Monday, April 29

Aku dan Pilihanraya – Pengalaman Mengundi di Luar Negara

Tanggal 28 April 2013, penulis DKKC bersama Cik Puan Isteri dan empat orang rakan dari Copenhagen, Denmark telah membuat pengundian awal sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH) melalui undi secara pos di Kedutaan Besar Malaysia di Stockhom, Sweden.
Pengundi dari Copenhagen menyemak prosedur pengundian secara pos setelah tiba di Pejabat Kedutaan Malaysia di Stockholm, Sweden
Hanya 83 orang sahaja yang berdaftar sebagai pengundi pos bagi kawasan Scandinavia. Melihatkan angka tersebut, jumlah pengundi adalah kecil berbanding jumlah sebenar rakyat Malaysia yang berada di Sweden, Denmark, Norway, Finland dan juga Iceland. Lantaran itu, tiada wakil SPR yang hadir. Segala urusan mengundi hanya dikendalikan oleh kakitangan dan staff pejabat kedutaan yang telahpun dilatih dengan terperinci cara pengendalian pilihanraya.

Prosedur Mengundi Secara Pos

Kena bawa IC untuk semakan. Boleh pulak IC contoh yang diguna adalah nama Rowan Sebastian Atkinson (Mr Bean) dari Keningau, Sabah...hehe
Setiap kad pengenalan/Passport pemilih berdaftar disemak, dan kemudiannya setiap pengundi diberikan sekeping sampul surat tertera ’Urusan Seri Paduka Baginda’ yang lebih dikenali sebagai ’Sampul Surat Keutamaan’. Di dalam sampul surat yang bewarna coklat tersebut terdapat dua lagi sampul surat kecil yang berlabel ’B’, iaitu sekeping sampul surat untuk Parlimen dan sekeping lagi untuk DUN. Pada sampul surat B tertera alamat pusat pengumpulan undi bagi kawasan Parlimen dan DUN. Di dalam sampul surat tersebut terdapat borang 2 ’Perisytiharan Identiti’ dan kertas undi. Keduaan item tersebut perlu dimasukkan dalam sampul B dan disapukan gam sebelum dimasukkan di dalam karung khas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia bagi Undi Pos. Bagi Borang 2, pengundi bebas memilih mencari saksi. Syarat bagi saksi adalah cukup senang iaitu mestilah warganegara Malaysia dan juga berumur lebih 21 tahun.
Sampul Surat Keutamaan
Bagi yang ingin mengetahui sama ada kertas undi ada no. Siri atau tidak, jawapannya adalah YA. Nombor siri tercatat di atas kertas undi dan juga Borang 2.

Contoh Borang 2, Perisytiharaan Identiti
Secara keseluruhanya, sesi mengundi berjalan lancar. Walaubagaimanapun, terdapat rakan yang memperolehi sampul surat keutamaan yang mengandungi sampul surat kecil ’B’ yang tidak beralamat dan juga telah siap disapukan gam. Pelik bin ajaib di situ. Tapi, mungkin berlaku kesilapan barangkali. Bagaimanapun, penulis DKKC sedikit musykil kenapa Borang 2 yang jelas mengandungi nama pengundi dan juga IC perlu dimasukkan bersama kertas undi di dalam sampul surat ’B’. Sudah tentu boleh disemak, siapa yang telah dipangkah. Entahlah, mungkin begitulah peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR.

Yang sedikit hampa, hanya air masak dan air batu kosong atau dalam bahasa  mat salleh ’sky juice’ disediakan oleh pihak Embassy. Hmm, ingatkan ada tersedia karipap ke, teh tarik ke. Tapi tak pe la, kami datang sejauh 520km, iaitu hampir 8 jam memandu bukan datang nak makan, tapi nak mengundi.
Kami dah mengundi, anda pula bagaimana??

Friday, April 26

Jom Pergi Mengundi sebagai Pengundi Pos / Pengundi Tidak Hadir (PTH)

Salam dari Perantauan.

Nampaknya rakyat Malaysia yang berada di luar negara bukan sahaja berhari raya di perantauan, malah juga perlu berpilihanraya di perantauan.

Kalau sebelum ini penulis DKKC pernah memcoretkan pandangan mengenai corak pengendalian pilihanraya negara maju seperti Denmark KLIK DI SINI (Hari Raya vs Pilihanraya Di Denmark) tetapi kali ini berpeluang pula merasai pengalaman sebagai pengundi luar negara.

Penulis DKKC bersama-sama lebih 2900 orang rakyat Malaysia yang telah pun mendaftarkan diri sebagai pengundi tidak hadir (PTH) dan akan mengundi pada 28 April 2013 (Ahad) ini iaitu seminggu lebih awal dari pengundi biasa di Malaysia pada 5 Mei 2013.

Walaupun terdapat 103 pusat pengundian dibuka di seluruh dunia, namun tempat mengundi yang terdekat adalah di negara jiran Denmark iaitu negara Sweden. Lantaran itu, rakyat Malaysia yang berada di Denmark dan juga dari negara Scandinavia lain seperti Norway dan juga Finland perlu ke Kedutaan Besar Malaysia Stockholm, Sweden bagi menunaikan kewajipan kepada negara tercinta.
Semakan di web SPR. Kena mengundi di Kedutaan Besar di Stockholm, Sweden
 Infografik Fakta Mengenai Pengundi Pos dan Pengundi Tidak hadir (PTH):
  • Pada PRU-13, undi pos hanya dibenarkan kepada petugas media, anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas mengawal sempadan dan pulau serta pengundi berdaftar di luar negara.
  • Pengundi pos yang layak akan dikira sebagai pengundi tidak hadir seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
  • Terdapat seramai 6,360 orang rakyat Malaysia yang telah diluluskan permohonan mereka, layak untuk mengundi secara pos di luar negara dan 2,900 PTH (Tidak termasuk warga Malaysia di Singapura, Brunei, selatan Thailand dan Kalimatan).
  • Calitan dakwat kekal adalah diwajibkan kepada semua pengundi semasa proses pengundian dalam pilihan raya, kecuali Pengundi Tidak Hadir yang diberi kelulusan untuk mengundi secara pos.
  • Sampul-sampul undi pos akan diterbangkan ke 103 pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara menggunakan beg-beg diplomatik yang diuruskan oleh Kementerian Luar Negeri.
Rasanya, mungkin ada antara kita yang masih lagi keliru apakah beza di antara pengundi awal, pengundi pos, pengundi luar negara dan juga pengundi tidak hadir (PTH). Berikut dipetik beberapa FAQ dari laman web SPR bagi menambah pemahaman kita semua..

