu EUR14 seorang. Tapi kami mendapat potongan student price dan hanya perlu membayar EUR10/kr/RM. Audioguide dalam bahasa Inggeris diberikan secara percuma, mungkin kerana telah termasuk dalam pakej harga tiket.

Info#2: Terdapat tram dan bas yang digunakan di kawasan Potsdam. Boleh ambil peta laluan bas di Kaunter information Office samada di Postdam Haufbahn (Station) atau di kiosk information di hadapan Bradenburg Torr.

Dari luar, kelihatan istana tersebut seolah banguan biasa. Tetapi di bahagian dalaman, mak oii ada 200 bilik semuanya. Siap ada dewan theater lagi. Kat dalam plak memang cantik dan terjaga. Lantai laluan pelancong dilapik dengan plat kayu bagi mengelakkan lantai asal rosak. Maklum la, bukan setakat dinding dan syilling ada corak-corak dan ukiran bagai, lantai pun bercorak unik dan cantik. Kami bernasib baik tatkala kami di sana, pihak museum masih tengah mengadakan sambutan ulang tahun Raja Frederik III, yang mana satu pameran khas diadakan. Maka, kebanyakan barang pameran bertumpu kepada raja tersebut, kisah dari dia kecik sampai la besar.
Hierarki Raja-raja di Jerman
Di tengah Istana tersebut ada sebuah dewan ball room Grotto Hall yang cukup indah. Ala-ala kayangan macam dalam cerita fairy tales. Memang dashyat dekorasinya. Dinding, tiang dan ceiling penuh dengan corak yang memukau pandangan bertatah batuan permata, cengkerang laut (shells), batu karang (coral), marble, quartz dan juga batuan stalactites. Tetapi, peraturan tidak membenarkan kami mengambil gambar. Malah terdapat seorang pekerja Museum hampir disetiap bilik pameran. Kalau nak curi-curi tangkap gambar, nanti kena tangkap la pulak. Hampir 2½ jam kami melilau kat dalam tu. Pusing-pusing, rupanya ada lagi bilik ruangan yang belum masuk.
Sanssouci Palace pandangan dari bawah ke ke atas. Nampak jelas Terraced garden bertingkat.
Sanssouci Palace pandangan dari atas ke bawah
Seterusnya kami bergerak pula ke kawasan taman di perkarangan Sanssouci Palace. Berduyung-duyung pelancong berpeleseran. Kawasan tersebut dengan taman bertingkat (The terraced gardens). Memang cantik dan romantik panorama kawasan taman tersebut dari Sanssouci Palace. Kawasannya luas dan terdiri dan beberapa jenis taman.
Dome kaca Reichtag- Parlimen di Jerman
Menjelang petang, kami kembali ke kawasan bandar Berlin kerana telah pun menempah tiket masuk ke dalam bangunan Parlimen di Jerman iaitu Reichtag. Sebelum masuk, semua pengunjung perlu melalui kawalan keselamatan ala-ala kat Airport gitu. Maklum la nak masuk Parliment negara orang ikut je la. Parlimen negara sendiri pun tak pernah sampai.
Struktur dalaman Reichtag. Kelihatan laluan berbeza untuk naik dan turun
Cermin untuk melihat ruangan utama Parlimen. Boleh masuk tengok dari atas semasa sidang Parlimen!
Kawasan yang dibenarkan masuk adalah bahagian atas iaitu `Dome’. Tetapi kawasan bumbung pun dah cukup luas dan pengunjung boleh melihat struktur dalaman bahagian utama Parlimen menerusi cermin kaca. Design bangunan Parliment memang unik diperbuat daripada kaca. Berbekalan audio yang dipinjamkan percuma, pengunjung mendengar penerangan sambil mendaki laluan 360 darjah dengan beberapa pusingan. Apa yang unik, laluan naik dan turun tidak bertembung semasa pusingan. Pemandangan sebahagian daripada bandar Berlin kelihatan jelas dari segenap arah dari atas Dome Reichtag ni.

