Saturday, December 7

Belajar dari Denmark, Negara Paling Bersih Rasuah

Alhamdulillah, sekali lagi nukilan tak seberapa coretan penulis DKKC telah tersiar diruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Kalau tempoh hari berkisar mengenai Denmark sebagai negara paling bahagia di dunia, kali ini mengenai budaya orang Denmark yang menjadikan mereka bebas rasuah. 

Rencana

BELAJAR DARI DENMARK, NEGARA PALING BERSIH RASUAH 

December 7, 2013

Global Transparency International telah mengeluarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index) bagi tahun 2013. Badan Ketelusan Antarabangsa yang berpangkalan di Berlin, Jerman tersebut telah menyusun senarai 177 buah negara mengikut darjah di mana rasuah dianggap wujud berdasarkan data hasil penilaian dan tinjauan. Senarai tahunan yang dikeluarkan pertubuhan itu sering dijadikan kayu ukur kepada parti politik, pihak polis, sistem keadilan dan perkhidmatan awam dalam mengukur tahap dan usaha memerangi rasuah bagi sesebuah negara. 
Perkataan rasuah mungkin memberikan konotasi dan maksud yang berbeza-beza. Pertubuhan ini mentakrifkan rasuah  sebagai penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi. Dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Malahan, perkataan “rasuah” itu sendiri berasal daripada perkataan arab yang berbunyi “al-risywah” yang bermaksud “suap”.

Dalam laporan tersebut, Malaysia telah menduduki tangga ke-53 menyaksikan kenaikan satu anak tangga daripada kedudukan ke-54 berbanding 2012. Malaysia mendapat 50 markah iaitu naik satu mata berbanding 49 markah pada tahun sebelumnya berdasarkan penilaian skor daripada 0 ke 100 (0 paling tinggi rasuah ke 100 paling bebas rasuah). Purata markah indeks rasuah seluruh dunia adalah 43 dengan hampir 70 peratus negara di dunia ini mendapat kurang dari 50 markah. Pencapaian dan peningkatan kecil yang diperolehi tidak bermakna Malaysia sudah boleh berpuas hati dan mendabik dada. Kita seharusnya menoleh ke arah negara yang berada unggul di tangga teratas dalam senarai tersebut. Denmark dan New Zealand berkongsi tempat pertama dengan 91 markah iaitu hampir bersih daripada gejala rasuah.

Sememangnya adalah tidak wajar untuk kita membandingkan Malaysia dengan Denmark. Negara Skandinavia itu jelas mempunyai saiz negara yang lebih kecil dengan bilangan penduduk hanya 5.6 juta orang, dan mempunyai KDNK per kapita jauh lebih tinggi. Tetapi, adalah wajar untuk kita mengambil ibrah serta telusuri kenapa dan bagaimana negara tersebut secara berterusan berada di kelompok teratas sebagai negara hampir bersih rasuah sejak Indeks Persepsi Rasuah mula diperkenalkan pada tahun 1995.

Sejarah Denmark dalam memerangi rasuah 
Untuk belajar cara Denmark menangani rasuah, kita haruslah membelek lembaran sejarah sedari tahun 1860. Sewaktu pemerintahan Raja Christian VII dan diikuti oleh anaknya Raja Frederik VI, negara Denmark sudah mula memerangi korupsi. Tindakan keras secara seksaan kepada pesalah dikenakan dikalangan kakitangan istana yang memberi dan menerima sogokan. Tetapi, Raja Frederik VI mendapati undang-undang secara keras tersebut tidak dapat mengurangkan kadar rasuah, lalu Raja tersebut meningkatkan gaji pekerja di samping memberikan pencen yang berpatutan. Raja Frederik VI berpendapat punca rasuah terjadi adalah kerana gaji yang diterima oleh pegawai istana terlalu rendah dan juga disebabkan peri kehidupan yang daif.