Beza Antara Pengundi Biasa dengan Pengundi Tidak Hadir ?
Pengundi Biasa -Pemilih berdaftar yang perlu mengundi di Pusat-Pusat Pengundian biasa pada hari pengundian.
Pengundi Tidak Hadir - Pengundi berdaftar yang dibenarkan mengundi secara pos secara automatik setelah namanya didaftarkan dalam daftar pemilih. Golongan ini terdiri daripada:
a. Anggota tentera dan pasangan;
b. Penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangan; serta
c. Pelajar yang menuntut sepenuh masa di luar negara dan pasangan.

Kategori Penulis DKKC adalah yang #2 - Kategori PTH Pelajar Di Luar Negara & Pasangan
Beza antara Pengundi Tidak Hadir (PTH) dengan Pengundi Pos?
Pengundi Tidak Hadir - Tidak perlu memohon untuk mengundi secara pos.
Pengundi Pos - Perlu memohon untuk mengundi secara pos menggunakan Borang 1A.

Beza antara Pengundi Pos dengan Pengundi Awal?
Pengundi Pos - Golongan berkelayakan yang dinyatakan dalam Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 yang perlu memohon untuk mengundi secara pos menggunakan Borang 1A.
Pengundi Awal - Mereka yang dinyatakan oleh Peraturan 27A,27B dan 27C, di dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Mereka hadir mengundi di Pusat-Pusat Pengundian Awal beberapa hari lebih awal daripada tarikh hari pengundian sebenar.

Jadi, macam mana, dah faham apa bezanya? Walaupun jenis apapun anda mengundi, marilah sama-sama kita melaksana tanggungjawab sebagai rakyat. Undi jangan tak undi! dan undi adalah rahsia..

             
Mode: Dah tak sabar nak “courierkan” satu undi saya buat negara Malaysia :)
Incoming searching tags:
Terkini keputusan pilihanraya pru13 pengundi tidak hadir pth pengundi pos pengundi luar negara beza pengundi pos dan pengundi tidak hadir jenis jenis pengundi siapa pengundi pos cara pengundiaan luar negara diadakan

Wednesday, April 17

Kembara ke Kota Musical, Vienna, Austria

Alhamdulillah, atas kesempatan dan kelapangan yang ada, akhirnya sekali diberi peluang untuk meneruskan Ceritera Kembara Perantau di bumi Eropah yang lain. Kali ini penulis DKKC dan Cik Puan Isteri menyambung jejak kembara dari kawasan Western Europe (Viena, Austria) ke kawasan Eastern Europe (Budapest, Hungary). Rasanya, tidak ramai yang memilih untuk melawat kedua bandar ini kerna kedua-dua ibukota ini, tidaklah sepopular kota London, Paris dan Amsterdam. Lantaran itu dicoretkan serba sedikit pengalaman kami berdua dan juga beberapa guide dan tips, semoga menjadi panduan bagi mereka yang ingin menjejakkan kaki ke sana kelak. So, jom ikuti travelog kembara kami!

Part 1: Viena, Austria
Bendera Austria yang simple
Sedikit info mengenai Vienna, Austria

Bahasa utama : German
Matawang: Euro
Populasi: 8.2 million
Capital City: Vienna (populasi 1.8 juta)
  • Bandar Vienna dikenali sebagai bandar yang mempunyai 'Highest Quality of Life'. No.#1  berdasarkan Mercer Quality of Living Survey pada 2012
  • Penduduk dari Vienna dikenali sebagai Viennese
  • Austria tiada kaitan dengan nama negara Australia and No kanggaro in Austria!
  • Turut terkenal sebagai 'city of music' kerana terdapat banyaaak music hall. Austria juga merupakan negara tempat kelahiran pemusik Mozart.

Pesawat Austrian Airlines menerobos langit malam dan akhirnya tiba di Flughafen Wien (Vienna International Airport). Sejurus tiba, sayub-sayub kedengaran alunan music Mozart symphony 40 G minor dimainkan tatkala beratur keluar dari ruangan kabin pesawat. Pemusik terkenal Wolfgang Amadeus Mozart sememangnya ikon yang menaikkan nama Viena di persada music dunia.

Kami menaiki Rapid Train (S7) ke city center dengan membeli tiket bagi 2 zone (Einzelfahrt 2 zonen) dengan harga EUR 4. Jarak dari Airport ke pusat Bandar Vienna adalah kira-kira 20km. Seterus kami mengambil pula train underground U1 ke Keplerplatz. Alhamdulillah dipermudahkan oleh Allah SWT dan walaupun pertama kali sampai di Viena, dan segala urusan perjalanan berjalan mudah dan lancar. Menjelang 10.45 mlm, kami selamat tiba di sambut mesra oleh staff Menhninger Hotel.

Tips#1: Tiket single trip/day pass boleh dibeli di machine yang ada di setiap metro station. Ada pilihan English di paparan utama.