Info#3: Untuk masuk ke dalam Reichtag, kena booking sekurang-kurang 3 hari sebelum. Free je.
berlin, view
Panorama pemadangan bandar Berlin


Incoming tags: Cerita Kembara Perantau, trip melancong ke berlin, panduan melancong ke bandar berlin jerman, melawat potsdam, masuk reichtag, parlimen di jerman, melawat berlin jerman

Wednesday, October 17

Dejavu Di Berlin, Jerman

Travelog Melencong ke Berlin : Part 1 (Day 1&2)
DAY 1
Alhamdulillah sekali kali Penulis DKKC berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Berlin, ibu kota Jerman. Kiranya macam Dejavu gitu. Tapi kali ni lain sket, tidak secara ala backpacker macam first time datang, tapi kali ni datang berdua, bersama Cik Puan Isteri. Kiranya macam honeymoon yang entah kali ke berapa dah.

Dan kali ini, lain sedikit kerana kami memilih untuk merasai pengalaman menaiki bas plak. Perkhidmatan bus Eurolines digunakan untuk ke Berlin dari Copenhagen, Denmark dengan kos EUR72/539kr/RM287 bagi return ticket untuk seorang. Harganya agak berbaloi kerana kami mendapat 10% diskaun bagi student price. Penjalanan dari Copenhagen ke Berlin melalui jalan darat memakan masa 7 jam.

Info#1:  Penjalanan dari Copenhagen ke Berlin menaiki bas adalah paling menjimatkan. Kalau menaiki train ekspress adalah berharga EUR94/700kr/RM373 (return ticket) tetapi hanya mengambil masa kira-kira 5 jam. Jika terbang dengan flights sebenarnya hanya 1½ jam dan boleh mendapat harga yang murah jika booking awal dan semasa bukan peak holidays.

Perjalanan kami bermula di awal pagi. Ada 2 buah bas Eurolines pagi itu. Ramai jugak orang naik bas ke Berlin rupanya. Kebanyakan adalah muda-mudi, mungkin student yang berjalan di cuti pertengahan semester Autumn Break. Pabila tersedar dari lena, rupanya bas telahpun berada di dalam dek Ferry. Ferry Scandlines berlepas dari Jeti Gedser di selatan pulau Sjæland di Denmark belayar di atas lautan Baltik selama 1 jam 45 min menuju Rostock di bahagian utara Jerman.
Serpihan sisa tembok Berlin di kawasan 'Non-profit sector' berdekatan Check Point Charlie
Kami tiba di Zentraler Omnibusbahnhof Berlin ZOB iaitu stesen bas utama di Berlin. Mujurlah hotel penginapan kami hanya berdekatan iaitu terletak di kawasan Charlottenburg. Tanpa berlengah penerokaan kota Berlin bermula dengan menuju ke Check Point Charlie yang terletak berdekatan Stesen Train Underground ’U’ Kochstraße. Seterusnya kami ke Topography of Terror (Topographie des Terrors). Outdoor Museum itu di sebelah sisa tembok Berlin masih berdiri utuh di sepanjang jalan Niederkirchnerstraße.
Kawasan Muzium terbuka Topography of Terror berlatar belakang Tembok Berlin
Fakta#1: Topography of Terror merupakan kawasan HQ bagi Gestapo dan SS semasa di bawah era  Regim Nazi. Museum tersebut adalah FREE entrance dan guide berbahasa Inggeris adalah pada setiap Ahad jam 3.30pm.

Info#2: Kebanyakan Museum di Berlin di tutup pada hari Isnin. Pada setiap hari Ahad minggu pertama setiap bulan, kebanyakan Museum yang bertiket boleh masuk FREE tanpa tiket!
Menjelang petang, kami bergegas ke Jewish Museum Berlin (Jüdisches Museum Berlin). Oleh kerana tiada stesen keretapi yang berdekatan, kami hanya berjalan kaki iaitu kira-kira 850m dari kawasan Check Point Charlie. Museum ini mengenakan bayaran EUR5/37kr/RM19, tetapi kami mendapat 50% diskaun bagi student price. Museum ini ada dua bangunan yang mana bangunan baru mempunyai senireka binaan yang sangat menarik tidak seperti kebiasaan muzium dan galeri yang lain, kerana berbentuk twisted zig-zag.
Mari belajar bahasa yang di gunakan oleh orang Jews
Info#3: Lebih baik melabur wang EUR3 untuk menyewa Audioguide untuk digunakan sepanjang berada di dalam Jewish Museum Berlin , daripada terlopong tak tentu hala macam kami..

