Showing posts with label Ceritera Kembara Perantau. Show all posts
Showing posts with label Ceritera Kembara Perantau. Show all posts

Monday, September 2

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia di Denmark

Salam kemerdekaan. 31 Ogos baru sahaja berlalu, bagaimana hari merdeka anda? Meraikan bersama ahli keluarga dan sahabat andai atau hanya merayakan hari cuti umum dan hujung minggu dengan beristirehat di rumah? Walau apapun, kami berharap hari merdeka anda tetap ceria dan patriotik!
Sesi bergambar berlatar belakangkan pokok epal yang lebat
Tahun ini kami komuniti kecil di bumi Copenhagen sekali lagi menyambut hari kemerdekaan dan juga aidilfitri di Nivå, Denmark seperti tahun-tahun yang sebelumnya.  Walau jauh beribu batu, masing-masing dengan penuh patriotik bersama-sama meraikan hari kebangsaan yang ke 56.


Alhamdulillah, walau sambutannya hanya secara kecil-kecilan, namun tetap ceria dan meriah. Bak kata rakan-rakan di sini 'Kalau di Malaysia pun, tidak dapat merasai semangat patriotisme luar biasa sebegini'.
Maka benarkan kata orang, bila dah berada diluar negara, barulah sedar betapa bertuahnya kita menjadi warga Malaysia kerana dapat merasaikan keamanan dan kemakmuran'.Lagipun, kalau kita tak sayang negara sendiri, siapa lagi??
Kek khas sempena merayakan hari kemerdekaan dan juga sambutan hari lahir

Walaupun jauh diperantauan, Malaysia tetap di hati. Iyelah kan, 'hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri'.
Tag: komuniti pelajar malaysia di denmark, komuniti rakyat malaysia di denmark, pelajar malaysia di luar negara, sambutan kemerdekaan di luar negara, sambutan kemerdekaan malaysia di oversea, merdeka di luar negara

Monday, August 26

Beraya Di Bergen Dengan Hidangan Daging Ikan Paus

Part 1: Journey of a Lifetime, Norway Fjords (Day 1)

Alhamdulillah, dengan limpah dan kurniaNya sekali lagi penulis DKKC dan Cik Puan Isteri diberi peluang untuk menjejaki ke bumi Norway pada 9 Syawal yang lalu. Kiranya trip kali ni, kami pergi beraya ke bandar Bergen, walaupun tak de jemputan dan saudara mara di sana. Kota yang kecil yang berada di barat Norway itu merupakan bandar kedua terbesar di Norway dan merupakan syurga dunia bagi pencinta keindahan alam. Sebelum ni, kami berpeluang meneroka selama 8 jam ibunegara Norway iaitu, bandaraya Oslo setelah belayar dengan cruise.
Kami mendarat di Bergen Airport, Flesland-Avinor setelah 1 jam 20min merentas Selat Kattegat dan North Sea dari Copenhagen, Denmark menerusi Norweigian airlines. Dari airport, kami menaiki bus untuk ke pusat bandar. Syukur alhamdulillah, urusan perjalanan berjalan lancar walau cuaca tidak menyebelahi kami.

Tip#1: Jarak airport Flesland ke Bergen hanya 17km, 25min menaiki bas. Terdapat dua jenis bas iaitu flybussen dan FlybussBergen. FlybussBergen lebih murah (beza 30NOK) dengan harga 100NOK (RM55) bagi return ticket (student price). Tiket boleh dibeli dengan driver (hanya kad kredit diterima).

Kami berada di Bergen selama sehari, sebelum meneruskan perjalanan menerusi pakej retun trip ’Norway in the Nutshell ®’. Bergen memang merupakan pintu gerbang untuk menerokai keindahan Fjords di Norway. Oleh kerana sisa waktu adalah singkat di Bergen, maka setiap detik waktu yang berlalu tidak dipersia dan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Bandar pelabuhan kecil yang dinobatkan salah satu dari ’European Capital of Culture’ pada tahun 2000 tidak kurang menariknya.

Sedap ke Daging Ikan Paus?
Bandar Bergen cukup sinonim kepelbagaian hidangan seafood yang dikatakan murah dan segar, terbaik dari laut la katakan. Bagi rakyat tempatan, harga yang ditawarkan adalah sangat murah dan hanya dijual seolah pasar tani di Malaysia. Namun, bagi pelancong seperti kami, harga memang boleh tahan mahal. Lokasi tempat pasar seafood adalah 'fish market' di Fiskertorget. Tunjuk saja mana satu pilihan kalbu. King crab, udang kara dan apa saja, maka jurujual bisa masakkan untuk anda samada rebus atau grill. Tapi, bersedialah dengan wang besar. Tapi jangan risau, kalau wang tidak mencukupi anda juga boleh bayar dengan diamond and gold!
Bergen Fish Market
Tip#2Tidak banyak money changer di bandar Bergen. Wang boleh ditukar di Tourist Information Centre bersebelahan Fish Market (tapi, lebih baik tukar wang di airport kerana rate lebih baik). Kalau anda mempunyai matawang Euro, jangan risau kerana kebanyakan kedai souvenirs malah gerai menjual seafoods menerima matawang Euro.