Sementelahan itu, Raja tersebut turut mengambil pemeriksa dari luar untuk memeriksa akaun negara dan membenarkan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara bagi mendedahkan sebarang kejadian rasuah. Secara tuntasnya, kita boleh lihat sejak 150 tahun yang lampau, negara Denmark sudah mula mengambil prakarsa bagi membendung gejala rasuah yang nyata boleh membobrokkan sesebuah negara dan hasilnya boleh dilihat kini. Ini adalah kerana, tempoh waktu yang singkat sudah tentu tidak mampu mengubah amalan korupsi yang telah menjadi kudis dalam masyarakat dalam sekelip mata.

Pemerintahan dan pentadbiran yang telus
Walaupun Denmark sudah dinobatkan negara hampir bebas rasuah, namun kerajaannya tidak pernah memandang enteng dalam aspek rasuah. Pelbagai pendekatan telah diambil bagi menambah baik pentadbiran negara. Sejak tahun 1955, terdapat jawatan khas iaitu Ombudsman Parlimen (Folketingets Ombudsmand) untuk menyiasat aduan yang dibawa oleh individu dalam semua perkara yang berkaitan dengan tadbir urus awam, termasuk salah urus oleh pihak berkuasa pusat atau tempatan yang berkaitan undang-undang pentadbiran; undang-undang perlembagaan dan juga hak-hak banduan. Badan yang dilantik oleh parlimen ini juga bebas mengambil inisiatif sendiri untuk menyiasat setiap aduan terhadap mana-mana pihak berkuasa, menteri, waima Perdana Menteri.  


Selain itu, Kod Amalan Baik (Code of Good Practice) turut digariskan bagi semua anggota perkhidmatan awam pada 2007. Malahan, semua menteri diwajibkan untuk melaporkan maklumat mengenai perbelanjaan perjalanan dan hadiah yang diperolehi secara bulanan.  Pada tahun 2009, parlimen di Denmark turut memperkenalkan Skim Keterbukaaan (Openness Scheme) bagi meningkat ketelusan dari segi perbelanjaan dan aktiviti dikalangan wakil rakyat. Semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik perlu mendedahkan semua informasi mengenai perbelanjaan bulanan, kos pengangkutam, aktiviti liburan dan juga saguhati atau hadiah yang telah diterima.

Tender secara terbuka turut diamalkan sepertimana yang digariskan oleh EU yang mana setiap syarikat individu harus menyiarkan dokumen kepada umum setiap pembelian yang bernilai 500,000 DKK ke atas, dengan hanya beberapa pengecualian. Kerja-kerja pembinaan yang bernilai lebih daripada 3 juta DKK juga perlu melalui tender secara kompetitif. Elemen baik sebegini telah menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menanam modal secara tidak langsung menjadi memberikan kesan domino yang baik dan sekaligus memberi impak kepada ekonomi.

Denmark juga adalah antara 62 buah negara yang mengambil bahagian dalam Perkongsian Kerajaan Terbuka (Open Government Partnership). Sebagai sebuah negara anggota, Denmark telah menyatakan komitmen untuk memodenkan sektor awam dan memperbaiki pengurusan sumber-sumber awam. Ini dilakukan dengan meningkatkan, antara lain: ketelusan dalam membuat keputusan melibatkan kepentingan awam, anti-rasuah dan mekanisme melibatkan akauntabiliti, penyertaan dikalangan rakyat serta dialog dengan masyarakat awam. Sehingga kini, hanya Indonesia dan Filipina yang komited dan menyertai Perkongsian Kerajaan Terbuka di kalangan negara Asia Tenggara sejak dilancarkan pada tahun 2011.