Buah-buhan kategori eksotik yang dijual di  pasar Naschmarkt
Tag Eins-Donnerstag (28 Marsch 2013)/ Day 1-Thursday (28 March 2013)
Hotel yang didiami menyediakan kemudahan ’guest kitchen’. So, kami tidak mengambil pakej breakfast yang disediakan oleh hotel kerana yang dikenakan EUR5.90/person. Nak save budget la katakan. Hala tuju pertama ialah menuju ke Naschmarkt. Kami membeli day pass tiket di Stesen Keplerplatz yang terletak tidak jauh dari hotel. Naschmarkt memang terkenal dengan deretan kedai yang menjual aneka produk tempatan. Walaupun, sebahagian kedai masih belum dibuka ataupun memang tak dibuka pada hari weekdays. Rupanya Flohmarkt (Flea Market) hanya berlangsung pada hari Sabtu.
Perencah nasi goreng pun ada dijual!
Tips#2: Kalau berada di Viena 2 hari, moleklah mengambil day pass 48 hrs (EUR11.70). Kami silap pencaturan dengan membeli day pas 24h sebanyak dua kali (1 day day pass adalah EUR6.70, so 2 hari =EUR13.40, dah rugi EUR8 untuk dua orang!). Semak harga tiket di sini
Tahukah anda negara Austria dulu pernah mempunyai raja. Namun, kini telahpun menjadi sebuah negara republik?
Seterusnya kami mengorak langkah menuju ke Schloss Schönbrunn (Schönbrunn Palace). Schönbrunn bermaksud ‘beautiful spring‘. Terdapat Easter market di perkarangan istana. Walaupun, masih sejuk dengan suhu sekitar 7oC, tetapi suasananya agak meriah, dengan orang ramai membeli persiapan sambutan perayaan easter ditambah dengan kehadiran pelancong. Kami mengambil pakej Imperial Palace untuk memasuki kawasan indoor Istana. Harga yang dikenakan boleh tahan, seorang dewasa dikenakan EUR 10.50/78kr/RM41. Kami meneroka ruangan dalaman hampir sejam berbekalkan audio yang diberikan. Dekorasi dan bahan pameran yang dipamerkan agak cantik, tetapi tiada ’wow’ factor kalau nak dibandingkan dengan harga tiket yang mahal! So, nak kata berbaloi tu, tak de la berbaloi sangat. Tapi entah mengapa, kat dalam palace tu memang penuh dengan pelancong!
Easter market di hadapan perkarangan istana
Di belakang kawasan istana terbentang taman yang seluas mata memandang. Sepatutnya memang cantik sebab dah masuk musim spring, so baru la sesuai dengan namanya ‘beautiful spring'. Tetapi,  ekoran suhu masih rendah dan musim sejuk yang panjang, maka bunga-bunga ditanam masih tertimbus dek salji yang masih belum cair sepenuhnya. Alahai..rugi la pulak.

Tips#3: Audio Guide dibekalkan kalau masuk Schloss Schönbrunn (termasuk harga tiket). Tapi, tak de earphone. Kene pegang letak dengan telinga macam bercakap telefon. So, jangan lupa bawa earphone sendiri (Yang jenis biasa untuk telefon), nanti tak la lenguh tanya sejam pegang benda tue.

Guide#1: Bukan semua student boleh mendapat student price apabila ingin memasuki Museum, istana dan seumpamanya di Vienna. Misalnya hanya pelajar dibawah umur 25 tahun ke bawah boleh mendapat student price bagi yang ingin memasuki Schloss Schönbrunn. Itupun hanya boleh dapat 10% diskaun.

Seterusnya kami menuju ke Viena Islamic Center untuk menunaikan solat. Alhamdulillah, rupanya syiar islam juga bersinar di bumi Austria. Memang di sekitar Bandar kelihatan juga, wanita-wanita yang memakai tudung. Masjid di Viena Islamic Center merupakan yang terbesar di Vienna dan pembinaannya ditanggung oleh Negara Arab Saudi. Masjid tersebut luas dan selesa. Sempat juga solat berjemaah Asar bersama rakyat tempatan. Ramai juga solat berjemaah walaupun lokasi masjid sebenarnya agak jauh dari Bandar dan kawasan perumahan.  Sungguh tenang terasa dapat menunaikan solat dan bertemu muslim dna muslimat tempatan ketika bermusafir.
Viena Islamic Center
Guide#2: Viena Islamic Center terletak di kawasan Floridsdorf. Tidak jauh dari staion Neue Donau (laluan underground U6). Malah, menara masjid setinggi 32m dan kubah yang bewarna biru kehijauan kelihatan jelas tersergam indah dari kejauhan.

Usai solat, kami menyambung langkah ke kawasan tengah bandar Vienna pula. Bermula dari Parlament or Hohes Haus (Austrian Parliament Building) dan seterusnya melalui taman Volksgarten ke Weltmusuem Wien. Banyak juga Muzium di kawasan tersebut. Tidak jauh dari situ, terdapat Naturhistorisk Museum Wien (Natural History Museum Vienna) dan juga Kunsthistorisches Museum Wien.  Bersebelahannya terdapat MuseumsQuartier yang menempat beberapa lagi museum dan galeri seni antaranya adalah Leopold Museum dan juga MUMOK (Museum of Modern Art Ludwig Foundation Vienna). Namun, kami sekadar melewati dan tidak melawati kerana Cik Puan Isteri kurang meminati seni dan sejarah negara-negara Eropah.
Music hall di Vienna juga ada di merata tempat
Seterusnya kami menjengah pula ke kawasan laluan shopping di tengah kota Vienna. Sememangnya,Vienna juga turut dikenali adalah most expensive city. Lalu, seperti biasa, kami hanya sekadar mencuci mata. Oh ya, di tengah Bandar banyak juga tempat Orkestra. Maka, memang banyak kelihatan pekerja-pekerja yang menjual tiket. Teringin juga, penulis DKKC merasai pengalaman menonton persembahan orkestra secara live. Tetapi terpaksa la dilupakan kerana harga tiket boleh tahan mahal, dalam EUR 40 juga. So, tengok kat you tube je la..
Suasana malam di Viena. Bangunan Österreichisches Filmmuseum di hadapan Albertina Museum
*Panjang pulak Part1 di Vienna, nampaknya kena la bersambung Part 2.
Next post: Viena Part 2 - Now or Never

Sunday, March 17

Sejarah Permainan Lego - The imagination is the limit

Kat Malaysia, barangan permainan Lego semakin mendapat perhatian ramai. Al-maklumla, Malaysia dah ada Legoland sekarang. Dan mungkin ramai yang mengetahui Lego adalah berasal dari  Negara Denmark. Tetapi mungkin ramai yang tidak mengetahui asal-usul sejarah permainan lego bermula.

Perkataan Lego adalah mengambil berasal dari perkataan ’Leg Godt’ dalam bahasa Danish yang bermaksud ’play well’. Sejarah mencatatkan bahawa pada asalnya seorang tukang kayu bernama Ole Kirk Christiansen memulakan permainan kanak daripada kayu dan seterusnya memcipta permainan dengan menggunakan bongkah plastik. Kini, generasi ketiga iaitu cucu ketiga Ole Kirk Christiansen merupakan orang yang terkaya di Denmark setelah 25 tahun menjadi CEO Lego Group.

Untuk mengetahui lebih lanjut sejarah asal usual permainan Lego, sila layan video animasi pendek mengenai sejarah bagaimana permainan terkenal seantero dunia ini bermula and and let yourself be inspired. It’s a most inspiring story with a lot of great lessons to learn!