Penulis DKKC begitu seronok kerana dapat mencuba daging ikan salmon dan juga pelbagai jenis kaviar secara percuma di setiap gerai. Antara yang eksotik, adalah pengalaman merasai daging ikan paus. Ikan paus merupakan sejenis mamalia kerana berdarah panas dan mempunyai paru-paru dan juga menyusukan anak. Ikan paus adalah halal dimakan dan tidak perlu disembelih walaupun adalah sejenis mamalia laut. Pandangan dari majoriti Ulama bahawa segala haiwan yang hidup di air hukumnya boleh dimakan kerena termasuk kategori ikan. Dalil yang membolehkannya adalah nas Al-Qur'an surah al-Ma'idah, ayat 96 "Dihalalkan untukmu sekalian haiwan buruan laut dan makanan laut".
Daging paus, sekilo 590NOK (RM323) je
Bagi yang ingin mengetahui apakah rasa daging ikan paus ni, hmm, sebenarnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, namun bagi Penulis DKKC rasanya adalah seperti daging lembu biasa, tetapi tidak liat. Rupanya seperti daging, tetapi warna agak gelap, hampir kehitaman. Oleh kerana tidak puas mencuba secara percuma ’free taste’ yang ditawarkan jurujual, kami memilih sepinggan yang lengkap dengan pelbagai jenis seafood segar sebagai hidangan tengahari. Walaupun, harganya tidak terkira mahalnya, namun apakan daya masa takkan kembali dan peluang hanya sekali, lantas kami pejamkan mata menggores kad kredit bagi menikmati sepinggan ’cold dish’ yang berharga 250NOK (RM 137). Tetapi berbaloi kerana makanan laut tersebut sungguh sedap dan segar, malah kesedapan isi king crab dari Norweigian Sea masih lagi terasa hingga kini dan menari-nari dalam mulut.
sepinggan potato salad, salad biasa, hirisan ikan salmon, ikan salmon berempah, udang halus yang direbus, udang kecil yang manis, udang kara, batang kaki king crab dan juga isi daging paus sungguk enak dicicah dengan honey mustard sauce
Bergen-The City of Rain in Norway
Perut kenyang, hati pun girang. Alhamdulillah. Seterusnya kami berjalan pula ke sekitar Bryggen, kawasan deretan bangunan berwarna-warni yang telah digazetkan sebagai salah satu dari lokasi World Cultural Heritage oleh UNESCO. Bangunan yang dibina sejak 1702 tersebut kelihatan senget bila dilihat dari dekat dan seolah hampir runtuh.  Kompleks deretan 17 bangunan yang diperbuat dari kayu tersebut kini menjadi tarikan pelancong yang menempatkan beberapa galeri dan muzium selain kedai cenderahati dan juga restoran/cafe.
Deretan bangunan kayu berwarna warni bryggen
Hujan rahmat turun mencurah-curah seolah tiada tanda untuk berhenti tidak mematah semangat kami untuk meneruskan pula perjalanan ke Bergenhus Fortress, iaitu tembok pertahanann yang berdiri utuh di muara Bergen yang kini menjadi muzium. Hujan dan Bergen memang tidak dapat dipisahkan. Bayangkan, hujan turun setiap hari berturut-turut selama 85 hari dari 29 Oct 2006 - 21 Jan 2007. Oleh itu, bagi penduduk tempatan hanya ada dua jenis cuaca, sama ada hujan renyai ataupun hujan lebat. Sinar mentari sudah tentu memberi sinar kebahagian kepada warga tempatan. 
Pahlawan viking giat berlatih di medan lapang di hadapan Bergenhus Fortress
Memetik Raspbery Liar di Gunung Fløyen
Bandar bergen dikelilingi oleh 7 gunung. Lantaran itu sukan aktiviti lasak seperti hiking adalah popular di kawasan tersebut. Bagi yang ’malas’ mendaki tetapi masih ingin melihat kecantikan bandar Bergen dari puncak gunung Fløyen, jangan risau kerana anda boleh menaiki kereta kabel/funicular yang digelar ’Fløibanen’. Kami memilih untuk menjadi sedikit ’rajin’ iaitu menaiki funilar ke puncak gunung dan berjalan kaki menuruni bukit yang setinggi 320m. Sebenarnya bukan rajin sangat pun, tapi sebab perlu membayar 40NOK (RM22) bagi menggunakan kereta kabel untuk naik dan turun yang hanya mengambil masa 8  minit!

Tip#3Laluan mendaki naik/turun gunung Fløyen agak tricky kerana tiada papan tanda. Tetapi, anda boleh follow pelancong yang lain, kerana ramai juga yang tidak menaiki kereta kabel, sebab mahal sangat, tapi kalau pelancong tersebut pun tak tahu jalan, anda pun akan turut sesat!
Pemandangan dari puncak gunung Fløyen
Memang cantik pemandangan dari puncak gunung, baru nampak rupanya besar jugak bandar Bergen tu. Perjalanan turun menuruni gunung Fløyen memakan masa hampir 40 minit. Di lereng bukit, banyak sungguh pokok raspberry tumbuh meliar. Cer teka, siapa yang paling ghairah mengutip buah beri liar ni? Tentu la Cik Puan Isteri juaranya. Tekun sungguh memetik, maklum la katanya kat Malaysia tak de pokok raspberry free sebegitu. Lagipun, kat kedai pun mahal harga.
Ini lah rupa raspberi yang berjaya dipetik. Ada yang masam, ada yang manis
Tiada Yang Murah di Bergen
Yang pastinya tiada apa yang murah di seluruh Norway termasuklah di bandar Bergen. Bagi kami yang telah biasa menetap di bandar di negara Scandinavia, iaitu Copenhagen, pun tetap terasa kemahalannya. Bayangkan, sebatang mentimun berharga 16NOK (RM8.50), walhal hanya RM3 sebatang (tu pun dah mahal sebenarnya). Begitu juga minuman jus dan susu, rasanya 20% lebih mahal dari Denmark. Souvenirs pun boleh tahan harganya. Fridge magnet yang cikai pun dah 39NOK (RM21) sekeping! Kebanyakan cenderahati adalah berupa viking dan juga patung 'Troll' yang berwajah hodoh dan sangat tua. Troll merupakan mitos lagenda cereka orang Norway yang mana hidup di balik gunung serta memakan manusia tetapi tidak boleh terkena cahaya matahati.
Troll yang pendek, tua dan hodoh
Part 2: Pengalaman belayar melalui Norway Fjords yang mengagumkan
Tags: pergi ke norway, melancong ke norway, pergi ke bergen, melancong ke bergen, bandar bergen, pasar ikan di bergen, melawat bandar bergen, ada apa di bergen, panduan ke bergen, panduan ke norway


