Showing posts with label Ada Apa Dengan Denmark?. Show all posts
Showing posts with label Ada Apa Dengan Denmark?. Show all posts

Saturday, December 7

Belajar dari Denmark, Negara Paling Bersih Rasuah

Alhamdulillah, sekali lagi nukilan tak seberapa coretan penulis DKKC telah tersiar diruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Kalau tempoh hari berkisar mengenai Denmark sebagai negara paling bahagia di dunia, kali ini mengenai budaya orang Denmark yang menjadikan mereka bebas rasuah. 

Rencana

BELAJAR DARI DENMARK, NEGARA PALING BERSIH RASUAH 

December 7, 2013

Global Transparency International telah mengeluarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index) bagi tahun 2013. Badan Ketelusan Antarabangsa yang berpangkalan di Berlin, Jerman tersebut telah menyusun senarai 177 buah negara mengikut darjah di mana rasuah dianggap wujud berdasarkan data hasil penilaian dan tinjauan. Senarai tahunan yang dikeluarkan pertubuhan itu sering dijadikan kayu ukur kepada parti politik, pihak polis, sistem keadilan dan perkhidmatan awam dalam mengukur tahap dan usaha memerangi rasuah bagi sesebuah negara. 
Perkataan rasuah mungkin memberikan konotasi dan maksud yang berbeza-beza. Pertubuhan ini mentakrifkan rasuah  sebagai penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi. Dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Malahan, perkataan “rasuah” itu sendiri berasal daripada perkataan arab yang berbunyi “al-risywah” yang bermaksud “suap”.

Dalam laporan tersebut, Malaysia telah menduduki tangga ke-53 menyaksikan kenaikan satu anak tangga daripada kedudukan ke-54 berbanding 2012. Malaysia mendapat 50 markah iaitu naik satu mata berbanding 49 markah pada tahun sebelumnya berdasarkan penilaian skor daripada 0 ke 100 (0 paling tinggi rasuah ke 100 paling bebas rasuah). Purata markah indeks rasuah seluruh dunia adalah 43 dengan hampir 70 peratus negara di dunia ini mendapat kurang dari 50 markah. Pencapaian dan peningkatan kecil yang diperolehi tidak bermakna Malaysia sudah boleh berpuas hati dan mendabik dada. Kita seharusnya menoleh ke arah negara yang berada unggul di tangga teratas dalam senarai tersebut. Denmark dan New Zealand berkongsi tempat pertama dengan 91 markah iaitu hampir bersih daripada gejala rasuah.

Sememangnya adalah tidak wajar untuk kita membandingkan Malaysia dengan Denmark. Negara Skandinavia itu jelas mempunyai saiz negara yang lebih kecil dengan bilangan penduduk hanya 5.6 juta orang, dan mempunyai KDNK per kapita jauh lebih tinggi. Tetapi, adalah wajar untuk kita mengambil ibrah serta telusuri kenapa dan bagaimana negara tersebut secara berterusan berada di kelompok teratas sebagai negara hampir bersih rasuah sejak Indeks Persepsi Rasuah mula diperkenalkan pada tahun 1995.

Sejarah Denmark dalam memerangi rasuah 
Untuk belajar cara Denmark menangani rasuah, kita haruslah membelek lembaran sejarah sedari tahun 1860. Sewaktu pemerintahan Raja Christian VII dan diikuti oleh anaknya Raja Frederik VI, negara Denmark sudah mula memerangi korupsi. Tindakan keras secara seksaan kepada pesalah dikenakan dikalangan kakitangan istana yang memberi dan menerima sogokan. Tetapi, Raja Frederik VI mendapati undang-undang secara keras tersebut tidak dapat mengurangkan kadar rasuah, lalu Raja tersebut meningkatkan gaji pekerja di samping memberikan pencen yang berpatutan. Raja Frederik VI berpendapat punca rasuah terjadi adalah kerana gaji yang diterima oleh pegawai istana terlalu rendah dan juga disebabkan peri kehidupan yang daif.

