Friday, October 25

Majlis Konvokesyen - Danish Style

Syukur alhamdulillah dengan limpah kurnia-Nya, akhirnya Penulis DKKC dapat menamatkan pengajian MSc dengan jayanya. 
Surat jemputan
Maka, kelmarin 24 Oktober telah berlansung majlis konvokesyen ataupun lebih tepat graduate reception ceremony untuk kesemuanya pelajar yang mengikuti pengajian Master yang graduated dari April 19 - Oktober 17, 2013. Majlis hanya berlangsung di Sportshallen (Sport hall) kerena di sini memang tiada dewan khas. Sport hall itulah tempat pendaftaran semasa minggu orientasi iaitu International MSc Student Introduction Week, kira-kira 2 tahun yang lalu.

Majlis diadakan sebelah petang iaitu bermula jam 5 hingga 6.30pm. Sebenarnya majlis sebegini berlangsung selama 3 hari, hari pertama untuk bachelor, hari kedua untuk master dan hari ketiga untuk PhD. Kesemuanya diadakan di sebelah petang. Mungkin bagi memudahkan ibubapa yang bekerja boleh turut sama hadir. Cuma yang PhD lebih meriah sebab akan dihadiri oleh kesemua Ketua Jabatan, PhD committee members dan juga Board of Directors dan disertai dengan dinner party dan juga majlis tari- menari.
Bersama the President of University/ Vice Chancellor
Majlis graduasi berlangsung dengan cukup ringkas. Tiada jubah yang berhood dan juga selempang, tiada topi mortal-board, tiada pantun berjela ucapan alu-aluan dan semesti tiada muzik gamelan mengiringi majlis. Malah tiada dress code bagi pelajar. Tetapi hampir kesemuanya berpakaian smart casual walaupun ada juga yang sempoi hanya memakai T-shirts dan seluar jean. Penulis DKKC tabik dengan seorang pelajar lelaki dari Kerala, India yang tampil ke pentas dengan hanya memakai pakaian tradisi iaitu berkain pelikat. Sebenarnya teringin juga memakai baju melayu bersampin setelah melihat gambar seorang pelajar dari Scotland yang memakai pakaian tradisi Scottish pada tahun lalu. Tapi hanya tinggal angan-angan.
Rekod majlis graduate reception paling ramai dalam sejarah. 330 students and 700 guests
Majlis ringkas bermula dengan ucapan President Universiti (Vice Chanselor) Prof. Dr. Anders Bjarklev, ucapan dari Ketua Pelajar iaitu wakil student organisation (Polyteknisk Forening-PF) Kim Louise Ettrup dan juga ucapan dari tokoh alumni iaitu CEA company Delta iaitu Per Harlev. Dan menjadi tradisi, setiap nama pelajar akan dibacakan oleh Dean of Graduate Studies and International Affairs. Kebetulan dalam bahasa Danish, perkataan Dean juga dieja Dekan seperti bahasa Melayu. Sijil turut disampaikan oleh Dekan Prof. Dr. Martin P. Bendsøe. Tiada juga penyampaian anugerah pelajar terbaik seumpamanya. Majlis ditamatkan dengan sesi photography bebas dan juga hidangan resepsi yang ringkas dan 'healthy'. Hanya buahan anggur, kekacang, mini coklat bar, buah kurma dan aprikot selain air mineral dan air setan (wine rasanya).
Apepun Penulis DKKC bersyukur dapat menamatkan pengajian dan yang lebih penting dapat jua merasa pengalaman menimba ilmu di obersi. Walaupun hanyalah ijazah sarjana, tetapi begitu bermakna. Bak kata ucapan President Universiti,  semoga menjadi pemangkin kejayaan yang seterusnya.

Dan sudah tentu kejayaan tidak diperolehi tanpa berkat doa restu dari keluarga dan juga sokongan padu rakan2 terutama Cik Puan Isteri yang tanpa lelah membantu dan memberi sokongan dan dorongan. Tidak lupa juga pihak MARA yang memberikan bantuan kewangan berbentuk Skim Pinjaman Boleh Ubah bagi Pascasiswazah. Semoga ilmu yang diperolehi diberkati. Amin

Tuesday, October 15

Lagi-lagi Beraya di Perantauan - Aidiladha 1434H Copenhagen

Hati mana yang tidak sayu tatkala mendengar alunan takbir raya bergema dari youtube. Inilah lumrah insan yang bergelar perantau, perlu berkorban di medan ilmu. Inilah baru namanya hari raya korban.