Thursday, February 28

Berakhir sudah musim sejuk yang sejuk [Video]

Kalau menonton drama siri cerita Korea Winter Sonata, tampak suasana musim salju sunguh indah dan romantis. Namun, sebenarnya tanggapan tersebut tidak tepat. Terseksa  jiwa raga weh. Manakan tidak, kalau nak keluar beli barang-barang kat kedai tepi rumah pun kena pakai baju berlapis-lapis dan gloves bagai. Kalau tidak, tentu habis kejun jari jemari.
Setelah berminggu-minggu bumi Denmark dibaluti salju putih, kini ketulan ais semakin mencair. Negara  Scandic seperti Denmark memang lumrah dengan musim sejuk yang melampau, namun tidaklah seteruk negara jiran Sweden, Finland dan Norway. Tapi teruk la jugak, kerana cuaca sering dipengaruhi angin sejuk yang bertandang dari Siberia dan juga Rusia.

Alhamdulillah, nampaknya musim sejuk telah pun sampai ke penghujung (kena sedih ke gembira?). Biasanya bulan Mac, secara tak rasminya akan bermula musim spring la plak. Tahun ni, musim sejuk di Copenhagen buleh tahan juga lama dan sejuk memanjang.  Dengan purata suhu sekitar -3 hingga 5°C hari-hari,  sudah cukup  untuk merasai kehidupan seolah di dalam peti ais.
Membeku puding agar-agar menggunakan peti ais outdoor
Kalau dulu (kira-kira 3 tahun yang lalu), memang sangat teruja dengan kehadiran halus-halus salju yang turun ke bumi. Dulu-dulu semasa hari-hari pertama salji turun, dah jadi hobi duduk termenung kat tingkat. Teringat suatu pagi, bangun tidur dan excited giler tengok kat luar tingkap rumput menghijau jadi putih akibat frost. Maklum la orang kampung, mane pernah tengok snow ni. Sekarang ni, bila salji turun, setakat jeling-jeling je. Kalau dulu skripnya berbunyi ”Yahoo, salji dah turun. Boleh gi main sledding”. Sekarang skripnya berubah ”Alamak, salji turun lagi. Bila la nak habis musim winter ni.”

Walaupun, keterujaan sedikit berkurangan, tapi bila berpeluang dan kurang sibuk, sempat la jugak menjadi kanak-kanak ribena bermain-main atas snow dan juga membuat sesi outdoor photography. Al-maklumlah tak tahu bila lagi berpeluang menikmati pemandangan memutih dikala musim sejuk sebegini. Kalau nak harap masuk i-city, kena bayar mahal pulak. Skrang ni main snow, free. Yang asli lagi :)
Pengalaman 3 kali mengharungi musim sejuk di perantauan sungguh menarik untuk dikenang. Musim sejuk memang musim yang sangat unik. Sebab utama adalah kerana apabila salji turun, dalam sekelip mata keadaan sekeliling menjadi putih saujana mata memandang seakan-akan tanah menjadi suci dan cantik untuk dipijak dan juga berguling.
Pemandangan dari beranda rumah
Bagi yang tidak berpeluang dan tiada  pengalaman merasai kehidupan dibumi bersalji sebegini, disertakan video bonus selama 5 ½  min untuk tatapan anda.  Video tersebut dirakam minggu lepas, tatkala penulis DKKC dan Cik Puan Isteri gigih berbasikal meredah snow ke tempat belajar (jarak dari rumah ke school hanya 1.4km biasanya 4min berbasikal, tapi kerna snow turun lebat dan jalan licin, ambil masa 5 ½ min).


P/S: Gambar kat profle kat facebook pun kena tukar ikut peredaran musim..hehe

Sunday, February 10

Shopaholic la sangat di Milan, Itali

Day 1: Venerdì (Jumaat)/1 Febbraio 2013-Milano, Italia

Hasrat hati untuk berjalan-jalan meredah ke Itali mungkin sudah agak lama, tetapi ia lebih sekadar angan-angan. Tapi pabila peluang menjelma, Alhamdulillah angan-angan pun menjadi kenyataan. Manakan tidak, mata mana yang tak terpinar melihat flight tiket dari tempat kami di Copenhagen menuju ke Milan hanya 386 kr (RM215) je, pergi balik. Walaupun hanya dengan penerbangan tambang murah Easyjet, tapi tak kisah la kan, janji selamat sampai. Perjalanan di awan biru selama 2 jam 10 minit disulami dengan aktiviti merangsang minda dengan bahan bacaan di Ipad. Sekali-sekala dari nun jauh kelihatan banjaran dan gunung yang diselaputi ais. Indah sungguh ciptaan Allah SWT.
 “Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapkannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” Surah al-Nahl: 15)