Sementelahan itu, Raja tersebut turut mengambil pemeriksa dari luar untuk memeriksa akaun negara dan membenarkan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara bagi mendedahkan sebarang kejadian rasuah. Secara tuntasnya, kita boleh lihat sejak 150 tahun yang lampau, negara Denmark sudah mula mengambil prakarsa bagi membendung gejala rasuah yang nyata boleh membobrokkan sesebuah negara dan hasilnya boleh dilihat kini. Ini adalah kerana, tempoh waktu yang singkat sudah tentu tidak mampu mengubah amalan korupsi yang telah menjadi kudis dalam masyarakat dalam sekelip mata.

Pemerintahan dan pentadbiran yang telus
Walaupun Denmark sudah dinobatkan negara hampir bebas rasuah, namun kerajaannya tidak pernah memandang enteng dalam aspek rasuah. Pelbagai pendekatan telah diambil bagi menambah baik pentadbiran negara. Sejak tahun 1955, terdapat jawatan khas iaitu Ombudsman Parlimen (Folketingets Ombudsmand) untuk menyiasat aduan yang dibawa oleh individu dalam semua perkara yang berkaitan dengan tadbir urus awam, termasuk salah urus oleh pihak berkuasa pusat atau tempatan yang berkaitan undang-undang pentadbiran; undang-undang perlembagaan dan juga hak-hak banduan. Badan yang dilantik oleh parlimen ini juga bebas mengambil inisiatif sendiri untuk menyiasat setiap aduan terhadap mana-mana pihak berkuasa, menteri, waima Perdana Menteri.  


Selain itu, Kod Amalan Baik (Code of Good Practice) turut digariskan bagi semua anggota perkhidmatan awam pada 2007. Malahan, semua menteri diwajibkan untuk melaporkan maklumat mengenai perbelanjaan perjalanan dan hadiah yang diperolehi secara bulanan.  Pada tahun 2009, parlimen di Denmark turut memperkenalkan Skim Keterbukaaan (Openness Scheme) bagi meningkat ketelusan dari segi perbelanjaan dan aktiviti dikalangan wakil rakyat. Semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik perlu mendedahkan semua informasi mengenai perbelanjaan bulanan, kos pengangkutam, aktiviti liburan dan juga saguhati atau hadiah yang telah diterima.

Tender secara terbuka turut diamalkan sepertimana yang digariskan oleh EU yang mana setiap syarikat individu harus menyiarkan dokumen kepada umum setiap pembelian yang bernilai 500,000 DKK ke atas, dengan hanya beberapa pengecualian. Kerja-kerja pembinaan yang bernilai lebih daripada 3 juta DKK juga perlu melalui tender secara kompetitif. Elemen baik sebegini telah menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menanam modal secara tidak langsung menjadi memberikan kesan domino yang baik dan sekaligus memberi impak kepada ekonomi.

Denmark juga adalah antara 62 buah negara yang mengambil bahagian dalam Perkongsian Kerajaan Terbuka (Open Government Partnership). Sebagai sebuah negara anggota, Denmark telah menyatakan komitmen untuk memodenkan sektor awam dan memperbaiki pengurusan sumber-sumber awam. Ini dilakukan dengan meningkatkan, antara lain: ketelusan dalam membuat keputusan melibatkan kepentingan awam, anti-rasuah dan mekanisme melibatkan akauntabiliti, penyertaan dikalangan rakyat serta dialog dengan masyarakat awam. Sehingga kini, hanya Indonesia dan Filipina yang komited dan menyertai Perkongsian Kerajaan Terbuka di kalangan negara Asia Tenggara sejak dilancarkan pada tahun 2011.