Kini permainan LEGO ada dijual di serata dunia dengan berbagai macam model yang menarik. Dan bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak lelaki, malah baru-baru Lego telah mula memasarkan permainan untuk kanak-kanak perempuan yang lebih kepada pembinaan rumah-rumah yang bewarna pink dan tidak seperti kanak-kanak lelaki yang lebih kepada membina kereta, keretapi, kapal terbang dan sebagainya. Tetapi anda tidak menjadi kanak-kanak untuk bermain LEGO. Apa yang diperlukan hanya unlimited imigination!

10 Fakta mengenai permainan Lego
§  Lego bermaksud "Saya menyusun" atau "Saya merangkai" dalam Bahasa Latin.
§  Setiap saat, sebanyak 7 set permainan Lego terjual di seluruh dunia
§  Kira-kira 20 billion bongkah Lego dibuat setiap tahun di Kilang Lego di Billund, Denmark dan bersamaan 2 million bongkah setiap jam dan 35 000 setiap minit.
§  Ketepatan mesin acuan plastik yang digunakan adalah 0.002mm dan hanya 18 bongkah yang rosak atau di ’reject’ bagi setiap sejuta produk
§  Kiraan matematik menunjukkan terdapat 915,103,765 juta cara untuk mencantum Lego.
§  Secara purata, setiap individu di Dunia ini mempunyai 62 bongkag Lego seorang.
§  Sejak 1949, kira-kira 440 billion bongkah Lego telah dihasilkan
§  Jika semua bongkah Lego di susun, ianya dapat membalut bumi sebanyak 4 kali
§  Terdapat kira-kira 2,350 jenis bentuk bongkah dengan 52 jenis warna
§  Sehingga 2012, terdapat 6 taman tema Legoland di seluruh dunia iaitu di  Billund(Denmark), Windsor (England, UK), Deutschland (Günzburg, Germany), California dan Florida (USA) dan Nusajaya (Johor, Malaysia)
 Sumber: Lego Group


Anda suka bermain Lego??

Monday, March 11

Ørestad Copenhagen, bandar unik dengan senireka pelik

Salam 1Dunia.

Ibukota negara-negara di Scandinavian seperti Copenhagen sememangnya terkenal dengan senireka yang unik dan pelik tetapi menarik, terutamanya hiasan dalaman dan juga perabot. Tak terkecuali design bangunan.

Baru-baru penulis DKKC berpeluang menyertai aktiviti ’Sunday Walk Ørestad City’ yang dianjurkan Wondercool Copenhagen dengan kerjasama Danish Architecture Center. Wondercool Copenhagen merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan ketika musim winter.

Walau sedikit bayaran dikenakan, tetapi berbaloi kerana dapat sambil mengetahui lebih lanjut senireka bangunan yang terkenal di Denmark. Lagipun penerangan disampaikan oleh Staff Danish Architecture Center yang bernama Rasmussen itu adalah dalam English, so boleh la faham.

Ørestad merupakan kawasan bandar baru dipinggir Kota Copenhagen yang diletak di Pulau Amager. Oleh kerana kawasan ini baru dimajukan, banyak bangunan yang dibina berkonsepkan ’Urban Development’ serta ’hijau’ dan zero emission. Lawatan ’Sunday Walk Ørestad City’ bermula di Fields, iaitu shopping complex yang terbesar di Denmark. Seterusnya kami dibawa ke Ørestad Bibliotek. ‘Bibliotek’ merupakan perpustakaan dalam bahasa Danish. 

Peserta berkumpul di atas jambatan di hadapan Ørestad bibliotek. Kelihatan air membeku.
Label ditepi terusan
'Rygning kan vaeret rart... Men cigaretskodder er giftige for ænder og fisk og nedbrydes meget langsomt i naturen. Hjælp os med at beskytte livet i kanalerne. Undgå rygning på og omkring øerne.'

‘Smoking can been nice... But cigarette butts are toxic to ducks and fish and degrade very slowly in nature. Help us protect the life of the channels. Avoid smoking in and around the islands.’

Nampaknya orang di sini lebih risaukan kesihatan itik dan ikan-ikan berbanding perokok..hehe.

Rasmussen memberi penerangan panjang lebar mengenai Ørestad Gymnasium
Seterusnya kami dibawa pula ke Ørestad Gymnasium (Gymnasium=College/High School). College pelajar ini agak popular kerana telah memenangi beberapa anugerah senireka diperingkat antarabangsa. Kalau dilihat dari luar seolah bangunan biasa, tetapi rekaan dalaman dan kemudahan yang disediakan adalah bertaraf kelas pertama. Sekolah ini direka untuk keselesaan para pelajar supaya menghasilkan prestasi yang maksimum. Pakar akademik di sini berpendapat bahawa sinar matahari dapat merangsang semangat untuk belajar. Oleh itu, bangunan sekolah telah direka bentuk sedemikian rupa untuk memaksimumkan cahaya sinaran matahari. Tapi kat Malaysia, dapat cahayalebih pun macam tak meningkat je prestasi..
Suasana dalaman Ørestad Gymnasium. Photo by Adam Mørk
Orestad Gymnasium (College) di Denmark, menjadi antara bangunan kolej termewah dengan pelbagai kemudahan prasana bertaraf dunia. Setiap lantai terhubung secara vertikal dan horizontal berbentuk boomerang yang berputar untuk membentuk kerangka bangunan yang kuat. Tidak jauh dari situ terletak VM Housing. Ianya merupakan 2 blok kediaman yang membentuk huruf V dan M. Antara ciri menarik bangunan tersebut adalah beranda yang berbentuk segitiga seolah muncung dek kapal. Bangun pagi boleh menghirup udara sambil buat gaya Titanic..muahehe
Beranda rumah yang tajam.
VM Housing pandangan dari dekat
Bahagian blok kedua yang membentuk huruf 'M'
Konsep binaan apartment VM Housing juga menarik kerana hanya berdinding kaca. Oleh itu jiran-jiran bersebelah boleh melihat secara jelas aktiviti-aktiviti yang dilakukan di dalam rumah. Jenis sebegini memang tak sesuai untuk rakyat Malaysia. Bersebelahan VM Housing terletak pula bangunan apartment yang dinamakan Mountain Dwellings atau 'Bjerget' dalam bahasa tempatan. Bangunan ini juga memenangi banyak anugerah. Rekaannya ringkas yang mana dibuat diatas parking bertingkat. Setiap rumah mempunyai beranda yang ditanam tanaman hijau dan kelihatan seolah bukit jika dilihat dari jauh. Di sebelah sisi yang lain akan kelihatan jelas bentuk bangunan yang bercerum dan bertingat.
Ditepinya diletakkan 3,000 m² photorealistic mural of Himalayan peaks yang menghalang kawasan parking dari angin dan hujan. Dindingnya mempunyai lubang-lubang bangi tujuan pengudaraan dan kelihatan dari jauh imej Gunung Everest. Lawatan Sunday walk Ørestad City diakhiri dengan melawat 'Bella Sky'. Bangunan ini condong sebanyak 15 darjah pada setiap arah menjadikan ia sangat unik dan menjadi ikon kepada bandaraya Copenhagen. Bella Sky merupakan sebuah hotel dan juga pusat conference.
Foyers di hadapan hotel
Hotel Bella Sky ini mempunyai 814 bilik dan 30 bilik persidangan. Selain itu ia mempunyai 3 buah restoren, 2 bar dan juga kolam renang yang berada di dalam bangunan hotel. Antara ciri menarik rekaan hotel ini ialah panel luar hotel yang bercorak bersegi tiga. Ianya direka khas untuk mengawal suhu agar tidak terlalu panas, selain meningkatkan kadar efisien penggunaan tenaga di dalam bangunan.