Di Denmark, rakyatnya tidak menganggap rasuah merupakan masalah utama dalam masyarakat. Para pengusaha dan peniaga berurusan dengan pegawai-pegawai awam dan ahli politik dengan penuh etika dan integriti. Penjawat awam turut diberikan gaji yang tinggi, setimpal dengan kos sara hidup yang tinggi di negara tersebut. Walaupun cukai yang dikenakan juga cukup tinggi, tetapi rakyat seolah afirmatif kerana sedar dan faham serta dapat melihatkan sendiri kebaikan dari setiap cukai yang dibayar. Mereka juga percaya kesamaan dan keadilan sosial adalah penting bagi rakyat. Lantaran itu, Denmark turut diisytiharkan sebagai negara paling bahagia di dunia pada tahun 2013 berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh U.N. Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kebebasan media massa
Badan Ketelusan Antarabangsa juga melaporkan bahawa kadar rasuah di sebuah negara adalah berkadar secara terus dengan kadar kebebasan media bersuara. Ini jelas terbukti kerana Denmark dikategorikan sebagai negara “bebas” dari segi kebebasan bersuara dan berada di tangga ke-6 daripada 179 buah negara berdasarkan Freedom of the Press Index 2013 oleh Reporters without Borders manakala Freedom House turut menyenaraikan Denmark di tangga  ke-6 daripada 197 buah negara. Malaysia pula masih jauh ketinggalan di tangga ke-145 iaitu turun 23 anak tangga berbanding tahun 2012 bagi Freedom of the Press Index dan berada di tangga ke-146 bagi bagi Global Press Freedom Rankings 2013 yang dikeluarkan oleh Freedom House.

Media yang bebas menggambarkan kepelbagaian pendapat politik dan sering menjadi saluran bagi menyuarakan pendapat dan cadangan. Seringkali media massa tempatan di Denmark mengkritik pihak kerajaan mahupun parti pembangkang secara terbuka. Konsepnya adalah mudah iaitu yang baik dipuji, yang salah tidak dikeji tetapi diperbetulkan. Namun, keterbukaan perlu ada batasnya. Kebebasan tanpa sempadan juga terbukti membawa musibah kepada Denmark apabila syarikat akhkbar tempatan menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad SAW pada tahun 2005 dan mendapat kecaman hebat dari umat Islam dari seluruh dunia. Oleh itu, perlu ada garis sempadan supaya dapat menjaga sensitiviti orang lain, tetapi pada masa yang sama suara orang awam dapat didengari dan rakyat mendapat informasi yang telus.

Sifat jujur dan kepercayaan sosial
Sifat rakyat Denmark sendiri juga wajar dipuji. Sikap saling percaya dan jujur di antara satu sama lain telah berakar umbi sejak dari kecil dan telah menjadi budaya dan amalan seharian. Misalnya, untuk menggunakan perkhidmatan keretapi di sekitar bandaraya Copenhagen, tiada pagar atau halangan untuk penumpang menaiki keretapi. Tiket boleh dibeli di mesin atau di kaunter dan seterus boleh menaiki keretapi dengan bebas. Syarikat keretapi percaya setiap penumpang akan membeli tiket sebelum menaiki kenderaan awam dan rakyat pula tidak pernah culas dan membeli tiket. Kendatipun pemeriksaan tiket hanyalah dibuat secara rambang dan pastinya setiap kali semakan dibuat, didapati hampir kesemua penumpang mempunyai tiket yang sah. Ini adalah kerana rakyat disulami sikap jujur yang tinggi sesuai dengan fasiliti kelas pertama yang disediakan dan juga mentaliti kelas pertama yang ditampilkan.
Poster pilihanraya peringkat local (ADUN) di Denmark pada 19 November yang lalu
Para pemimpin juga dihormati walau berbeza fahaman politik kerana berintegriti. Walaubagaimanapun, negara seperti Denmark juga tidak sunyi dari skandal. Pada November 2013 yang lalu, Menteri Pembangunan Denmark iaitu Christian Friis Bach telah meletak jawatan ekoran pendedahan skandal yang melibatkan bekas perdana menteri Denmark iaitu Lars Løkke Rasmussen yang juga merupakan ketua parti politik pihak pembangkang.  Lars Rasmussen telah dikritik kerana berbelanja secara mewah semasa menjadi pengarah bagi sebuah NGO antarabangsa, Global Green Growth Institure (GGGI) yang beribupejabat di Seoul, Korea Selatan.