Di dalamnya terdapat tiga lapis underground, tetapi tiada tangga kerana mempunyai lantai bercerun dan seolah berada di dalam tunnel. Di hujung underground yang terakhir terdapat Holocaust Tower setinggi 24m berupa silo kosong yang agak menyeramkan. Di bahagian atas pula terdapat permanent dan special exhibition.
Fakta#2: Holocaust adalah peristiwa pemusnahan hampir seluruh Yahudi Eropah oleh Nazi Jerman dan kelompoknya ketika berlakunya Perang Dunia II. Orang Yahudi sering menyebut peristiwa ini sebagai Shoah, istilah Ibrani yang bererti malapetaka atau bencana hebat. Holocaust sendiri berasal dari bahasa Yunani, holo yang bermaksud seluruh, dan caustos yang bererti terbakar.
Yang menariknya, muzium ini adalah serba canggih dan moden. Ada paparan video sejarah orang Yahudi dalam 3D selama 9 min dan terdapat banyak sudut yang interaktif audio dan video dengan informasi yang tidak kita ketahui sebelum ini. Misalnya, topi kecil macam kupiah yang dipakai oleh orang Yahudi adalah bernama kippah atau kippo ada banyak jenis sebenarnya, bayi lelaki Yahudi bersunat dan juga tradisi upacara majlis perkahwinan dengan memecahkan gelas kaca.
Jenis-jenis kippah/koppi yang dipakai oleh orang Yahudi
Fakta#3: Tahukah anda pengasas jenama jean denim Levis adalah Levi Strauss, merupakan dari keluarga Yahudi dan membuka syarikat membuat blue jean yang tahan lasak untuk penggali emas di San Francisco. Huh, nasib baik Penulis DKKC tiada jeans berjenama Levis!

Setelah 2 jam dan dah mula muak serta tepu dengan paparan dalam Museum, kaki kami terpaksa berjalan lagi ke Mehringdam untuk mengisi perut dengan memakan kebab. Kami terpaksa beratur panjang untuk mendapat kebab dan durum di Gerai Mustafa’s Gemüse Kebab yang agak terkenal dengan kesedapannya. Setelah makan, adalah terbukti sedap dan memang berbaloi berdiri dan beratur dalam hujan renyai hampir sejam!

Info#3:Harga kebab ayam di Mustafa’s Gemüse Kebab adalah EUR2.90 (Kebab Vegi EUR2.50)bagi dan durum adalah EUR3.90. Senang nak cari gerai ni, sebab berada di hadapan pintu masuk stesen train underground laluan  U6 & U7 Mehringdam.

*************************************************************************
DAY 2
Cuaca yang cerah di pagi hari menambah keterujaan kami meneruskan penerokaan kota Berlin di hari kedua. Kami mengorak langkah dengan menuju ke Charlottenburg Palace (Schloss Charlottenburg). Walaupun terletak hanya kira-kira 1.8km dari hotel penginapan, kami memilih untuk menggunakan public transport kerana telah membeli day pass ticket. Istana tersebut adalah satu-satunya Istana di dalam kawasan Bandar Berlin yang survive semasa zaman perang. Tetapi kerana masuk berbayar, kami hanya bersiar-siar di kawasan sekitar sahaja.

Fakta#4: Kebanyakan place of interest berada di kawasan Zon A, tetapi tetapi day pass hanya boleh dibeli bagi Zon AB sahaja. Harga day pass ticket adalah EUR6.50/48kr/RM28 bagi Zon AB.

Seterusnya kami menuju ke Bradenburg Torr untuk mengikuti Free Walking Tour. Walaupun pernah mengikuti walking tour yang sama semasa berada di Berlin setahun yang lalu, tetapi dirasakan agak berbaloi berjalan bersama volunteer tourist guide kerana mereka lebih arif selain dapat mendengar cerita tentang sejarah tempat yang dilawati sepanjang perjalananan. Oleh kerana ramai pulak pelancong yang join trip kali ini, peserta dibahagikan kepada 2 group, tetapi masih lagi ramai dengan hampir 35 bagi setiap kumpulan.