Ruang lobi hotel. kelihatan dinding yang ditanam pokok menghijau
Bella Sky Hotel dan Conference Centre ini merupakan hotel terbesar yang ada di negara Scandinavia. Dari jauh bangunan berkembar itu kelihatan seperti bongkah permainan LEGO yang terpacak di bumi.

Next post: Asal-usul permainan Lego

Thursday, February 28

Berakhir sudah musim sejuk yang sejuk [Video]

Kalau menonton drama siri cerita Korea Winter Sonata, tampak suasana musim salju sunguh indah dan romantis. Namun, sebenarnya tanggapan tersebut tidak tepat. Terseksa  jiwa raga weh. Manakan tidak, kalau nak keluar beli barang-barang kat kedai tepi rumah pun kena pakai baju berlapis-lapis dan gloves bagai. Kalau tidak, tentu habis kejun jari jemari.
Setelah berminggu-minggu bumi Denmark dibaluti salju putih, kini ketulan ais semakin mencair. Negara  Scandic seperti Denmark memang lumrah dengan musim sejuk yang melampau, namun tidaklah seteruk negara jiran Sweden, Finland dan Norway. Tapi teruk la jugak, kerana cuaca sering dipengaruhi angin sejuk yang bertandang dari Siberia dan juga Rusia.

Alhamdulillah, nampaknya musim sejuk telah pun sampai ke penghujung (kena sedih ke gembira?). Biasanya bulan Mac, secara tak rasminya akan bermula musim spring la plak. Tahun ni, musim sejuk di Copenhagen buleh tahan juga lama dan sejuk memanjang.  Dengan purata suhu sekitar -3 hingga 5°C hari-hari,  sudah cukup  untuk merasai kehidupan seolah di dalam peti ais.
Membeku puding agar-agar menggunakan peti ais outdoor
Kalau dulu (kira-kira 3 tahun yang lalu), memang sangat teruja dengan kehadiran halus-halus salju yang turun ke bumi. Dulu-dulu semasa hari-hari pertama salji turun, dah jadi hobi duduk termenung kat tingkat. Teringat suatu pagi, bangun tidur dan excited giler tengok kat luar tingkap rumput menghijau jadi putih akibat frost. Maklum la orang kampung, mane pernah tengok snow ni. Sekarang ni, bila salji turun, setakat jeling-jeling je. Kalau dulu skripnya berbunyi ”Yahoo, salji dah turun. Boleh gi main sledding”. Sekarang skripnya berubah ”Alamak, salji turun lagi. Bila la nak habis musim winter ni.”

Walaupun, keterujaan sedikit berkurangan, tapi bila berpeluang dan kurang sibuk, sempat la jugak menjadi kanak-kanak ribena bermain-main atas snow dan juga membuat sesi outdoor photography. Al-maklumlah tak tahu bila lagi berpeluang menikmati pemandangan memutih dikala musim sejuk sebegini. Kalau nak harap masuk i-city, kena bayar mahal pulak. Skrang ni main snow, free. Yang asli lagi :)
Pengalaman 3 kali mengharungi musim sejuk di perantauan sungguh menarik untuk dikenang. Musim sejuk memang musim yang sangat unik. Sebab utama adalah kerana apabila salji turun, dalam sekelip mata keadaan sekeliling menjadi putih saujana mata memandang seakan-akan tanah menjadi suci dan cantik untuk dipijak dan juga berguling.
Pemandangan dari beranda rumah
Bagi yang tidak berpeluang dan tiada  pengalaman merasai kehidupan dibumi bersalji sebegini, disertakan video bonus selama 5 ½  min untuk tatapan anda.  Video tersebut dirakam minggu lepas, tatkala penulis DKKC dan Cik Puan Isteri gigih berbasikal meredah snow ke tempat belajar (jarak dari rumah ke school hanya 1.4km biasanya 4min berbasikal, tapi kerna snow turun lebat dan jalan licin, ambil masa 5 ½ min).


P/S: Gambar kat profle kat facebook pun kena tukar ikut peredaran musim..hehe

Tuesday, February 26

Menara Pisa Yang Condong lagi Senget

Day 2: Sabato (Sabtu)/2 Febbraio 2013-Pisa Toscana, Italia
A postcard from Italy to family in Malaysia!
Melawat Menara Condong Pisa menjadi satu kemestian apabila berkunjung ke Itali. Pelik juga pabila memikirkan, jauh-jauh datang, nak tengok bangunan senget je. Kalau sebelum ni pergi ke UK, hanya untuk tengok batu (Stoneedge), pastu pergi ke Berlin, Jerman tengok Tembok, kini tengok menara condong nak terbalik plak di Itali. Menara condong kat Teluk Intan, Perak pun belum sampai..

