Monday, August 26

Beraya Di Bergen Dengan Hidangan Daging Ikan Paus

Part 1: Journey of a Lifetime, Norway Fjords (Day 1)

Alhamdulillah, dengan limpah dan kurniaNya sekali lagi penulis DKKC dan Cik Puan Isteri diberi peluang untuk menjejaki ke bumi Norway pada 9 Syawal yang lalu. Kiranya trip kali ni, kami pergi beraya ke bandar Bergen, walaupun tak de jemputan dan saudara mara di sana. Kota yang kecil yang berada di barat Norway itu merupakan bandar kedua terbesar di Norway dan merupakan syurga dunia bagi pencinta keindahan alam. Sebelum ni, kami berpeluang meneroka selama 8 jam ibunegara Norway iaitu, bandaraya Oslo setelah belayar dengan cruise.
Kami mendarat di Bergen Airport, Flesland-Avinor setelah 1 jam 20min merentas Selat Kattegat dan North Sea dari Copenhagen, Denmark menerusi Norweigian airlines. Dari airport, kami menaiki bus untuk ke pusat bandar. Syukur alhamdulillah, urusan perjalanan berjalan lancar walau cuaca tidak menyebelahi kami.

Tip#1: Jarak airport Flesland ke Bergen hanya 17km, 25min menaiki bas. Terdapat dua jenis bas iaitu flybussen dan FlybussBergen. FlybussBergen lebih murah (beza 30NOK) dengan harga 100NOK (RM55) bagi return ticket (student price). Tiket boleh dibeli dengan driver (hanya kad kredit diterima).

Kami berada di Bergen selama sehari, sebelum meneruskan perjalanan menerusi pakej retun trip ’Norway in the Nutshell ®’. Bergen memang merupakan pintu gerbang untuk menerokai keindahan Fjords di Norway. Oleh kerana sisa waktu adalah singkat di Bergen, maka setiap detik waktu yang berlalu tidak dipersia dan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Bandar pelabuhan kecil yang dinobatkan salah satu dari ’European Capital of Culture’ pada tahun 2000 tidak kurang menariknya.

Sedap ke Daging Ikan Paus?
Bandar Bergen cukup sinonim kepelbagaian hidangan seafood yang dikatakan murah dan segar, terbaik dari laut la katakan. Bagi rakyat tempatan, harga yang ditawarkan adalah sangat murah dan hanya dijual seolah pasar tani di Malaysia. Namun, bagi pelancong seperti kami, harga memang boleh tahan mahal. Lokasi tempat pasar seafood adalah 'fish market' di Fiskertorget. Tunjuk saja mana satu pilihan kalbu. King crab, udang kara dan apa saja, maka jurujual bisa masakkan untuk anda samada rebus atau grill. Tapi, bersedialah dengan wang besar. Tapi jangan risau, kalau wang tidak mencukupi anda juga boleh bayar dengan diamond and gold!
Bergen Fish Market
Tip#2Tidak banyak money changer di bandar Bergen. Wang boleh ditukar di Tourist Information Centre bersebelahan Fish Market (tapi, lebih baik tukar wang di airport kerana rate lebih baik). Kalau anda mempunyai matawang Euro, jangan risau kerana kebanyakan kedai souvenirs malah gerai menjual seafoods menerima matawang Euro.