Di Denmark, rakyatnya tidak menganggap rasuah merupakan masalah utama dalam masyarakat. Para pengusaha dan peniaga berurusan dengan pegawai-pegawai awam dan ahli politik dengan penuh etika dan integriti. Penjawat awam turut diberikan gaji yang tinggi, setimpal dengan kos sara hidup yang tinggi di negara tersebut. Walaupun cukai yang dikenakan juga cukup tinggi, tetapi rakyat seolah afirmatif kerana sedar dan faham serta dapat melihatkan sendiri kebaikan dari setiap cukai yang dibayar. Mereka juga percaya kesamaan dan keadilan sosial adalah penting bagi rakyat. Lantaran itu, Denmark turut diisytiharkan sebagai negara paling bahagia di dunia pada tahun 2013 berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh U.N. Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kebebasan media massa
Badan Ketelusan Antarabangsa juga melaporkan bahawa kadar rasuah di sebuah negara adalah berkadar secara terus dengan kadar kebebasan media bersuara. Ini jelas terbukti kerana Denmark dikategorikan sebagai negara “bebas” dari segi kebebasan bersuara dan berada di tangga ke-6 daripada 179 buah negara berdasarkan Freedom of the Press Index 2013 oleh Reporters without Borders manakala Freedom House turut menyenaraikan Denmark di tangga  ke-6 daripada 197 buah negara. Malaysia pula masih jauh ketinggalan di tangga ke-145 iaitu turun 23 anak tangga berbanding tahun 2012 bagi Freedom of the Press Index dan berada di tangga ke-146 bagi bagi Global Press Freedom Rankings 2013 yang dikeluarkan oleh Freedom House.

Media yang bebas menggambarkan kepelbagaian pendapat politik dan sering menjadi saluran bagi menyuarakan pendapat dan cadangan. Seringkali media massa tempatan di Denmark mengkritik pihak kerajaan mahupun parti pembangkang secara terbuka. Konsepnya adalah mudah iaitu yang baik dipuji, yang salah tidak dikeji tetapi diperbetulkan. Namun, keterbukaan perlu ada batasnya. Kebebasan tanpa sempadan juga terbukti membawa musibah kepada Denmark apabila syarikat akhkbar tempatan menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad SAW pada tahun 2005 dan mendapat kecaman hebat dari umat Islam dari seluruh dunia. Oleh itu, perlu ada garis sempadan supaya dapat menjaga sensitiviti orang lain, tetapi pada masa yang sama suara orang awam dapat didengari dan rakyat mendapat informasi yang telus.

Sifat jujur dan kepercayaan sosial
Sifat rakyat Denmark sendiri juga wajar dipuji. Sikap saling percaya dan jujur di antara satu sama lain telah berakar umbi sejak dari kecil dan telah menjadi budaya dan amalan seharian. Misalnya, untuk menggunakan perkhidmatan keretapi di sekitar bandaraya Copenhagen, tiada pagar atau halangan untuk penumpang menaiki keretapi. Tiket boleh dibeli di mesin atau di kaunter dan seterus boleh menaiki keretapi dengan bebas. Syarikat keretapi percaya setiap penumpang akan membeli tiket sebelum menaiki kenderaan awam dan rakyat pula tidak pernah culas dan membeli tiket. Kendatipun pemeriksaan tiket hanyalah dibuat secara rambang dan pastinya setiap kali semakan dibuat, didapati hampir kesemua penumpang mempunyai tiket yang sah. Ini adalah kerana rakyat disulami sikap jujur yang tinggi sesuai dengan fasiliti kelas pertama yang disediakan dan juga mentaliti kelas pertama yang ditampilkan.
Poster pilihanraya peringkat local (ADUN) di Denmark pada 19 November yang lalu
Para pemimpin juga dihormati walau berbeza fahaman politik kerana berintegriti. Walaubagaimanapun, negara seperti Denmark juga tidak sunyi dari skandal. Pada November 2013 yang lalu, Menteri Pembangunan Denmark iaitu Christian Friis Bach telah meletak jawatan ekoran pendedahan skandal yang melibatkan bekas perdana menteri Denmark iaitu Lars Løkke Rasmussen yang juga merupakan ketua parti politik pihak pembangkang.  Lars Rasmussen telah dikritik kerana berbelanja secara mewah semasa menjadi pengarah bagi sebuah NGO antarabangsa, Global Green Growth Institure (GGGI) yang beribupejabat di Seoul, Korea Selatan.