Info#4: Kalau ada smartphone boleh download Tripadvisor khas untuk Bandar Berlin. Bagus dan berguna.
Bongkah-bongkah batu seolah-olah lot-lot kubur di kawasan Memorial od Murdered Jews 
Laluan walking tour adalah bermula di kawasan Bradenburg Torr > The Memorial to the Murdered Jews of Europe > The Site of Hitler’s Former Bunker > Check Point Charlie > Gardarmenmarket > Bebelplatz > Neue Wache > Museum Island dan memakan masa hampir 3 ½ jam. Namun, dirasakan tourist guide kali ni yang bernama Chris agak kurang menarik berbanding pengalaman pertama dulu dan lebih banyak memberi informasi dan fakta. Dalam berpuluh-puluh tarikh yang disebut, hanya satu je yang lekat diingatan Penulis DKKC, iaitu tanggal 17 June. Itupun sebab ada jalan bernama Straße des 17. Juni bersempena peristiwa protes besar-besaran pekerja dari East Berlin pada 1953.
Kawasan lapang di Musem Island dijadikan peta besar menunjukkan lokasi tempat peristiwa penting di Berlin
Walaupun Penulis DKKC telah menanam hasrat untuk mengunjungi Pergammon Museum, tetapi harapan pudar sekali lagi dan terpaksa dilupakan kerana kekangan masa serta dilanda kepenatan. Kami memilih untuk hanya bersiar-siar sambil berehat di kawasan Museum Island dan seterusnya melalui Hinter dem Zeighaus, lorong market yang menjual barangan dari seniman tempatan dan akhirnya berjalan pula ke sekitar menara Alexander Platz.
Train U55 dari Hauptbahnhof ke Brandenburg Torr
Menjelang senja, kami kemudiannya mengambil train S menuju ke Berlin Hauptbahnhof iaitu stesen keretapi yang utama di Jerman. Dan sekali lagi telah sesat dalam usaha mencari platform bagi train underground U, untuk menaiki train U55 ke Bradenburg Torr bagi menghayati keindahan senja dan cahaya sempena Festival of Light yang sedang berlangsung. Dan tatkala baru nak memulakan sesi photo shoot dan berposing gaya model, tiba-tiba kawasan Bradenburg Torr dipenuhi dengan umat manusia. Rupanya ada protes. Mereka berdemo untuk menuntut layanan baik terhadap refugee dan asylum di Eropah. Kacau daun betul, baru nak bergambar dan ada orang block view plak-...hmm esok masih ada.
Kumpulan protes di hadapan Brandenburg Torr
Next post : Travelog Melencong ke Berlin : Part 2 (Day2)
Tag: tips melancong ke bandar eropah, melancong ke eropah, panduan melancong ke eropah, tips melancong ke eropah, melancong ke Jerman, melawat bandar berlin, panduan melancong ke berlin jerman, tempat menarik di berlin jerman, Tips melancong ke berlin jerman,bandar berlin, bandar-bandar di jerman

Sunday, October 7

Sehari Sebagai Nelayan: Memancing Ikan Herring di Selat Øresund

Ikan segar di Denmark adalah agak mahal. Oleh itu, selalunya kami hanya mampu membeli ikan yang dah beku dan kejung je. Yang fresh tu mahal sangat. Oleh itu, bila dengar Student Club di Department penulis DKKC kat Universiti anjurkan Fishing Trip on Øresund, terus register cepat-cepat. Al-maklumla bukan senang dah dapat peluang menimba pengalaman memancing ikan di tempat orang nih.
Bot 'Skjold' yang disewa (5900kr=RM3100) untuk memancing beberapa jam di Selat Øresund 
Kami bertolak dari Vedbæk Havn, iaitu sebuah kawasan pelabuhan kecil terletak tidak jauh dari kawasan Universiti. Lokasi memancing adalah di Selat Øresund yang terletak di antara Denmark dan Sweden. Sebuah bot disewa khas dari satu company kecil bernama Skjold yang menyediakan perkhidmatan bot dan juga pinjaman batang joran untuk para pemancing. Bot yang disewa  dengan harga 5900kr tersebut adalah bersaiz sederhana dan boleh memuatkan seramai 29 orang pemancing. Tapi trip kali ini hanya 26 orang yang join. Dalam ramai-ramai tu hanya seorang gadis yang ikut serta, tu pun join sebab teman boifren dia. 
My Fisherman's friends
Oh ya, memancing di Denmark memerlukan lesen. Bukan boleh main-main pancing sana sini. Nanti kene saman. Ada dua jenis lesen iaitu untuk memancing (Angler) dan juga menjala (recreational fishermen). Kami hanya membeli lesen Angler untuk 24 jam iaitu dengan bayaran 40 kr. Lesen untuk seminggu adalah 130kr, kalau lesen setahun 185kr. Lesen memancing ini dikawal oleh The Danish AgriFish Agency di bawah Ministry of Food, Agriculture and Fisheries. Tapi senang je boleh beli online ataupun di pejabat pos dengan syarat berumur 18-65 tahun. Tapi yang pentingnya semua student yang pergi fishing trip ni tak perlu bayar sesen pun, kos beli lesen,sewa bot dan juga lunch semuanya ditanggung oleh dengan duit tabung Chemical Engineering Student Club yang kaya.