Bekas perdana menteri tersebut dilaporkan telah menaiki pesawat dengan menggunakan pada tiket kelas pertama sebanyak 15 kali dengan kos harga purata 64,000 DKK bagi setiap tiket semasa mempengerusikan mesyuarat di luar negara. Oleh kerana NGO tersebut dibawah seliaan Kementerian Pembangunan dan memperoleh dana dari pembayar cukai di Denmark iaitu sebanyak 90 juta DKK setahun, maka pengarah GGGI dan juga kementerian tersebut telah dikecam hebat. Rakyat menuntut agar perbelanjaan lebih berhemat dilakukan dan tiket kelas perniagaan digunakan oleh pengarah serta ahli lembaga pengarah yang lain berbanding kelas pertama kerana ianya melibatkan wang dari pembayar cukai. Lantaran itu, Menteri Pembangunan iaitu Christian Bach secara terbuka mengakui kesilapan dan akauntabiliti terhadap kelemahan kementerian yang beliau uruskan dan meletak jawatan.
Malaysia juga mampu membasmi rasuah
Menjadi fitrah kepada setiap rakyat untuk mendampakan pentadbiran yang dilunaskan secara telus dan bijaksana lantas meningkatkan kepercayaan kepada kerajaan pemerintah. Acapkali kita dengar kempen membasmi gelaja rasuah  dicanangkan dan pelbagai langkah telah dilaksanakan di bawah inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara, tetapi tahap rasuah masih belum berkurangan secara signifikan.

Peningkatan yang marginal bagi Indeks Persepsi Rasuah pada 2013 sama sekali tidak boleh diterima kerana telah banyak duit dibelanjakan. Pada 2013 sebanyak RM252 juta diperuntukkan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala RM14 juta lagi  bagi Jabatan Audit Negara untuk memperbaiki ketelusan dan mengurangkan rasuah di Malaysia. Bagi tahun 2014, peruntukan kepada SPRM ditingkatkan kepada RM298 juta dan Jabatan Audit Negara dinaikkan kepada RM169 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM467 juta untuk kedua-dua agensi tersebut.  Ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani gejala rasuah. Namun, rakyat marhaen berharapkan peningkatan markah Indeks Persepsi Rasuah pada tahun mendatang  juga  sejajar dengan peruntukan yang diberikan bukan setakat retorik kosong dan hasilnya dapat dilihat dengan nyata.
Tidak kira rakyat mahupun kerajaan, adalah amat penting untuk kita bersatu padu mengembleng tenaga membasmi budaya korupsi agar tidak bernanah dalam kehidupan seharian. Pendekatan sentiasa menabrak pihak kerajaan semata-mata adalah tiada maknanya sekiranya kita hanya melihat dengan sebelah mata kejadian rasuah yang berlaku dan seolah-olah merestui sekiranya tidak melaporkan kepada pihak yang berwajib. Malah lebih teruk lagi  jika ada di antara kita sendiri yang bergelumang dengan amalan buruk itu walaupun ianya tidak melibatkan ribuan atau jutaan ringgit. Ini adalah kerana gejala rasuah tidak berlaku hanya dari sebelah pihak. Tiada tangan yang menerima sekiranya tiada tangan yang memberi.
Di dalam ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, Malaysia perlu cepat beradaptasi dengan perubahan dunia agar kita sentiasa seiring dalam memastikan kita terus maju dan kehadapan. Segala ketirisan perlu dikenal pasti, strategi yang progresif dan inklusif harus dicongak segera agar amalan sifar rasuah dapat ditempa dan menjadi paksi pengukuhan dan pemangkin negara untuk mencapai Wawasan 2020 kelak. 


* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...