Harapkan cerah sampai ke destinasi, tapi malangnya berkabus pula di Milan. Langit kelabu tebal menyambut kehadiran penulis DKKC dan Cik Puan Isteri yang buat pertama kali memijak bumi  Itali tatkala menjelang jam 12 tghr. Awan yang terpilu membaluti seluruh kawasan, sedar-sedar kapal terbang Airbus A320 EZY 2654 dah pun selamat mendarat. Papan tanda "Benvenuti in Italia" (Selamat datang ke Itali) jelas tertera sewaktu melewati ruangan arrival Terminal 2 di Milano Malpensa Airport. Kami memilih untuk menaiki Malpensa Ekpress yang berlepas dari Terminal 1 untuk ke Milan City Center, sejauh 45 km dari airport. Lantaran itu, kami harus menaiki free shuttle bus dari Terminal 2 ke Terminal 1. Setelah 50 min, dengan bayaran tiket EUR10, maka tibalah kami di stesen keretapi utama di kota Milan iaitu Milano Centrale.

Info: Banyak perkhidmatan bus dari Terminal 2 (khas untuk flight Easyjet) ke Milan City Center dengan bayaran tiket EUR10 (ambil masa sejam).

Langkah kaki pantas terus diatur mencari hotel penginapan yang hanya selama ini dilihat di dalam peta google maps. Hotel Nettuno [Via Tadino 27, Stazione Centrale] dipilih kerana lokasi yang strategik berdekatan Stesen Metro Lima dan juga kerna harga yang berpatutan. Usai menjamu perut dengan bekalan yang dibawa dan solat, tanpa berlengah lokasi pertama yang dituju adalah Museo della Scienza e della Tecnologia Leonardo da Vinci (National Museum of Science and Technology Leonardo da Vinci) di Via San Vittore 21 - 20123 Milano. Dek kerana sudah lewat petang (jam 3.45ptg) kami hanya di kenakan EUR4 (RM16.50) untuk last minute visit disebabkan museum ditutup jam 5 pada hari weekdays. Rupanya Leonardo da Vinci bukan setakat seorang pelukis malah beliau juga adalah sculptor, architect, musician, mathematician, engineer, inventor, anatomist, geologist, cartographer, botanist, . dan juga penulis. Kiranya semua bidanglah dia ni berbakat.

Info: Harga tiket masuk ke National Museum Leornado adalah EUR10/RM41 dan EUR7/RM29 untuk student  price. Sebenarnya tak berbaloi sangat kalau dikenakan RM41 untuk masuk muzium cam gitu2 je.
Museum Leonardo Da Vinci menempatkan berbagai  sceince section antaranya  energy, health, art dan juga transportation
Matahari sudah mula condong ke barat. Pukul 5.00 petang bererti sekitar ½ jam lebih lagi waktu maghrib akan masuk di kawasan Milan. Kami membatalkan hasrat ke lokasi letaknya karya lukisan tersohor Leornado Da Vinci yang terkenal di Milan iaitu ’The Last Supper’. Dikhabarkan kalau hendak melihat  karya tersebut di “Santa Mariadella Grazie Chuch”, hanya 20 minit je dibenarkan, itupun kena booking tiket seawal 2 bulan. So, kirim salam je la kat Leonardo da Vinci. 

Lantaran itu, kami terus ke Piazza del Duomo. Antara landmark yang terkenal adalah Duomo dan Glass Dome Galleria ataupun Galleria Vittorio Emanuele II. Di dalam Galleria tersebut tersergam megah butik Prada dan Louis Vuiton dan juga beberapa kedai ternama yang lain. Niat di hati ingin melihat-lihat suasana malam di Kota Milan. Tetapi suasana di luar agak kelam. Kerlipan lampu tenggelam kerana langit malam sangat kelabu diselubungi kabus. Musim sejuk masih berbaki walaupun sudah tiada salji. Ditambah dingin malam, kami memutuskan untuk melabuhkan perjalanan hari pertama dan pulang ke tempat penginapan sambil mencari kedai Pizzeria. Jangan tertukar ye Cik Kiah, Piazza bermaksud ’square’ dan Pizzeria baru la kedai piza.
Duomo at Night
Kalau ke Itali memang tak sah kalau tidak menjamah kepingan pizza  yang sememangnya terkenal dari negara tersebut. Kami singgah di Kedai Pizza D’asporto (Pizza The King). Bukan senang nak order pizza, semuanya dalam bahasa tempatan dan ada puluhan jenis. Dengan isyarat tangan dan berbicara seolah ayam dengan itik, kami akhirnya memilih sekeping Pizza vegi max size. Nah, amik kau, kena EUR14/RM58 sebiji! Max size tu memang gedabak punya besar. Rupa tak cantik, tapi memang menyelerakan pekena true Italian pizza!