Perjalanan dengan menaiki keretapi dari Milan ke Pisa mengambil masa 4 jam. Harga tiket yang dibeli secara online agak berpatutan iaitu dikenakan sebanyak EUR 25/186kr/RM101 untuk seorang bagi perjalanan sehala. Perkhidmatan keretapi di Itali memang boleh dipuji, selesa dan memuaskan walau kami terpaksa berhenti sebanyak tiga kali untuk menukar train (maklumla tiket jenis yang paling murah). Tetapi apa yang menarik, kami berpeluang merasai menaiki tiga jenis keretapi iaitu Intercity, FrecciaBianca (speed train) dan juga regional train. Bermula dari Milano Centrale ke Genova Piazza Principe, seterusnya ke La Spezia Centrale dan akhirnya tiba Pisa S. Rossore.

Info: Tiket keretapi di Itali boleh dibeli secara online di http://www.trenitalia.com/. Mudah dan senang serta banyak pilihan.
Keretapi jenis Intercity (kelas pertama). 6 orang untuk dalam satu bilik kecil.
Kami tiba tatkala mentari sudah lama terbenam. Sejujurnya, penulis DKKC tidak dapat membohongi diri. Memang terasa sedikit debar menguasai sewaktu melalui lorong-lorong seperti sebuah labirin semasa mencari hotel penginapan. Risau jika tersesat di lorong yang salah dan juga terserampak dengan manusia-manusia jahat. Pantas kaki berlalu di celahan lorong sambil dibuai bayu malam. Tetapi, dingin malam terasa sungguh segar tidaklah sesejuk Kota Milan, namun tiada bintang-bintang berkerlipan kelihatan. Yang ada, hanyalah satu bintang berkerlipan dari hotel satu bintang tempat penginapan kami iaitu Helvetia Pensione Tower. Pensione tu bukan bermaksud tempat orang-orang pencen ye, tapi bermaksud Guest House. Jarak dari Hotel ke lokasi bangunan condong Pisa adalah sangat dekat iaitu kira-kira 250m. 
Pisa 'wonderful' view at night
Sewaktu mengabil kunci bilik, kami menanyakan kepada owner hotel “Is it the tower look nice at night?

Dengan pantas Mat Salleh itu menjawab dalam english version Italy No, it is not nice, but wonderful!” Ujarnya lagi, kawasan tersebut adalah selamat di waktu malam. Maka, usai check-in, kami bergegas ke Pisa Leaning Tower untuk melihat dengan mata kepala sendiri keunikan menara yang dah condong, tapi tak nak cecah ke bumi. Malangnya, suasana malam tidak se-wonderful mana yang diperkatakan oleh owner hotel. Indah khabar dari rupa. Lebih baik balik ke hotel dan berehat sambil menonton tv yang mempunyai hampir 300 channels! Tapi tak de satu pun yang boleh faham.
Satu pagi yang indah di Pisa
Pagi itu, sinar mentari mula memancarkan cahayanya. Alhamdulillah, barulah berbaloi datang dari jauh, dan cuaca pulak cantik berseri. Baru la berselera nak merakam foto. Menara Pisa terletak di tengah-tengah bandar Pisa, yang mana cuma sebuah bandar kecil dan sekali pandang tiada apa yang menarik kecuali menara Pisa itulah. Tetapi, berbondong-bondong juga pelancong yang datang ke sini. Walau masih diawal pagi, pelancong dah pun mulai tiba.
Gerombolan aweks2 dari Jepun yang terlebih riang
Rata-rata semuanya sibuk bergambar berlatar belakangkan menara condong Pisa ini. Antara aksi yang wajib adalah aksi ‘menolak’ menara Pisa dengan dua tangan dan juga satu jari. Mujurlah tak terbalik menara akibat ramai sangat orang yang menolak. Selain itu, ada juga yang bergaya seolah menendang, bersandar, memeluk, tertonggek dan bermacam-macam lagi. Pelbagai karenah dan gelagat boleh dilihat tak kira tua mahupun yang tua. Masing-masing sibuk bergambar dengan menara tersebut. Kelakar pun ada.

Oleh kerana kami mempunyai waktu yang panjang sebelum pulang kembali ke Denmark, kami membeli tiket untuk memasuki 4 Museum di sekitar Pisa dengan harga EUR9/67kr/RM36. Tapi, tiket tersebut tak termasuk untuk memanjat ke puncak menara Pisa. Kami memang tak berminat nak naik menara pisa tersebut, sebab tak de lift..
Info: Museum di Pisa biasa-biasa je. Tak de yang menarik. So, kalau stekat singgah sekejap ke bandar Pisa, tak payah masuk pun tak rugi.
Nampak dalam gambar tak la senget sangat, tapi sebenar memang senget la jugak. bak kata orang Indonesia  'miring'
Menjelang tengahari, perut mula ber-soprano ala nyanyian Luciano Pavarotti. Kami menemui Cafe' de Italia di celahan lorong. Itali dan pasta memang tidak dapat dipisahkan. Pasta tempatan samada spaghetti, ravioli mahupun gnocchi adalah berbeza dari segi tekstur dan rasa. Kualitinya memang tiada tandingan. Apatah lagi dengan pilihan makanan laut yang pelbagai seperti scampi, gamberetti dan sepie. 

Dek kerana tiada tanda halal tertera, kami hanya merasai spagethi kosong bersos tomato. Walaupun hanya berkuahkan tomato puri, tapi kesedapannya memang terserlah, al-maklum la makan real spagethi kat restaurant di Itali la katakan. Dan memang patutla dalam filem lakonan Julia Roberts 'Eat, Pray, Love', lokasi 'eat'nya adalah di Itali.
Seterusnya kami hanya meronda-ronda di kawasan sekitar sampai mencari souvenirs. Di sekitar Menara Pisa memang banyak deretan kedai cenderamata. Harganya agak murah dan ada yang semurah EUR 1 sahaja. Bolehlah beli sebagai tanda kenangan melawat ke menara Pisa. Selepas ni, boleh la ke Menara condong kat Teluk Intan plak..

incoming tags: panduan ke pisa itali, melawat bandar itali, melancong ke pisa, melawat pisa, tempat menarik di itali, cara ke pisa