Bekas perdana menteri tersebut dilaporkan telah menaiki pesawat dengan menggunakan pada tiket kelas pertama sebanyak 15 kali dengan kos harga purata 64,000 DKK bagi setiap tiket semasa mempengerusikan mesyuarat di luar negara. Oleh kerana NGO tersebut dibawah seliaan Kementerian Pembangunan dan memperoleh dana dari pembayar cukai di Denmark iaitu sebanyak 90 juta DKK setahun, maka pengarah GGGI dan juga kementerian tersebut telah dikecam hebat. Rakyat menuntut agar perbelanjaan lebih berhemat dilakukan dan tiket kelas perniagaan digunakan oleh pengarah serta ahli lembaga pengarah yang lain berbanding kelas pertama kerana ianya melibatkan wang dari pembayar cukai. Lantaran itu, Menteri Pembangunan iaitu Christian Bach secara terbuka mengakui kesilapan dan akauntabiliti terhadap kelemahan kementerian yang beliau uruskan dan meletak jawatan.
Malaysia juga mampu membasmi rasuah
Menjadi fitrah kepada setiap rakyat untuk mendampakan pentadbiran yang dilunaskan secara telus dan bijaksana lantas meningkatkan kepercayaan kepada kerajaan pemerintah. Acapkali kita dengar kempen membasmi gelaja rasuah  dicanangkan dan pelbagai langkah telah dilaksanakan di bawah inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara, tetapi tahap rasuah masih belum berkurangan secara signifikan.

Peningkatan yang marginal bagi Indeks Persepsi Rasuah pada 2013 sama sekali tidak boleh diterima kerana telah banyak duit dibelanjakan. Pada 2013 sebanyak RM252 juta diperuntukkan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala RM14 juta lagi  bagi Jabatan Audit Negara untuk memperbaiki ketelusan dan mengurangkan rasuah di Malaysia. Bagi tahun 2014, peruntukan kepada SPRM ditingkatkan kepada RM298 juta dan Jabatan Audit Negara dinaikkan kepada RM169 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM467 juta untuk kedua-dua agensi tersebut.  Ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani gejala rasuah. Namun, rakyat marhaen berharapkan peningkatan markah Indeks Persepsi Rasuah pada tahun mendatang  juga  sejajar dengan peruntukan yang diberikan bukan setakat retorik kosong dan hasilnya dapat dilihat dengan nyata.
Tidak kira rakyat mahupun kerajaan, adalah amat penting untuk kita bersatu padu mengembleng tenaga membasmi budaya korupsi agar tidak bernanah dalam kehidupan seharian. Pendekatan sentiasa menabrak pihak kerajaan semata-mata adalah tiada maknanya sekiranya kita hanya melihat dengan sebelah mata kejadian rasuah yang berlaku dan seolah-olah merestui sekiranya tidak melaporkan kepada pihak yang berwajib. Malah lebih teruk lagi  jika ada di antara kita sendiri yang bergelumang dengan amalan buruk itu walaupun ianya tidak melibatkan ribuan atau jutaan ringgit. Ini adalah kerana gejala rasuah tidak berlaku hanya dari sebelah pihak. Tiada tangan yang menerima sekiranya tiada tangan yang memberi.
Di dalam ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, Malaysia perlu cepat beradaptasi dengan perubahan dunia agar kita sentiasa seiring dalam memastikan kita terus maju dan kehadapan. Segala ketirisan perlu dikenal pasti, strategi yang progresif dan inklusif harus dicongak segera agar amalan sifar rasuah dapat ditempa dan menjadi paksi pengukuhan dan pemangkin negara untuk mencapai Wawasan 2020 kelak. 


* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Thursday, September 12

Bahagiakah bila berada di negara paling bahagia di dunia??

Alhamdulillah nukilan tak seberapa yang dikarang oleh penulis DKKC telah tersiar di ruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Hantar untuk ruangan 'opinion' keluar jadi rencana plak. tapi tak kisah la..


Rencana

PUNCA DENMARK MENJADI NEGARA PALING BAHAGIA DI DUNIA - MUHAMMAD IMRAN ISMAIL

September 11, 2013
Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013). 
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Nyhavn, pelabuhan kecil di Denmark. Penuh dengan orang tak kira musim panas atau sejuk
Apa yang menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5).  Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana negara di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan rakyat terjaga
Denmark sememangnya cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%.  Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte  (The State's Educational Support). Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Salah satu iklan menarik di Copenhagen. Diskaun untuk membeli cenderamata berdasarkan umur. Umur 52 dapat 52% diskaun, kalau 78 tahun dapat 78% dan kalau 100 tahun, free je kot. 
Selain itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan  majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Berbasikal ke mana-mana saja
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan  itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Nenek warga emas berjoging semasa salji masih tebal
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
P/S: Terima kasih editor TMI sudi siarkan. Terima kasih juga atas pembetulan. Perkataan 'redha' rupanya ejaan yang betul adalah 'reda'. Tapi ada satu lagi editor tak perasaan, perkataan 'and' terlupa dipadam pada perenggan kedua. Tapi tak pe, janji mesej dan info yang nak disampaikan, sampai kepada pembaca 

Friday, March 16

5 Panduan Penting Melancong ke Copenhagen

Siri Panduan Melancong ke Denmark: Part 2

Salam 1Dunia.

Memang tidak dinafikan, Copenhagen (atau Kobenhavn dalam bahasa tempatan) bukan la berada dalam top list destinasi pelancongan yang orang suka lawati bila pusing Eropah. Tak macam kota London, Milan atau Paris. Namun, tak glamer tak semestinya tak best dan menarik kan?

Walaupun banyak website yang memaparkan info-info yang berkaitan melawat Denmark, namun penulis DKKC merasakan jauuuh lebih baik kalau ‘orang luar’ yang berhijrah sementara di sini yang mencurahkan pengalaman untuk dikongsi. Jadinya tips dan guide ni adalah dari perspektif penulis DKKC dan boleh la dijadikan rujukan tambahan dan perbandingan semasa survey dan mencari info pasal melancong ke Denmark bumi Scandinavia ni.

Sebelum ditampilkan 5 panduan penting melancong ke Copenhagen, Jom kita lihat, tips before your travel.

Tips -Before Your Travel
Visa
Visa is not required for residents of Malaysia for stays up to 90 days. Bawa je buku merah tu.

Time Zone ( GMT )
Copenhagen Time Zone adalah GMT+1hour. Perbezaan Malaysia-Copenhagen adalah 7 jam. Tapi bila ada daylight saving time (March-October) kena la kurangkan sejam tapi selepas tu, tambah balik sejam.

Electricity
Kat sini memang problem kalau bawa normal charger handphone, camera atau lap top dari Malaysia. Jadi untuk senang, bawalah universal adapter. Jangan beli kat sini, bawa la dari Malaysia, kat sini lebih mahal daa.

5 panduan penting melancong ke Copenhagen

When To Visit?

Tengok tu, paling ‘panas’ pun cuma 20oc je. Macam best je kan. Tapi bila time sejuk, mahunya mencecah -5oC. Melancong ke negara Scandinavia khususnya ketika musim sejuk mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya time ni tak ramai sangat pelancong, banyak hotel and airlines buat promo dan diskaun (kecuali ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru). Tapi ada juga kekurangannya. Semasa musim sejuk, waktu siang adalah sangat pendek, cuaca pun asyik gloomy dan sudah tentu sejuk semacam. Dah namanya musim sejuk, memang la sejuk kan. 