Day 2: Sabato (Sabtu)/2 Febbraio 2013
Tahukah anda orang Italian hanya minum coppuccino di pagi hari (sebelum jam 11)?
Buon giorno! (Selamat Pagi!) Rintik-rintik hujan membasahi bumi Milan pagi itu. Tatkala mengutarakan soalan kepada receptionist hotel, tempat mana yang elok dan best untuk bersarapan, receptionist dari Sri Langka itu mencadangkan kami ke il bar di Marco tidak jauh dari hotel. Pelik juga, kami nak minum kopi coppuccino je, tapi bukan nak teguk minuman keras di Bar! Rupa-rupanya memang semua kedai kopi/caffè di sini dinamakan Bar. So, jangan pandang serong ye, kalau orang melayu masuk bar di Itali. Seterusnya kami ke square kecil di Lima untuk menjengah Pasar Minggu di situ. Tanpa menghiraukan desah angin dan hujan yang menyejukkan, lorong-lorong gerai diredah satu persatu. Kebanyakan barangan yang dijual adalah sayur-sayuran dan tangkapan hasil laut yang segar megar dan juga barangan dapur. Banyak juga sayur-sayur yang pelik2 kelihatan.
Macam-macam ada!
Penerokaan hari kedua di Itali dimulakan ke Castello Sforzesco (Sforza Castle) menggunakan Metro Line M1 (warna merah). Sistem pengangkutan awam di Itali (metro underground dan keretapi) boleh dikatakan agak efisien dan juga bersih. Kami mengambil 24hrs day pass dengan kos EUR4.50/RM18.50 seorang dan ianya sangat berbaloi serta murah. Jarak dari Lima Station ke Cairoli station tidak jauh, hanya mengambil masi lebih kurang 12 min. Dan jarak dari metro station ke Sforza Castle juga tidak la jauh. Castle ini memang berbaloi-baloi untuk dilawati dan hanya dikenakan EUR3/RM12 (student price= EUR1.5). Walaupun tidaklah secantik castle2 lain di Eropah, tetapi bahan pameran yang di pamerkan agak menarik. Di situ juga terdapat beberapa museum di dalam satu kawasan dan juga taman yang luas. Dan antara yang menarik adalah the Sala Delle Asse iaitu satu bahagian ceiling, hasil kerja tangan Leonardo da Vinci.
The Torre del Filarete yang terletak di Sforza Castle
Seterusnya kami bergerak pula ke Pinacoteca di Brera (Brera Art Gallery). Di situ letaknya galeri lukisan terkenal dari seluruh pelosok Itali. Kami memutuskan untuk segera beredar setelah tiba. Kenapa? Hmm dek kerana sudah muak dan pening menghayati seni dari pagi. Lalu seterusnya kami meredah laluan jalanan ke square yang menempatkan Teatro alla Scala (La Scala), opera house terkemuka di Milan. Nak jalan2 kat Itali sangat kan...jalan lah sepuas hati. Tetapi banyak laluan pejalan kaki di situ hanya berturapkan batu-batuan yang tidak sekata, lalu mempercepatkan proses kaki menjadi lenguh dan letih.
Pengunjung menunggu arahan dari bodyguard yang memberi arahan dan kebenaran untuk masuk. Tak boleh ambil gambar dalam kedai tu. 
Dari kejauhan kelihatan orang ramai beratur dan berkumpul. Rupanya semua orang sedang beratur nak masuk kedai roti! Kami yang pelik pun terjoin sama dan masuk barisan. Kedai Panzerotti Luini [Via Santa Radegonda, 16, 20121 Milano] tersebut memang menarik dengan bermacam jenis roti pastry. Tapi tak la nampak macam roti sangat, lebih kurang karipap bersaiz besar je. Yang hebatnya, siap ada bodyguard you! Dah macam nak masuk kedai emas la pulak.

Tidak jauh dari kawasan tersebut terdapat banyak deretan butik pakaian dan juga gedung-gedung menjual kasut dan beg. Di sini, ramai betul wanita yang memakai beg LV dan ramai juga yang bergaya dengan Alviero Martini 1a Classe Handbags. Rupanya brand Alviero Martini ni memang dari Itali. Patut la banyak orang pakai kat sini. Tak kenal ke? Ala yang handbeg jenis kulit design vintage yang ada peta dunia tu la. Apa yang pasti setentunya barangan-barangan kat sini adalah yang asli. Di sini, membeli barangan palsu adalah menjadi suatu kesalahan tau.
Deretan bendera-bendera dari pelbagai negara sempena Universal Exposition (EXPO 2015)  
Milan memang syurga untuk membeli belah especially for designer stuff dan juga bagi orang yang mempunyai poket yang tebal. Tapi kalau poket nipis pun boleh asalkan ada kad kredit gold platinum berkeping-keping sekeping dua. Kononya, kat Milan ni seolah pentas catwalk, orang bergaya sakan dan memakai jenama branded2. Tapi sebenarnya tak de la nampak sangat. Mak cik dan nenek di Copenhagen lagi pandai bergaya. Tapi mungkin kerana tak kelihatan kerana berselubung di sebalik jaket tebal menahan kesejukan, kot.

``Banyak betul Kedai jenama Saldi kat Milan ni.'' Kata Cik Puan Isteri.

Hehe..rupa-rupanya 'saldi' tu bermaksud 'sale' dalam bahasa Italy. Kami tak berani nak ke kedai branded2 sangat. Nanti tersangkut dan terbeli pulak. Setakat window shopping dan cuci mata yang dimasuki habuk cukup la. Dan kalau jurujual datang melayan bagitau je "Grazie, vorrei dare un'occhiata," (terima kasih, saya lihat-lihat dulu).
Piazza del Duomo
Sebelum meninggalkan kota Milan untuk bergerak menuju ke Pisa plak, kami sekali lagi ke Piazza Del DuomoThe Duomo ataupun Cathedral bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh orang muslim. Cukuplah sekadar melihat-lihat senibina gothicnya. Oh ya, di kawasan dataran tersebut memang seramai-ramainya Pak2 Itam yang suka-suki je datang menghampiri pelancong yang lalu-lalng,dan offer nak bagi tali benang berwarna-warni konon ada luck dan charm. Ada juga yang terus datang dan mengikat wristband ke tangan orang.  Lepas tu, boleh pulak mintak suruh orang bayar. Kami berbuat dek je, betullah apa yang disarankan oleh web www.italyguide.it, ‘It's ok to be rude towards this kind of people’.