Sunday, February 10

Shopaholic la sangat di Milan, Itali

Day 1: Venerdì (Jumaat)/1 Febbraio 2013-Milano, Italia

Hasrat hati untuk berjalan-jalan meredah ke Itali mungkin sudah agak lama, tetapi ia lebih sekadar angan-angan. Tapi pabila peluang menjelma, Alhamdulillah angan-angan pun menjadi kenyataan. Manakan tidak, mata mana yang tak terpinar melihat flight tiket dari tempat kami di Copenhagen menuju ke Milan hanya 386 kr (RM215) je, pergi balik. Walaupun hanya dengan penerbangan tambang murah Easyjet, tapi tak kisah la kan, janji selamat sampai. Perjalanan di awan biru selama 2 jam 10 minit disulami dengan aktiviti merangsang minda dengan bahan bacaan di Ipad. Sekali-sekala dari nun jauh kelihatan banjaran dan gunung yang diselaputi ais. Indah sungguh ciptaan Allah SWT.
 “Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapkannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” Surah al-Nahl: 15)

Harapkan cerah sampai ke destinasi, tapi malangnya berkabus pula di Milan. Langit kelabu tebal menyambut kehadiran penulis DKKC dan Cik Puan Isteri yang buat pertama kali memijak bumi  Itali tatkala menjelang jam 12 tghr. Awan yang terpilu membaluti seluruh kawasan, sedar-sedar kapal terbang Airbus A320 EZY 2654 dah pun selamat mendarat. Papan tanda "Benvenuti in Italia" (Selamat datang ke Itali) jelas tertera sewaktu melewati ruangan arrival Terminal 2 di Milano Malpensa Airport. Kami memilih untuk menaiki Malpensa Ekpress yang berlepas dari Terminal 1 untuk ke Milan City Center, sejauh 45 km dari airport. Lantaran itu, kami harus menaiki free shuttle bus dari Terminal 2 ke Terminal 1. Setelah 50 min, dengan bayaran tiket EUR10, maka tibalah kami di stesen keretapi utama di kota Milan iaitu Milano Centrale.

Info: Banyak perkhidmatan bus dari Terminal 2 (khas untuk flight Easyjet) ke Milan City Center dengan bayaran tiket EUR10 (ambil masa sejam).

Langkah kaki pantas terus diatur mencari hotel penginapan yang hanya selama ini dilihat di dalam peta google maps. Hotel Nettuno [Via Tadino 27, Stazione Centrale] dipilih kerana lokasi yang strategik berdekatan Stesen Metro Lima dan juga kerna harga yang berpatutan. Usai menjamu perut dengan bekalan yang dibawa dan solat, tanpa berlengah lokasi pertama yang dituju adalah Museo della Scienza e della Tecnologia Leonardo da Vinci (National Museum of Science and Technology Leonardo da Vinci) di Via San Vittore 21 - 20123 Milano. Dek kerana sudah lewat petang (jam 3.45ptg) kami hanya di kenakan EUR4 (RM16.50) untuk last minute visit disebabkan museum ditutup jam 5 pada hari weekdays. Rupanya Leonardo da Vinci bukan setakat seorang pelukis malah beliau juga adalah sculptor, architect, musician, mathematician, engineer, inventor, anatomist, geologist, cartographer, botanist, . dan juga penulis. Kiranya semua bidanglah dia ni berbakat.

Info: Harga tiket masuk ke National Museum Leornado adalah EUR10/RM41 dan EUR7/RM29 untuk student  price. Sebenarnya tak berbaloi sangat kalau dikenakan RM41 untuk masuk muzium cam gitu2 je.
Museum Leonardo Da Vinci menempatkan berbagai  sceince section antaranya  energy, health, art dan juga transportation
Matahari sudah mula condong ke barat. Pukul 5.00 petang bererti sekitar ½ jam lebih lagi waktu maghrib akan masuk di kawasan Milan. Kami membatalkan hasrat ke lokasi letaknya karya lukisan tersohor Leornado Da Vinci yang terkenal di Milan iaitu ’The Last Supper’. Dikhabarkan kalau hendak melihat  karya tersebut di “Santa Mariadella Grazie Chuch”, hanya 20 minit je dibenarkan, itupun kena booking tiket seawal 2 bulan. So, kirim salam je la kat Leonardo da Vinci. 

Lantaran itu, kami terus ke Piazza del Duomo. Antara landmark yang terkenal adalah Duomo dan Glass Dome Galleria ataupun Galleria Vittorio Emanuele II. Di dalam Galleria tersebut tersergam megah butik Prada dan Louis Vuiton dan juga beberapa kedai ternama yang lain. Niat di hati ingin melihat-lihat suasana malam di Kota Milan. Tetapi suasana di luar agak kelam. Kerlipan lampu tenggelam kerana langit malam sangat kelabu diselubungi kabus. Musim sejuk masih berbaki walaupun sudah tiada salji. Ditambah dingin malam, kami memutuskan untuk melabuhkan perjalanan hari pertama dan pulang ke tempat penginapan sambil mencari kedai Pizzeria. Jangan tertukar ye Cik Kiah, Piazza bermaksud ’square’ dan Pizzeria baru la kedai piza.
Duomo at Night
Kalau ke Itali memang tak sah kalau tidak menjamah kepingan pizza  yang sememangnya terkenal dari negara tersebut. Kami singgah di Kedai Pizza D’asporto (Pizza The King). Bukan senang nak order pizza, semuanya dalam bahasa tempatan dan ada puluhan jenis. Dengan isyarat tangan dan berbicara seolah ayam dengan itik, kami akhirnya memilih sekeping Pizza vegi max size. Nah, amik kau, kena EUR14/RM58 sebiji! Max size tu memang gedabak punya besar. Rupa tak cantik, tapi memang menyelerakan pekena true Italian pizza!