Tapi berlainan kalau anda ingin ‘menikmati’ panorama bersalji atau bermain. Malahan kalau ada ingin bermain ski, misalnya di negara scandinavia yang lain misalnya Norway dan Sweden, Hmm time ni la yang paling sesuai. Namun, sepertimana negara Eropah yang lain time spring (musim bunga) hinggalah ke awal autumn (musim luruh) adalah time yang sangat sesuai dilawati. Cuaca yang ok, suhu yang mendamaikan dan juga persekitaran sana-sini indah. Tapi bila time mid-summer, agak crowded sikit sebab ramai pelancong berkunjung.


Where to Stay?
Di bandar Copenhagen memang sukar mencari hotel yang harganya berpatutan. Sejajar dengan taraf hidup yang tinggi di sini, sewa tempat penginapan pun memang kadang2 tak tercapai dek akal. Malahan hostel and budget hotel pun masih boleh dianggap tidak berpatutan. Manakan tidak, tido semalam di Hotel 2 star misalnya pun dah dalam range 400kr-550kr (RM215-300). Tu baru budget hotel. Toilet kat luar (shared) dan tanpa breakfast plak tu. Dan hostel plak dalam lingkungan 180-250kr (RM100-150) satu malam perperson in dorm. Lainla kalau anda mempunyai poket yang tebal, memang tiada masalah. Penulis tak pernah pulak menginap di mana-mana hotel di Copenhagen ni. Tetapi ada boleh merujuk booking.com untuk membandingkan harga hotel/hostel pilihan.
 
Nak makan kat mana? Halal ke?
Memang kat sini tiada restoran Malaysia. Asian Restaurant ada la. Tapi tu pun belum tentu halal-haramnya. Tapi jangan bimbang, kerana rangkaian kedai arab dan juga gerai kebab senang dijumpai. Harganya? Sebiji kebab yang biasa dalam lingkungan 38-45kr (RM20-25) sebiji. Ok la tu. Takkan nak makan megi je. Oh ya, bersebelahan dengan Copenhagen Central Train Station, ada beberapa kedai asian. Kat sana pun kekadang tu ada jugak Maggi dari Malaysia dijual, 10kr/RM5.50 untuk tiga paket. Ada juga beberapa jenis megi buatan Indonesia dan Thailand. Yang ni kena check label dulu la ya.

Nak beli makanan yang pelik2 di kedai tu mestilah dipastikan kandungannya. Jangan main hentam beli je. Tak semua boleh dimakan oleh orang Muslim walaupun ianya hanyalah roti, biskut ataupun aiskrim. Ini adalah benar, kerana tak semua kedai yang peniaganya kelihatan seperti orang arab, kebab misalnya dari sumber daging yang halal. Memang la tiada daging b*bi di dalam kedai tapi sumbernya belum pasti. Setakat yang penulis ketahui rangkaian kedai Konya Kebab dan Restaurant Shawarma, insyaAllah setakat ini ditanggung halal. Walaupun tiada tertera logo dan tanda halal, namun misalnya Shawarma ada digantung sijil sumber daging yang diperakui dari Scandinavia Islamic Center. Restaurant Kebabish pun insyaAllah halal. Ada orang cakap nama restaurant tu pelik sikit macam kebab+babi, tapi bukan gitu ok.

Tetapi kekadang tu, memang la susah sikit sebab ingredienser (ingredient) dalam bahasa tempatan. Tapi kalau ada E-kod tu, boleh la rujuk. Dan kalau tertera label untuk vegetarian or makanan yang dilabel pakai vegetabilsk oile (vegetable oil) insyaAllah kalau yakin dan juga pasti tiada tulisan svinefedt (pork fat) atau apa2 seangkatan dengannya boleh la beli. Kalau tak tawakkal je la. Kalau agak ragu-ragu, tak payah beli terus.