Aidiladha kali ini disambut bersederhana. Lebih-lebih lagi, tarikh hari raya jatuh pada hari minggu. Namun, semangat beraya tetap ada. Penulis DKKC Bersama-sama rakan-rakan yang lain menunaikan solat aidiladha di Korsgadehallen iaitu sebuah dewan serbaguna di Nørrebro tidak jauh dari pusat bandar Copenhagen. Majlis solat tersebut dianjurkan oleh Danish Islamik Center.
Papan tanda ke arah pintu masuk bangunan Korsgadehallen
Solat bermula jam 9.15 am. Menjelang jam 9am, orang ramai mulai memenuhi dewan. Kelihatan, kebanyakan mereka dari pelbagai negara, namun rata-ratanya dari timur tengah seperti dari Turki dan Lebanon. Ada juga seperti orang tempatan (Danes) yang mungkin baru memeluk Islam.

Takbir yang dibacakan beramai-ramai adalah tidak sama alunannya yang biasa didengari di Malaysia. Maka, 'feel'nya kurang. Tapi, bagus juga, kalau tidak sudah tentu bertambah sayu hati mendengar. Yang menariknya, jualan makanan, minuman, buku-buku agama turut dijual dipinggir di dewan.
Jualan makanan dan minuman turut dijual
Ruangan dewan hampir penuh sewaktu solat bermula. Jualan belon pun ada untuk kanan-kanak. Gambar dari Blågården.
Khutbah pertama dibacakan di dalam bahasa arab dan disampaikan oleh Ustaz Mohamed Imran Angullia yang dijemput khas dari Singapore dan kemudiannya terjemahan di dalam bahasa danish di sampaikan oleh Imam tempatan Abu Jibreel. Tapi pelik juga sebab sejurus tamat solat sunat aidilahda orang ramai mulai bangun. Yang sedihnya, tatkla imam membacakan khutbah, hanya tinggal separuh je yang masih berada di saf-saf. Yang lainnya sedang sibuk membeli juadah makanan dan bersembang. Mungkin budaya mereka berbeza.

Namun berdasarkan petikan dari laman soal jawab agama, khutbah bagi solat hari raya hukumnya sunat. Menurut Imam as-Syaukani; “Aku tidak menemui sebarang pandangan mewajibkannya”.(Nailul-Autar, Kitab al-‘Idain). Oleh demikian, solat hari raya adalah sah sekalipun tanpa diikuti dengan khutbah selepasnya. Namun perbuatan tersebut adalah makruh. Begitu juga, makruh–menurut mazhab Imam Syafi’ie- seorang menghadiri solat hari raya tetapi tidak mendengar khutbah hari raya atau bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan atau meninggalkan majlis tanpa menunggu khutbah.
Ustaz Mohamed Imran menyampaikan khutbah
Ramai yang mula bangun dan meninggalkan saf sewaktu imam sedang membaca khutbah
Sesi bergambar kenangan dengan Ustaz Mohamed Imran.
Usai solat, kami menyerang ke rumah 'Abg Long', rakyat Malaysia yang telah lama menetap lebih dua dekad di bumi Copenhagen. Leka makan, hingga terlupa nak ambil gambar. 

Wednesday, October 9

Kembara ke Prague, Kota 100 Menara di Republik Czech

Day 1: City of 100 Spires (Part 1 of 2)
Lokasi Czech Republik dan negara-negara jiran. Germany & Austria adalah negara western europe manakala Poland, Slovakia dan juga Czech adalah negara eastern europe.
Prague atau Praha dalam bahasa tempatan adalah salah satu dari daftar panjang kota-kota di benua eropah impian yang ingin ditakluki oleh Penulis DKKC, dan Alhamdulillah akhirnya tercapai jua. Sebenarnya, pada awalnya sedikit dilema kerana ada dua wishlist yang belum tertunai, iaitu menjejaki kota Prague dan juga ke Edinburgh. Perancangan ke Edinburgh terpaksa dimansuhkan akibat kekangan masa dan juga ekonomi yang tidak stabil, lantas beralih arah ke salah sebuah negara eastern Europe yang cukup dikenali sebagai The Golden City of 100 Spires iaitu ibunegara negara Czech Republik.