Tapi, buat tak layan pun ada juga yang asyik datang mengacau. Naik serabut kepala. Nak berposing bergambar pun terganggu. Dan ada satu lagi taktik scam ialah depa2 ni sengaja tabur biji jagung berdekatan dengan kita, bila bergambar. Maka, berduyun la burung merpati yang tidak bersalah datang makan. Modus operandi mereka mudah je, mula-mula suruh kita tadah tangan, sebab kononnya nak bagi suruh kita bagi makanan kat burung2 dan juga bergambar dengan burung. Pastu, mereka akan paksa tanpa rela minta bayaran.

Dan dah ada mangsa dah pun yang terkena. Nasib baik melayang EUR2 je. Huhu.
Ada pernah kena tipu daya scam macam ni?

Next post: Pisa, Menara Condong Lagi Senget!
Incoming searching tags: panduan ke milan, melancong ke milan. tips ke milan itali, melawat milan, jalan.jalan ke milan, melancong ke itali

Wednesday, March 7

Från Köpenhamn till Malmö, Sverige

Terbelit lidah tak baca tajuk? Köpenhamn? Konpemtakpaham. Hehe, tu dalam bahasa Swedish. Maksudya 'Dari Copenhagen ke Malmö, Sweden'.

Al-kisahnya hujung minggu lalu penulis DKKC telah ke Sweden. Oleh kerana kesepian setelah beberapa jam 'ditinggalkan' Cik Puan Isteri yang terbang ke luar negara (macam la Denmark ni tanahair sendiri..hehe) iaitu ke Doha, Qatar kerna sertai conference, penulis DKKC telah menumpang 2 kaki mengikuti rombongan 'orang2 bujang' ke luar negara jugak. Bukan jauh pun, ke negara jiran sebelah Denmark je, iaitu ke bandar Malmö, Sweden. Oleh sebab dah dapat 'Hall Pass', so boleh la jadi 'bujang senang' untuk beberapa hari. Muahehe :p
Secara faktanya, ini kali ketiga penulis DKKC menjejak langkah ke bumi Sweden. Kalau sebelum ini, 'Fra Helsingor til Helsingborg' dengan menaiki mini cruise, kali ni menyeberang jambatan pula ke bandar ke3 terbesar di Sweden iaitu Malmö. Bandar ini terletak di bahagian selatan iaitu di negeri Skåne. Jarak bandar Copenhagen dan Malmö tak jauh. Jambatan baru telah dibina pada tahun 2000 bagi menghubungkan 2 bandar ini. Øresund Bridge tu lebih kurang 8km merentasi Selat Øresund. Nampak dari jauh macam Penang Bridge je. Tapi canggih gak sebenarnya  sebab ada 2 lapis (the longest road and rail bridge in Europe). Kat atas untuk kereta dan lapisan di bawah untuk keretapi. Selain itu, 3.5km dari jambatan itu dihubungkan melalui terowong dasar laut, di bahagian Denmark. Tunnel tersebut dibina bagi mengelakkan gangguan trafik udara kerana terletak berdekatan dengan Copenhagen Airport. Jadi, kalau baru berlepas atau nak mendarat, kelihatan jelas dari ruang udara seolah jambatan tersebut separuh tak siap, tapi sebenar jambatan tu separuh atas air, separuh lagi dibawah air (tunnel). Pelik tapi benar!

Penulis DKKC bersama Bro Zamrud (bujang sementara) dan Sdr Solah (bujang tak available) menaiki bus ekpress Swebus untuk menyeberang ke Sweden. Bus adalah pengangkutan alternatif untuk ke Sweden dari Denmark kerna memang jauuuh lebih murah. Hanya 80kr/RM43 (return ticket/person) berbanding lebih kurang 190kr/RM90 menaiki train. Tapi, kalau naik train cepat sket sampai (45min), naik bus ni sejam baru sampai. Ok la tu.
Cuaca yang baik seolah menyambut kedatangan kami bertiga. Walaupun langit cerah, namun jangan terpedaya dengan sinaran mentari, kerna suhu masih lagi 8-10oC. Setiba di bandar Malmö, kami terus meluru ke Turistbyra (kaunter information) yang terletak tidak jauh dari Central Station. Setelah diberi panduan oleh pegawai bertugas, kembara dimulakan dengan menuju ke Stortorget (City Square). Di situ letaknya dataran dan tugu berkuda King Karl X Gustav. Rupanya, King Gustav inilah yang berjaya menawan semula kawasan Malmö setelah dirampas oleh kerajaan Denmark zaman dulukala. Berada di Sweden macam berada di Denmark je. Hmm..rasanya, rupaparas, budaya, senibina bangunan dan percakapan orang Swedish ni tak la berbeza sangat dengan Denmark. Maklum la, negara serumpun Scandinavia la katakan. Cuma bahasanya dikit berbeda. Macam Bahasa Melayu dengan Bahasa Indonesia la. Kat sana ada tambahan vowel iaitu 'å' 'ä' 'ö', tak macam Denmark ada 'å' 'æ' 'ø'.