Pengangkutan
Sistem pengangkutan awam di Copenhagen memang boleh dikira agak baik dan memuaskan. Pendek kata boleh dipercayai dan tepati masa. Namun, yang kurang baiknya adalah sedikit mahal kosnya. Di Copenhagen terdapat perkhidmatan Metro (mostly underground-di tengah bandar), S-Tog (On the ground-kawasan bandar) dan juga regional train (antara bandar). Terdapat juga bas yang kerap. Anda boleh menggunakan tiket yang sama untuk menaiki mana2 perkhidmatan awam dengan syarat dalam zon yang tertentu dan tempoh waktu yang ditetapkan.
Dari Airport ke City Center boleh ambil train Metro (M2), warna kuning
Tiket boleh dibeli bergantung kepada berapa zon yang akan dilalui (kawasan dari tempat mula bergerak ke destinasi) samada beli secara sehala ataupun secara pukal. Pembelian tiket secara pukal atau dikenali sebagai klippekort adalah lebih murah dan lebih menjimatkan. 1 keping klippekort boleh digunakan sebanyak 10 klip/kali. Walaupun harga 1 klippekort mungkin agak mahal, tapi jika anda menggunakan banyak kali dan menggunakan public transport secara kerap adalah lebih menjimatkan berbanding beli secara on the spot atau untuk sehala.

Contohnya yang paling mudah adalah perjalanan dari Copenhagen Airport ke kawasan pusat bandar, misal berhenti di Kongen Nytorv atau Norreport adalah 3 zone (zone 1, 3 dan 4). Perjalanan tersebut hanya memakan masa 15 minit dengan menaiki train Metro. Sekiranya tiket sehala dibeli, harganya adalah 39kr (RM21) dan sekiranya klippekort dibeli kosnya hanya 19kr(RM10) (sehala). Tapi anda harus ingat, tiket klippekort boleh digunakan 10 klip, maksudnya ada 10 tiket, jadi anda harus membeli dengan harga 190kr (RM100)/sekeping bagi klippekort 3 zone. Tetapi sekiranya anda berdua atau berkumpulan elok dibeli klippekort ni kerana ianya boleh dikongsi. Tempoh waktu yang boleh juga bergantung jenis klippekort yang dibeli. Ada klippekort untuk 2,3,4,5,6 dan juga alle zone. Klippekort untuk 3 zone misalnya boleh digunakan dalam tempoh waktu  1 1/2jam bagi satu klip. 

Namun ada cara senang untuk merancang perjalananan. Tak perlu pening dan risau. Ada boleh menggunakan web interactive rejseplanen.dk. Senang je nak guna, boleh juga rujuk blog Sdr Azizul untuk mengetahui cara menggunakannya.


Berapa $budget$ untuk berbelanja?
Denmark mempunyai matawangnya yang tersendiri iaitu kroner (kr). Duit boleh ditukar di Airport ataupun di bandar Copenhagen. Namun tak semua forex atau kaunter tukaran wang mahu mengambil RM. Maka, bagi mengurangkan risiko adalah lebih baik tukar wang RM kepada USD atau Euro dan kemudian ke Kr. Kadaran tukaran adalah lebih kurang 1kr=RM0.53 (tukaran March 2012). Untuk lebih senang anggap aje 50sen sama dengan 1kr. 