Memang benar, mengembara bukan soal destinasi tetapi soalnya bagaimana kita menghayati dan belajar dari setiap pengalaman melalui liku-liku ke destinasi itu. Pengalaman itulah yang membuat kita lebih matang dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Pengalaman yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Apepun, pemilihan untuk kembara ke kota bohemia ni adalah cukup tepat, kerana boleh la dianggap murah bagi budget traveler macam kami dari segi tempat penginapan dan lebih-lebih lagi tiket pengangkutan awam yang tidak mahal berbanding kos di ibukota negara eropah yang lain.

Tiket Free ke Prague
Perjalanan menerusi SAS airlines hanya mengambil masa sejam suku dari tempat kami di Copenhagen ke Prague. Hasil usaha gigih mengumpul mata points membership Eurobonus, dapatlah jimat dalam 1000kr  (RM580) bagi dua orang, kerana mendapat percuma harga tiket dan fuel charges dan hanya dikenakan taxes fee iaitu 171kr (RM99). Sinar mentari keluar dibalik awan di saat pesawat Airbus A340-300 mendarat di Prague Václav Havel Airport (Letiště Václava Havla Praha) seawal jam 8.30am. Walaupun cuaca cerah, suhu adalah rendah mencecah 14oC, petanda musim panas benar-benar telah berakhir dan beralih ke musim luruh. Kami tiba di ibukota Czech Republic ketika jam menunjukkan hampir pukul 10.15 tengahari. Perjalanan dari Airport tidaklah sukar, kami menaiki Bus 119 ke Metro Station Dejvická dan seterus menukar haluan ke Florence C, kawasan tempat penginapan yang telah ditempah melalui booking.com.

Info#1: 24hr public transport tiket hanya 100 czk (RM 18.50) seorang, dan membolehkan anda menaiki bus, tram, keretapi bawah tanah Metro dan juga kereta kabel di sekitar pusat Bandar Prague.Tiket 90min adalah 32 CZK (RM 5.40), tetapi jika membawa luggage, anda perlu membeli tiket khas untuk luggage berharga 16 CZK (RM2.70).

Tanpa berlengah kami terus meneroka kota yang dikenali sebagai Kota Emas 100 Menara (Golden City of 100 Spires) yang telah dibina sejak abad ke-14 dan telah diakui oleh UNESCO sebagai salah satu Kota Warisan Dunia pada 1992. Kota Praha memiliki atmosfera yang unik dengan berbagai rekabentuk bangunan dan monumen yang menarik. Pada awal abad ke 19, seorang ahli matematik dan falsafah Bohemia telah mengira bilangan menara menara gereja dan bangunan di Praha dan mendapati terdapat 103 buah kesemuanya. Mulai saat itu, kota Praha dikenali sebagai Kota Emas 100 Menara kerana kebanyakan menaranya dicat warna emas. Selain itu, Prague tersebut juga turut dikenali sebagai Paris of Eastern Europe kerana dikatakan begitu cantik dan mempunyai suasana yang romantis.

Sebelum tiba, penulis DKKC tertanya-tanya benarkah sebegitu cantik kota Praha/Pargue sehingga diberikan jolokan sebegitu. Namun, apabila sudah tiba dan melihat dan merasai sendiri, maka mata menjadi saksi dan hati turut mengiyakan kebenaran itu. Bandarnya sengaja dikekalkan dengan bangunan-bangunan lama sebagai satu simbol kepada Negara Czech. Kecantikan binaan bangunannya, sudah pasti membuatkan sesiapa saja akan terpesona.

Free Royal Prague Walk Tour
Bagi lebih mendalami apakah rahsia disebalik kota tersebut, kami memilih untuk mengikuti salah satu tour guide percuma. Free Royal Prague Tour dipilih berdasarkan banyak komen positif di Tripadvisor. Tepat jam 2.10 petang tour selama 3 jam mengelilingi Bandar Prague pun bermula. Kumpulan pelancong dibahagikan kepada 2 kumpulan kecil seramai 20 orang dan group kami diketuai oleh Chriss yang berasal dari Austria.  Suara Chriss sungguh lantang dan penguasaan Englishnya juga bagus menjadikan tour pada petang itu lebih menarik.