Tak jauh dari situ terletak Lilla Torg (small square), tempat orang lepak2. Kawasan situ nampak cantik sebab banyak bangunan usang yang kukuh terpelihara. Tempat ni adalah market square. Kat situ juga terletak Design Centre, macam pusat krafttangan gitu. Tapi kami tak masuk pun, al maklum orang2 lelaki mana la minat seni2 krafttangan gini sebab semuanya kerastangan je. Setelah mengalas perut di Subway, (penat weh cari kedai makanan halal. Kedai2 pak arab pun tak jumpa) kami pun  beredar menuju ke Malmöhus Castle melalui Kungparken (King's Garden). Tapi oleh sebab di kala penghujung musim sejuk, panoramanya tak de la cantik sangat. Pokok2 togel semuanya. Di situ terdapat Mölleplatsen (Dutch Mill)Sempat juga la posing kat Kincir angin tu konon2 berada kat Belanda.

Tiba di Malmöhus Castle, sedikit kecewa melihat bangunan castle tu macam biasa2 je. Tak la gempak sangat. Tak de pun kubu dan tembok besar keliling istana macam tempat lain. Tapi, castle ni glamer gak sebenarnya sebab dah dijadikan muzium. Bukan satu, tapi 4 muzium sekaligus. Ada Malmö City Museum, Natural Histroy Museum, Konstmuseet (Art Museum) dan juga Aquarium & Tropicarium. Macam kompleks muzium gitu.Tapi tak free rupanya. Dan sebab tak cukup masa, kami hanya jenguk2 je sambil JJCT. Tahu tak JJCT tu ape? Jalan-Jalan Cari Toilet la. 

Seterusnya, perjalanan diteruskan menuju ke landmark utama di Malmö, iaitu Turning Torso (Twisting Torso). Menara yang mempunyai rekabentuk putaran ni terkenal sebab senirekanya unik, idea dari tulang belakang spinal manusia. Oh ya, ada satu bangunan baru, 'Infinity Tower' dibina sebegini di Dubai, UAE. Bangunan yang tertinggi di bumi Sweden ini adalah 54 tinggkat rumah kediaman dan dibina dengan bentuk putaran sebanyak 90oC. Ianya dibina di Western Harbour, satu kawasan bandar baru bagi Malmö. Banyak bangunan yang unik dan menarik di kawasan tersebut. Siap ada kawasan perumahan atas air. Bukan macam rumah rakit tu, yang ni style sket, 2 tingkat.
Ketinggian Bangunan Turning Torso ni 190m je. Kata tertinggi di Sweden??                                      Tinggi lagi Menara KOMTAR!!

Setelah hampir 4 jam puas meneroka bandar Malmö, sesi berjalan, melihat dan mentafsir pun berakhir, lalu mula berangkat pulang. Alhamdulillah sekali puji bagi Allah SWT, kami telah selamat tiba kembali ke 'tanahair sementara' Denmark. Baru je nak lena, dah pun sampai. Nasib baik tak jet lag. Hmm..best jugak sekali sekala jalan-jalan bersama geng-geng bujang :) Next trip, nak ke mana plak ye?

Wednesday, August 10

Sarkas Bukan Sarkastik

Ada pernah menonton sarkas? Bukan sarkastik. Tapi sarkas, ala yang ada badut, persembahan akrobatik dan haiwan tu. Ha, yang tu la..
Arena Cirkus in Lyngby

Orang di Denmark kat sini memang gemarkan menonton sarkas. Terutamanya pada musim panas. Padahal tiap-tiap tahun ada. Tapi diaorang tetap pi tengok, dan tak pernah jemu. Sebabnya? Setiap tahun persembahan sarkas yang dipertontonkan adalah jenis berlainan. Siap ada tema-tema lagi. Lagipun bagi diorang menonton sarkas ni semacam hiburan kekeluargaan (family entertainment).
 

Kat sini ada beberapa kumpulan sarkas yang popular seperti Arena, Benneweis and Dannebrog (yang bersaiz besar), dan juga yang berskala saiz medium seperti Circus Baldoni dan Circus Arli. Kumpulan-kumpulan ni bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain di dalam Denmark. 


Penulis DKKC memang dari dulu teringin nak tengok apekemende yang ada kat Sarkas di Denmark ni. Memandangkan tiket nak masuk memang boleh tahan, pikir 5 kali jugak.  Mase booking tiket tu, baru keluar citer Harry Potter 7 part 2. Nak tengok wayang ke nak gi sarkas. Maka, penulis DKKC pun bermesyuarat dengan cik puan isteri dengan mengambil kira ‘peruntukan entertaiment’ bulanan. Yes, we do have some small budget for monthly entertainment! So, kalau dah terlebih ‘hiburan’ maka kena la postponed next couple of months/years (or forever?). Maklum, kene la save sket budget dan berjimat cermat untuk masa depan. Lagipun, tak elok terlebih hiburan ni, tak elok untuk kesihatan dan kewangan..muahehe
 

Akhirnya, menonton sarkas dipilih. Reasonnya, tiket dapat diskaun dan tempatnya tak jauh dari rumah. Asalnya, tiket harga 200kr (mahal tu RM 115/sorang). Tapi oleh sebab, kelab di department university cik puan isteri anjurkan untuk pergi reramai, dan depa ada beli secara group dapatlah harga 175kr/person. Tapi, mungkin sebab tak de orang nak join, depa kasi can murah je, (lebih kurang sama untuk harga tiket wayang) iaitu 80kr (RM 46), kami pun booking tiket. Pastu, baru la perasan, alamak show sarkas tu bulan puasa! Huhu
Diorios dari Brazil. Fenin tengok  budak-budak tu pusing2