Day 2: Sabato (Sabtu)/2 Febbraio 2013
Tahukah anda orang Italian hanya minum coppuccino di pagi hari (sebelum jam 11)?
Buon giorno! (Selamat Pagi!) Rintik-rintik hujan membasahi bumi Milan pagi itu. Tatkala mengutarakan soalan kepada receptionist hotel, tempat mana yang elok dan best untuk bersarapan, receptionist dari Sri Langka itu mencadangkan kami ke il bar di Marco tidak jauh dari hotel. Pelik juga, kami nak minum kopi coppuccino je, tapi bukan nak teguk minuman keras di Bar! Rupa-rupanya memang semua kedai kopi/caffè di sini dinamakan Bar. So, jangan pandang serong ye, kalau orang melayu masuk bar di Itali. Seterusnya kami ke square kecil di Lima untuk menjengah Pasar Minggu di situ. Tanpa menghiraukan desah angin dan hujan yang menyejukkan, lorong-lorong gerai diredah satu persatu. Kebanyakan barangan yang dijual adalah sayur-sayuran dan tangkapan hasil laut yang segar megar dan juga barangan dapur. Banyak juga sayur-sayur yang pelik2 kelihatan.
Macam-macam ada!
Penerokaan hari kedua di Itali dimulakan ke Castello Sforzesco (Sforza Castle) menggunakan Metro Line M1 (warna merah). Sistem pengangkutan awam di Itali (metro underground dan keretapi) boleh dikatakan agak efisien dan juga bersih. Kami mengambil 24hrs day pass dengan kos EUR4.50/RM18.50 seorang dan ianya sangat berbaloi serta murah. Jarak dari Lima Station ke Cairoli station tidak jauh, hanya mengambil masi lebih kurang 12 min. Dan jarak dari metro station ke Sforza Castle juga tidak la jauh. Castle ini memang berbaloi-baloi untuk dilawati dan hanya dikenakan EUR3/RM12 (student price= EUR1.5). Walaupun tidaklah secantik castle2 lain di Eropah, tetapi bahan pameran yang di pamerkan agak menarik. Di situ juga terdapat beberapa museum di dalam satu kawasan dan juga taman yang luas. Dan antara yang menarik adalah the Sala Delle Asse iaitu satu bahagian ceiling, hasil kerja tangan Leonardo da Vinci.
The Torre del Filarete yang terletak di Sforza Castle
Seterusnya kami bergerak pula ke Pinacoteca di Brera (Brera Art Gallery). Di situ letaknya galeri lukisan terkenal dari seluruh pelosok Itali. Kami memutuskan untuk segera beredar setelah tiba. Kenapa? Hmm dek kerana sudah muak dan pening menghayati seni dari pagi. Lalu seterusnya kami meredah laluan jalanan ke square yang menempatkan Teatro alla Scala (La Scala), opera house terkemuka di Milan. Nak jalan2 kat Itali sangat kan...jalan lah sepuas hati. Tetapi banyak laluan pejalan kaki di situ hanya berturapkan batu-batuan yang tidak sekata, lalu mempercepatkan proses kaki menjadi lenguh dan letih.
Pengunjung menunggu arahan dari bodyguard yang memberi arahan dan kebenaran untuk masuk. Tak boleh ambil gambar dalam kedai tu. 
Dari kejauhan kelihatan orang ramai beratur dan berkumpul. Rupanya semua orang sedang beratur nak masuk kedai roti! Kami yang pelik pun terjoin sama dan masuk barisan. Kedai Panzerotti Luini [Via Santa Radegonda, 16, 20121 Milano] tersebut memang menarik dengan bermacam jenis roti pastry. Tapi tak la nampak macam roti sangat, lebih kurang karipap bersaiz besar je. Yang hebatnya, siap ada bodyguard you! Dah macam nak masuk kedai emas la pulak.

Tidak jauh dari kawasan tersebut terdapat banyak deretan butik pakaian dan juga gedung-gedung menjual kasut dan beg. Di sini, ramai betul wanita yang memakai beg LV dan ramai juga yang bergaya dengan Alviero Martini 1a Classe Handbags. Rupanya brand Alviero Martini ni memang dari Itali. Patut la banyak orang pakai kat sini. Tak kenal ke? Ala yang handbeg jenis kulit design vintage yang ada peta dunia tu la. Apa yang pasti setentunya barangan-barangan kat sini adalah yang asli. Di sini, membeli barangan palsu adalah menjadi suatu kesalahan tau.
Deretan bendera-bendera dari pelbagai negara sempena Universal Exposition (EXPO 2015)  
Milan memang syurga untuk membeli belah especially for designer stuff dan juga bagi orang yang mempunyai poket yang tebal. Tapi kalau poket nipis pun boleh asalkan ada kad kredit gold platinum berkeping-keping sekeping dua. Kononya, kat Milan ni seolah pentas catwalk, orang bergaya sakan dan memakai jenama branded2. Tapi sebenarnya tak de la nampak sangat. Mak cik dan nenek di Copenhagen lagi pandai bergaya. Tapi mungkin kerana tak kelihatan kerana berselubung di sebalik jaket tebal menahan kesejukan, kot.

``Banyak betul Kedai jenama Saldi kat Milan ni.'' Kata Cik Puan Isteri.

Hehe..rupa-rupanya 'saldi' tu bermaksud 'sale' dalam bahasa Italy. Kami tak berani nak ke kedai branded2 sangat. Nanti tersangkut dan terbeli pulak. Setakat window shopping dan cuci mata yang dimasuki habuk cukup la. Dan kalau jurujual datang melayan bagitau je "Grazie, vorrei dare un'occhiata," (terima kasih, saya lihat-lihat dulu).
Piazza del Duomo
Sebelum meninggalkan kota Milan untuk bergerak menuju ke Pisa plak, kami sekali lagi ke Piazza Del DuomoThe Duomo ataupun Cathedral bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh orang muslim. Cukuplah sekadar melihat-lihat senibina gothicnya. Oh ya, di kawasan dataran tersebut memang seramai-ramainya Pak2 Itam yang suka-suki je datang menghampiri pelancong yang lalu-lalng,dan offer nak bagi tali benang berwarna-warni konon ada luck dan charm. Ada juga yang terus datang dan mengikat wristband ke tangan orang.  Lepas tu, boleh pulak mintak suruh orang bayar. Kami berbuat dek je, betullah apa yang disarankan oleh web www.italyguide.it, ‘It's ok to be rude towards this kind of people’.

Tapi, buat tak layan pun ada juga yang asyik datang mengacau. Naik serabut kepala. Nak berposing bergambar pun terganggu. Dan ada satu lagi taktik scam ialah depa2 ni sengaja tabur biji jagung berdekatan dengan kita, bila bergambar. Maka, berduyun la burung merpati yang tidak bersalah datang makan. Modus operandi mereka mudah je, mula-mula suruh kita tadah tangan, sebab kononnya nak bagi suruh kita bagi makanan kat burung2 dan juga bergambar dengan burung. Pastu, mereka akan paksa tanpa rela minta bayaran.

Dan dah ada mangsa dah pun yang terkena. Nasib baik melayang EUR2 je. Huhu.
Ada pernah kena tipu daya scam macam ni?

Next post: Pisa, Menara Condong Lagi Senget!
Incoming searching tags: panduan ke milan, melancong ke milan. tips ke milan itali, melawat milan, jalan.jalan ke milan, melancong ke itali

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...