Info#2: Banyak khidmat free tour guide disediakan di Kota Prague antara yang popular adalah Royal Prague Tour dan juga Sandermans. Walaupun free tour tetapi ‘kena’ bagi sedikit upah kepada tour guide setelah tamat. Tour guide sebegini ada setiap hari biasanya bermula jam 11 pagi dan juga 2pm.
Artis jalanan membuat persembahan di Old Town Square
Tour bermula di Old Town Square. Walaupun bukan musim cuti sekolah dan juga sudahpun di penghujung summer holiday, keadaan pusat Bandar Prague begitu sesak dengan kebanjiran pelancong. Kebetulan ramai pula pengantin baru yang buat photoshoot di sekitar bandar pada hari itu. Antara tarikan utama di dataran Old Town adalah Astronomical Clock dan Tyn Church. Entah mengapa begitu ramai orang ramai berhenti dan menghayati jam lama yang berusia lebih 600 tahun itu yang juga bertindak sebagai kalendar di zaman silam. Lebih-lebih lagi tatkala minit menghampir angkat 00 iaitu jam tepat. Rupa-rupanya terdapat 2 jendela terbuka dengan tiba-tiba dan mempamerkan 12 patung yang berlegar-legar (6 patung setiap jendela).Terdapat juga 4 patung yang yang bergerak-gerak. Setelah itu, akan ada pekerja yang meniupkan trumpet dari puncak menara jam tersebut.
Inilah rupa Astronomi Clock tu. Jam yang betul ada kat hampir dengan menara dan dua lagi yang kat bawah adalah kalendar astronomi
Bagi Penulis DKKC, ’persembahan’ jam astronomi tersebut itu hanya biasa-biasa sahaja. Malah keseluruhan ’persembahan’ itu yang memakan masa hanya sekitar 2 minit. Namun, percaya atau tidak, menara jam itulah yang menjadikan tarikan utama pelancong di Prague. Mungkin juga, ianya cukup terkenal di Czech Republik kerana terdapat kisah menarik disebalik pembinaan jam tersebut. Menurut Chriss, tour guide kami, jam itu dibina sejak 1410 dan merupakan antara tiga jam astronomi yang tertua di dunia, tetapi satu-satunya yang masih berfungsi hingga kini. Ahli matematik dan astronomi yang membina jam tersebut telah dibutakan matanya agar tidak berupaya membina jam yang baru seumpamanya. Oleh kerana terlalu kecewa, beliau telah merosakkan jam tersebut dengan terjun ke arah struktur dalaman jam tersebut. Akibatnya, jam tersebut rosak teruk dan hanya dapat diperbaiki kira-kira seabad setelah kejadian tersebut.

Info#3: ‘Persembahan’ patung-patung dan tiup trumpet berlaku setiap hari, setiap jam bermula jam 10am hingga 9pm.
Tour guide kami sedang memberi keterangan mengenai Old New Synagogue  & the Golem yang tertua di benua Eropah. Synagogue ni macam church la, tapi untuk puak yahudi
Seterusnya Chriss membawa kami melawat sekitar Old Jewish Quarter, Old New Synagogue & the Golem, dan kemudiaan ke Art Nouveau Municipal House dan Powder Tower setelah 20 minit berehat. Selain bercerita, Chriss turut memberi tips-tips penting tatkala di Prague. Antaranya, jangan sesekali menukar wang di kedai money changer yang tidak berlesen. Penulis pada awalnya juga musykil kerana banyak benar kedai money changer kat pusat Bandar Prague ni. Boleh dikatakan setiap 50m, ada je kedai money changer. Yang peliknya, hampir kesemua  money changer mengenakan kadar tukaran yang tidak munasabah. Menurut Chriss, antara taktik scam yang biasa digunakan adalah dengan menukarkan duit dengan matawang dari Negara Hungary, Bulgaria dan juga Romania yang mempunyai nilai yang lebih rendah. Ye lah kan, mana la pelancong kenal atau cam jenis matawang yang digunakan.
Art Nouveau Municipal House, macam Dewan Bandaraya tapi ada juga Concert hall di dalamnya. Di sinilah antara lokasi filem Triple X, lakonan Vid Diesel
Tips#1: Mengeluarkan duit dari ATM machine di bank adalah cara yang paling selamat untuk mendapatkan matawang Czech Republic iaitu Czech Koruna (Kč). Malah money changer di airport sekalipun dilaporkan tidak jujur.