Sarkas yang kami tonton tu adalah dari Kumpulan Arena Circus (terbesar di negara-negara Scandinavia). Yang bestnya bertemakan ‘circus under water’. Kebanyakan penghibur adalah tertaraf ‘internationale’. Antaranya kumpulan Shandong Acrobatic (China), Dioiros-terbang dalam roda (Brazil), Body Artits Trio Larus (Hungary), Zorro Senoritas (Sepanyol), Russian Rope Artistry dan The Little Mowgli with elephants (Africa) dan beberapa lagi. Dan juga clown (badut) dari Itali. Tapi, badut sekarang dah tak de bakai baju warna-warni, topi tinggi dan juga letak bola kat hidung macam dulu-dulu. Dah moden kot.
Badut moden, Jimmy Folco dari Itali, bukan yang kanan tapi yang sebelah kiri
Mowgli and 4 African Elephants

Persembahan dibahagikan kepada 2 sesi. Sesi pertama yang bertemakan air. Manakala yang kedua rasanya bertemakan terbang-terbang kot. Tema api tak de plak. Ada juga haiwan seperti singa laut, gajah, kuda dan juga anjing buat persembahan. Best memang best. Sampai hilang rasa lapar puasa sekejap. Tapi, penulis DKKC banyak kene tutup/kenyit mata je, sebab banyak sangat part yang boleh ‘menguruskan’ puasa…

Monday, May 9

Copenhagen Sakura Festival 2011

Siapa kata Jepun tu jauh? Haha..kami naik train 30min je untuk ‘ke Jepun’ bagi melihat bunga sakura dan berjumpa dengan gadis-gadis Jepun berkimono..
Bermasa gadis-gadis mix mat salleh+japanese in Kimono
Ye ke? Tak la...ekceli Ahad lepas kami pergi ke Copenhagen Sakura Festival. Festival itu diadakan sejak tahun 2006 dengan kerjasama Kedutaan Jepun dan ditaja oleh beberapa company Jepun di Denmark. Dikhabarkan pada tahun 2010, Sakura Festival dibuat terlalu awal (pada bulan April) dan menyebabkan bunga Sakura belum pun berbunga, dan tahun ni 2011, festival itu mengalami nasib yang hampir sama kerana semua bunga telah gugur jatuh ke bumi, yang ada hanyalah tangkai!!
Bunga-bunga sakura tinggal tangkai..tinggal beberapa kuntum je 
Copenhagen Sakura Festival diadakan di Lingelinje, iaitu berdekatan dengan salah satu kawasan tourist attraction Patung Duyung ‘The Little Mermaid’ di Copenhagen.  Kawasan itu memang banyak ditanam pokok-pokok sakura.

Berpicnic dibawah pokok besar di kelilingi pohon sakura yang menjadi tradisi warga Melayu di Copenhagen  3tahun berturut-turut di lokasi yang sama
Kami tiba seawal jam 10.15am. Ala-ala breakfast di sana la. Tepat jam 10.40am sebagaimana dalam aturcara, persembahan Seido Taiko (Taiko drum) bermula. Kagum juga melihat anak-anak mat salleh bermain alat musik Jepun dengan penuh lincah gaya. Terdapat juga demonstrasi Kyodo Seishinkan (memanah) dan juga Shihimai (teater). Kelihatan juga ramai anak muda Denmark yang obsess dengan manga dan anime memakai constume watak pujaan masing-masing.
Anak-anak orang putih lincah bermain Seido Drum

Cik Puan Isteri meredah manusia-manusia yang bergelimpangan. Orang melayu berpicnic di bawah pokok, mat salleh cari tempat yang panas

Selain itu, terdapat banyak gerai dan booth kecil dibuka seperti menjual barangan kraftangan, komik jepun, pakaian tradisi dan cenderamata dari Jepun. Ada juga demo membuat serta jualan makanan Jepun termasuklah sushi, doraiyaki, ramen dan shashimi. Tak ketinggalan demonstrasi tatacara adat minum cara tradisi jepun, seni ikebana, origami dan kaligrafi Jepun. Pendek kata meriah juga.…ada la jugak feel sket2 seperti berada di Maruyama Park di Kyoto Jepun..haha
Kesian Atuk ni, 2 kali percubaan masih tak mengenai sasaran
Orang ramai berpusu-pusu menyerang aneka gerai
Bersama gadis bercostum play watak burung , tak tahu la watak dalam citer ape nih
Memakai costum sumo dan ditewaskan oleh seorang mat salleh 2-1..Susah wei nak bangun kalau pakai costum ni
Next post: An Evening with Tan Sri Muhyidin Yasin at Copenhagen

Monday, January 3

Ceritera Kembara Perantau


Sempena tahun baru 2011,  blog ‘dari KELate ke cOPENhagen’ bertukar header. Dengan tag line yang baru iaitu ‘Ceritera Kembara Perantau’. Kalau dulu hanya menggunakan header yang cikai dan biasa dengan gambar rumah tradisinal Danes (gambar terbaik hari pertama tiba di Denmark), kini saya memilih untuk membuat header yang lebih simple.
Header blog ini untuk 2010
Namun, saya masih menggunakan tajuk blog yang sama iaitu ‘Dari Kelate Ke Copenhagen’ kerana lebih sinonim dengan blog ini. Apepun, teruskan menjenguk dan menjengah ke blog ini. Semoga blog ini dapat menceriakan hari anda!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...