Walaupun nampak dua kali ganda, maksudnya tukar RM ke Kr dapat banyak, tapi anda harus sedar bahawa harga barang di sini adalah tinggi. Contoh mudah ialah harga sebotol air mineral 500ml adalah lingkungan 15-18kr (RM8-10) sebotol! Tu baru air mineral bukan makanan atau benda lain lagi tu. Tapi kalau asyik membandingkan harga barangan di sini dan setiap kali itulah anda convert ke RM, maka sampai bila2 anda akan rasa tidak sanggup beli makanan atau barangan di sini. 
Harga souvenirs kat sini pun boleh tahan cantik dan boleh tahan juga harganya. Ada banyak pilihan dan kedai souvenirs di pusat bandar Copenhagen, misalnya di laluan shopping Stroget. Harga sekeping Fridge Magnet adalah 25-35kr (RM13-18) sekeping bergantung kepada saiz dan mutu FM tersebut. Key chain pula biasanya harga bermula dari 35kr (RM18) ke atas. Walaupun harga agak mahal untuk souvenir yang kecil jangan risau sekiranya anda datang dari luar Eropah dan melancong ke sini, anda boleh meminta resit khas untuk proses claim tax free (tax refund) nanti masa kat airport. Walaupun tak banyak maybe 10-20%, tapi ok la daripada tak dapat langsung.


<Nampaknya macam mahal jugak kos melancong ke sini ya. Tapi jangan risau, kalau pandai merancang dapat la jimatkan apa yang patut>

Part 3: Guide 1 day trip in Copenhagen>>

Wednesday, March 14

Ada Apa Dengan Denmark?

Siri Panduan Melancong ke Denmark: Part 1  
Salam 1Dunia.

Seasa penulis bagitau sedara dan kengkawan tatkala nak datang ke Denmark, kira-kira setahun yang lampau, timbul macam-macam persoalan dan pertanyaan.

Denmark tu kat mane?”
“Apa yang best kat sana?”
“Ada orang Islam ke kat sana? Senang tak nanti nak cari makanan halal?
“Bukan ke orang Denmark yang melukis kartun Rasullah SAW, 
       orang Islam tak bahaya ke pergi sana?”
"Kat sana diaorang tahu English ke tak?"

Dan bermacam-macam persoalan lagi. Benarlah kata madah pujangga, tak kenal maka tak cinta. Macam mana nak cinta kalau tak kenal? Tak kenal maka tak tahu. Tak tahu maka tak datang...

Al-kisahnya, rakan sekelas penulis DKKC zaman muda mudi dulu bakal meronda ke beberapa europe dan akan hinggap ke bumi Copenhagen ni. Tetapi, kebetulan time tu, InsyaAllah penulis akan berkelana ke tempat lain. So, tak boleh la nak jadi tourist guide. Dan kebetulan, ada juga sekumpulan pelajar Malaysia dari Timur tengah nak menjelajah ke sini summer nanti. Lantaran itu, tercetus idea untuk share tips dan guide sebagai panduan melancong ke Copenhagen Denmark kepada semua. Kot2 ada yang nak datang melancong atau melencong ke sini nanti, dapat la sedikit info sebagai maklumat tambahan. Jadi, eloklah kiranya dikongsi panduan bagi merungkai persoalan. Lagipun dah lama dah merancang nak buat post pasal tips dan guide melawat Denmark ni. Sibuk je memanjang. Sibuk ke buat2 sibuk? Alasan je tu. Ahaks!

Bagi memulakan guide ringkas dan sempoi ini, Siri Panduan Melawat Denmark ini akan di bahagikan kepada beberapa Part:

-Part 2 : 5 Tips Penting Melancong ke Denmark (Makanan/ Penginapan /Pengangkutan/ Budget/ Time to Travel) ~coming soon
-Part 3 : Guide Trip Satu Hari : One Day Trip in Copenhagen~coming soon
-Part 4: Apa yang best di Copenhagen: 10 Must Visit Copenhagen Attractions~coming soon
-Part 5: 3D,2N in Denmark:Visit Greater Copenhagen and Nearby Cities~coming soon

Untuk Part 1 jom kita kenali Denmark dulu. 10 perkara yang ada perlu tahu pasal Denmark. Click READ MORE untuk baca selanjutnya


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...