Penulis DKKC begitu seronok kerana dapat mencuba daging ikan salmon dan juga pelbagai jenis kaviar secara percuma di setiap gerai. Antara yang eksotik, adalah pengalaman merasai daging ikan paus. Ikan paus merupakan sejenis mamalia kerana berdarah panas dan mempunyai paru-paru dan juga menyusukan anak. Ikan paus adalah halal dimakan dan tidak perlu disembelih walaupun adalah sejenis mamalia laut. Pandangan dari majoriti Ulama bahawa segala haiwan yang hidup di air hukumnya boleh dimakan kerena termasuk kategori ikan. Dalil yang membolehkannya adalah nas Al-Qur'an surah al-Ma'idah, ayat 96 "Dihalalkan untukmu sekalian haiwan buruan laut dan makanan laut".
Daging paus, sekilo 590NOK (RM323) je
Bagi yang ingin mengetahui apakah rasa daging ikan paus ni, hmm, sebenarnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, namun bagi Penulis DKKC rasanya adalah seperti daging lembu biasa, tetapi tidak liat. Rupanya seperti daging, tetapi warna agak gelap, hampir kehitaman. Oleh kerana tidak puas mencuba secara percuma ’free taste’ yang ditawarkan jurujual, kami memilih sepinggan yang lengkap dengan pelbagai jenis seafood segar sebagai hidangan tengahari. Walaupun, harganya tidak terkira mahalnya, namun apakan daya masa takkan kembali dan peluang hanya sekali, lantas kami pejamkan mata menggores kad kredit bagi menikmati sepinggan ’cold dish’ yang berharga 250NOK (RM 137). Tetapi berbaloi kerana makanan laut tersebut sungguh sedap dan segar, malah kesedapan isi king crab dari Norweigian Sea masih lagi terasa hingga kini dan menari-nari dalam mulut.
sepinggan potato salad, salad biasa, hirisan ikan salmon, ikan salmon berempah, udang halus yang direbus, udang kecil yang manis, udang kara, batang kaki king crab dan juga isi daging paus sungguk enak dicicah dengan honey mustard sauce
Bergen-The City of Rain in Norway
Perut kenyang, hati pun girang. Alhamdulillah. Seterusnya kami berjalan pula ke sekitar Bryggen, kawasan deretan bangunan berwarna-warni yang telah digazetkan sebagai salah satu dari lokasi World Cultural Heritage oleh UNESCO. Bangunan yang dibina sejak 1702 tersebut kelihatan senget bila dilihat dari dekat dan seolah hampir runtuh.  Kompleks deretan 17 bangunan yang diperbuat dari kayu tersebut kini menjadi tarikan pelancong yang menempatkan beberapa galeri dan muzium selain kedai cenderahati dan juga restoran/cafe.
Deretan bangunan kayu berwarna warni bryggen
Hujan rahmat turun mencurah-curah seolah tiada tanda untuk berhenti tidak mematah semangat kami untuk meneruskan pula perjalanan ke Bergenhus Fortress, iaitu tembok pertahanann yang berdiri utuh di muara Bergen yang kini menjadi muzium. Hujan dan Bergen memang tidak dapat dipisahkan. Bayangkan, hujan turun setiap hari berturut-turut selama 85 hari dari 29 Oct 2006 - 21 Jan 2007. Oleh itu, bagi penduduk tempatan hanya ada dua jenis cuaca, sama ada hujan renyai ataupun hujan lebat. Sinar mentari sudah tentu memberi sinar kebahagian kepada warga tempatan. 
Pahlawan viking giat berlatih di medan lapang di hadapan Bergenhus Fortress
Memetik Raspbery Liar di Gunung Fløyen
Bandar bergen dikelilingi oleh 7 gunung. Lantaran itu sukan aktiviti lasak seperti hiking adalah popular di kawasan tersebut. Bagi yang ’malas’ mendaki tetapi masih ingin melihat kecantikan bandar Bergen dari puncak gunung Fløyen, jangan risau kerana anda boleh menaiki kereta kabel/funicular yang digelar ’Fløibanen’. Kami memilih untuk menjadi sedikit ’rajin’ iaitu menaiki funilar ke puncak gunung dan berjalan kaki menuruni bukit yang setinggi 320m. Sebenarnya bukan rajin sangat pun, tapi sebab perlu membayar 40NOK (RM22) bagi menggunakan kereta kabel untuk naik dan turun yang hanya mengambil masa 8  minit!

Tip#3Laluan mendaki naik/turun gunung Fløyen agak tricky kerana tiada papan tanda. Tetapi, anda boleh follow pelancong yang lain, kerana ramai juga yang tidak menaiki kereta kabel, sebab mahal sangat, tapi kalau pelancong tersebut pun tak tahu jalan, anda pun akan turut sesat!
Pemandangan dari puncak gunung Fløyen
Memang cantik pemandangan dari puncak gunung, baru nampak rupanya besar jugak bandar Bergen tu. Perjalanan turun menuruni gunung Fløyen memakan masa hampir 40 minit. Di lereng bukit, banyak sungguh pokok raspberry tumbuh meliar. Cer teka, siapa yang paling ghairah mengutip buah beri liar ni? Tentu la Cik Puan Isteri juaranya. Tekun sungguh memetik, maklum la katanya kat Malaysia tak de pokok raspberry free sebegitu. Lagipun, kat kedai pun mahal harga.
Ini lah rupa raspberi yang berjaya dipetik. Ada yang masam, ada yang manis
Tiada Yang Murah di Bergen
Yang pastinya tiada apa yang murah di seluruh Norway termasuklah di bandar Bergen. Bagi kami yang telah biasa menetap di bandar di negara Scandinavia, iaitu Copenhagen, pun tetap terasa kemahalannya. Bayangkan, sebatang mentimun berharga 16NOK (RM8.50), walhal hanya RM3 sebatang (tu pun dah mahal sebenarnya). Begitu juga minuman jus dan susu, rasanya 20% lebih mahal dari Denmark. Souvenirs pun boleh tahan harganya. Fridge magnet yang cikai pun dah 39NOK (RM21) sekeping! Kebanyakan cenderahati adalah berupa viking dan juga patung 'Troll' yang berwajah hodoh dan sangat tua. Troll merupakan mitos lagenda cereka orang Norway yang mana hidup di balik gunung serta memakan manusia tetapi tidak boleh terkena cahaya matahati.
Troll yang pendek, tua dan hodoh
Part 2: Pengalaman belayar melalui Norway Fjords yang mengagumkan
Tags: pergi ke norway, melancong ke norway, pergi ke bergen, melancong ke bergen, bandar bergen, pasar ikan di bergen, melawat bandar bergen, ada apa di bergen, panduan ke bergen, panduan ke norway


Sunday, August 11

I Ønskes Glædelig Eid!

Salam lebaran.. I Ønskes Glædelig Eid tu maksudnya kami mengucapkan selamat hari raya dalam bahasa danish. Maklumla duduk di perantauan, kena nak ucap dalam bahasa tempatan.

Alhamdulillah pada hari aidilfitri yang lalu, penulis DKKC dan Cik Puan Isteri berpeluang mengadakan rumah terbuka di hari raya yang pertama. Walaupun bilangan yang ada tidak lah ramai, namun sambutannya tetap bermeriah, malah berganda-ganda kemeriahannya. Dan sempat la buat video ucapan beramai buat tatapan keluarga tersayang di kampung.


Yang ni plak, versi bloopers/in the making. Kelakar pulak dengan gelagat masing-masing.


I Ønskes Glædelig Eid!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...