Penipu scam tukar duit boleh dikenali dengan mudah kerana mereka-mereka ini seringkali berlegar-legar dihadapan money changer dan memegang calculator. Mereka ini cukup peramah dan mampu bertutur dalam perlbagai bahasa. Penulis DKKC sendiri juga disapa dua kali. Cara terbaik untuk menghindari scam seumpama ini adalah dengan cara tidak melayan seolah tidak memahami bahasa yang dituturkan. Menurut tour guide kami, sekiranya anda ditegur oleh orang yang tidak dikenali, maka 60% kemungkinan besar anda akan  ditipu. Oleh itu, disebalik terkenal dengan kecantikan senibina, bandar Prague juga cukup dikenali sebagai ’scam city’ kerana ramai pelancong bernasib malang, yang mana saku mereka diseluk orang.
Yang ni bukan cubaan menyeluk saku, tetapi salah satu adegan yang dilakonkan secara spontan oleh tourist yang bagi bagi lebih memahami cerita yang disampaikan oleh Tour Guide, Chriss.
Pengalaman Pertama Menonton Theater Musical
Menjelang petang, kami kembali ke apartment tempat penginapan di Florence C. Apartment David’s Guesthouse yang ditempah melalui booking.com amatlah sesuai dengan lokasinya. Walaupun tidak mewah tetapi cukup luas dan selesa selain turut menyediakan dapur kecil untuk tetamu. Lokasinya hanya 200m ke pintu masuk train Metro underground laluan B dan C. Malahan, hanya 15minit, jika berjalan kaki ke pusat Bandar. Lebih menarik ianya berada bertentangan dengan salah satu theater utama di Prague iaitu Musical Theatre Karlín (Hudební divadlo Karlín).
Teater yang terletak hanya seberang jalan dari apartment
Seperti Viena, bilangan teater di Prague juga boleh dikatakan  agak banyak. Pada awalnya, pening juga fikir, samada nak tengok teater musical, opera, orchestra music ataupun tarian ballet. Akhirnya memilih teater musical kerana ada gabungan drama, tarian dan juga live music. Lebih-lebih lagi ada persembahan teater muzikal yang diadakan di teater yang terletak diseberang jalan tempat kediaman kami semasa di Prague. Lantaran itu, Penulis DKKC membawa Cik Puan Isteri menonton Theater Musical bertajuk ‘Aida-The Timeless Love Story’. Inilah pengalaman kali pertama kami menonton teater secara langsung. Sebelum ini ada juga bercadang untuk menonton opera semasa berkembara ke Viena yang cukup terkenal sebagai Musical City, tetapi terpaksa memadam hasrat kerana tiketnya adalah mahal bagi pelajar seperti kami. Manakan tidak untuk seorang sahaja paling kurang pun tiket berharga EUR28 (RM120).

Dari luaran, Musical Theatre Karlín seolah bangunan biasa. Namun, dekorasi dalamnya agak mewah. Pelik juga apabila pekerja bertugas memaklumkan ada subtitle bahasa English semasa membeli tiket. Mana tidak pelik, katanya live teater, macam mana pulak ada subtitle. Tiket yang available hanyalah bagi seat kedua paling belakang, tetapi ok lah kerana itulah tiket yang paling murah iaitu 280 Czech koruna (RM48). Rupanya, memang ada subtitle, bukan dibawah tetapi pada skrin kecil di atas pentas. walaupun hanya samar-samar kelihatan akibat sekali sekala lampu spotlight terlampau cerah, tetapi oklah daripada langsung tidak faham kerana dituturkan dalam bahasa tempatan.
Suasana dalam dewan teater
Persembahan teater tersebut boleh la dianggap menarik, walaupun ada part yang Penulis DKKC hampir terlelap kerana kepenatan akibat seharian berjalan. Namun, seringkali mata menjadi segar semula apabila mendengar alunan musik dan kesan bunyi yang berdentum dan bergema di dalam dewan. Muzik latar yang dimainkan oleh ahli musik yang berada dibawah pentas juga hebat. Maklum la musik bagi teater ni adalah hasil garapan Sir Elton John. Oleh kerana ianya adalah teater musikal, maka kebanyakan dialog pelakon adalah secara menyanyi. Lakonan, kostum pelakon sungguh menarik selain banyak probs tambahan digunakan seperti kapal layar dan juga piramid. Pentas juga canggih boleh turun naik dan juga perpusing 360oC. Lantaran itu, usai tamat persembahan, hampir seluruh penonton memberikan ’standing ovation’ diiringi tepukan bergemuruh hampir 10 minit.
Tags: Panduan ke prague, tips ke prague, melancong ke prague, tempat menarik di prague, melawat bandar prague

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...