Bot yang disewa lengkap sistem navigasi moden beserta radar pengesan ikan. Mula-mula, bot berlegar-legar berhampiran Ven Island, pulau kecil milik Sweden dan kemudiannya bot berhenti bila jumpa kawasan kumpulan ikan herring. Bila dah sampai ’port’ yang sesuai tokey bot bunyikan loceng menandakan boleh mula. Dah macam pertandingan memancing plak.
Setengah jam je dah 25 ekor. Sisik ikan Herring mudah tertanggal..
Simon and Me with two Mackarel fish.
Ingatkan memancing di atas bot di tengah lautan ni susah. Rupanya senang je. Teknik casting (pemancingan dasar) digunakan dan tak perlu pakai umpan hidup. Hanya umpan buatan iaitu jig atau popper digunakan dan ianya yang bewarna terang serta berkilau di dalam air. Satu set jig ada 4 mata kail, maksudnya setiap kali pancing boleh dapat 4 ekor sekaligus.
Simon gembira dapat Ikan Herring saiz besar, 4 ekor sekali gus
Jenis ikan yang ditangkap bergantung kepada musim atau bulan tertentu. Bulan Oktober hingga Disember adalah musim ikan Herring. Oleh itu, majoriti ikan yang berjaya ditangkap adalah jenis Ikan Herring atau ’sild’ dalam bahasa tempatan. Ikan Herring di sini kecil je, bersaiz 14-18cm, rasanya jenis clurpea hanrengus membras (ikan herring baltik) sebab dah berdekatan dengan Laut Baltik. So, yang agak-agak kurang dari sejengkal, Penulis DKKC campak je semula kat dalam air. Tapi, Penulis DKKC bernasib baik kerana berjaya juga menaikkan 3 ekor ikan makerel. Kalau nak diikutkan musim ikan makerel dah berlalu (Julai- September). Selain tu, ada juga jenis ikan lain seperti ikan kod ('Torsk' in Danish), Ikan garfish (Todak) dan juga Flatfish (Ikan sebelah), tapi jenis2 yang ni kene pergi lubuknya baru dapat. Katanye bluefin tuna pun ada juga, tapi time winter je.
Begini rupa ikan Mackarel
Ikan herring bergerak secara berkumpulan besar tapi cepat beredar. Oleh itu, bot yang kami naiki perlu ’mengejar’ kumpulan ikan tersebut. Sepanjang beberapa jam memancing, bot bergerak dan berhenti sebanyak 3 pitstop. Masa pitstop terakhir Penulis DKKC dah mula angkat tangan dan berhenti memancing sebab dah banyak sangat dapat. Tak larat nak pikul bawa balik. Time tu semua dah mula sibuk membersih dan menyiang ikan masing-masing.
4 meja menyiang ikan  disediakan. Senang, balik basuh dan terus grill!
Yang kurang bestnya ikan herring ni banyak tulang. Tulang-tulangnya halus macam ikan terubuk. Sebab tu ikan terubuk juga dikenali sebagai river herring ataupun shad. Actually, Ikan parang juga dikenali sebagai wolf herring. Orang-orang Nordic countries macam Denmark ni gemar membuat smoked salted herring. Kiranya makan tradisional gitu. Sebab masa dulu2, salai je pakai asap pastu boleh buat stok time winter. Tapi kami tak reti nak buat asap-berasap ni. Just grill dan goreng2 gitu je. Sebab segar, isinya manis. Jauh lebih sedap dari yang frozen yang selalu beli. Alhamdulillah dapat rezeki di lautan, boleh la buat stok seminggu.
Satu sinki ikan hasil tangkapan. Cukup la bekalan untuk satu minggu :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...