Friday, June 29

Keukenhof, Tanah Rendah Sekebun Bunga

Siri Novelet Travelog-Kembara Cinta di Kota Eropah (Bahagian 3)

-I-
1 April 2012-Ahad
Dingin dalam khemah terasa nihil makna. Mirza tersedar. Entah kali berapa dia tersedar. Lampu picit di penghujung kepala diambil lalu disuluh tepat pada jam tangannya. Sudah pukul 5.20 pagi.
 “Alhamdulillah, dah nak cerah.” Bisik hatinya. Kesejukan yang dialami benar-benar menggangu lenanya. Namun dia bersyukur dapat mengharungi malam yang dirasakan amat panjang.  Di dalam kegigilan, dia kuatkan diri keluar dari khemah untuk berwudhuk dan seterusnya menunaikan solat subuh.
Pada pukul 6 pagi hampir kesemua peserta rombongan yang berkhemah telahpun berada di dewan makan. Bukan kerana kelaparan, tetapi melarikan diri dari kesejukan.
        “Kami dah bagitahu krew, malam ni kami nak tukar masuk kabin.” Jelas Badriah kepada Elisa sambil menyuap kepingan roti yang dicicah hot chocolate. Badriah dan Salina telah sepakat, mereka tidak mahu bermalam di dalam khemah lagi.
        “Malam tadi suhu 2oC. Patut la sejuk semacam.” Tambah Salina sambil menunjukkan bacaan suhu yang tertera pada iphone 4Snya. Elisa berpaling pada Mirza dengan jelingan. Mirza faham, isterinya juga mahu bertukar untuk menginap di dalam kabin.
Cahaya pagi mula muncul setelah selesai menjamu sarapan. Kabus nipis kian hilang. Mentari memancarkan sinarnya. Burung-burung mula keluar riang hinggap di dahan pokok mencari rezeki.
-II-
Itinerari Kelana Convoy hari kedua dimulakan dengan melawat ke Irene Hoeve yang terletak di Katwoude. Tempat itu merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong. Ada dua tarikan dalam satu tempat, iaitu workshop demonstasi pembuatan terompah kayu atau lebih dikenali sebagai clogs dan juga cheese. Terdapat juga kedai yang menjual barangan yang dibuat dan cenderahati. Namun, Mirza dan Elisa melihat-lihat sahaja barangan yang dijual dan hanya merasa cheese pelbagai citarasa. Mirza yang pernah datang ke Holland sudah arif yang harga cenderahati lebih murah boleh didapati di pusat bandar Amsterdam, lebih-lebih lagi di Floral Market yang akan mereka pergi petang itu.
  Seterusnya, bas menuju pula ke pekan Lisse di mana letaknya Keukenhof, taman bunga terbesar di dunia. Dari jauh sudah kelihatan bunga-bunga tulip di tanam mengikut jenis dan warna. Cuaca yang sedikit mendung langsung tidak membantutkan keterujaan Elisa untuk meneroka Keukenhof. Dia memang sudah lama kepingin menjejakkan kaki ke taman bunga itu. Perempuan dan bunga memang tak dapat dipisahkan.
 Keukenhof ataupun bermaksud ‘kitchen garden’ dalam bahasa tempatan merupakan taman bunga yang hanya dibuka beberapa bulan dalam setahun iaitu semasa musim bunga. Sesuai dengan nama jolokan the Garden of Europe, temanya juga berubah mengikut tahun. Pada tahun 2012, temanya adalah ‘Heart of Europe’ dengan bunga-bungaan dari Poland. Walaupun Mirza pernah datang ke Keukenhof pada tahun sebelumnya, perasaannya masih membunga untuk menemani Elisa menghayati taman yang indah di Belanda yang turut terkenal penggilan dengan the land below sea level.
Jutaan bunga tulip yang mulai berkembang melatari suasana. Tangkas mereka berdua mengatur langkah. Tiga jam yang diperuntukkan terasa tidak mencukupi untuk meneroka taman seluas 32 hektar itu. Suhu yang masih rendah melambatkan bunga-bunga tulip berkembang. Lantas mereka berdua memilih untuk melihat-lihat bunga-bunga yang tanam di dalam rumah kaca. Mirza seperti biasa sibuk merakam gambar. Lagaknya bagai jurugambar professional ke hulu-hilir mencari sudut yang terbaik.
 Menjelang tengahari setelah hampir muak melihat bunga-bunga, mereka mula beredar dari perkarangan taman bunga itu. Dari jauh kelihatan sepasang warga tua sedang berjalan perlahan-lahan di hadapan mereka. Seorang bertongkat. Berpimpin tangan, jalan beriringan. Sungguh mesra walau sudah di hujung usia. Mirza tersenyum. Dia melirikkan pandangan ke wajah Elisa. Bola mata mereka bertemu. Pantas tangannya dipegang erat oleh Mirza. Elisa melirikkan pandangan, lantas tunduk dan mengharap agar dosa-dosa kecil akan luruh di celahan jari mereka. Tangannya mengenggam erat jemari Elisa. Rasa bahagia melingkar kalbu.
                                                 -III-
        Awan mega mula berarak songsang, memberikan ruang buat sang mentari memancarkan kembali cahayanya yang terselindung. Kedatangan Islam sebagai agama yang syumul, bukan saja berjaya meresap masuk ke dalam kesenian dan kebudayaan masyarakat di eropah, malahan telah berkembang ke Belanda. Siapa sangka, di negara itu sahaja terdapat hampir 453 buah masjid. Pada petang itu, rombongan bas Kelana Konvoi telah berhenti ke ‘Moskee’ bagi memberikan ruang kepada semua peserta menunaikan solat jamak zuhur dan asar di Islamitische Stichting Nederland Fatih Moskee.
        Masjid yang dulunya merupakan sebuah gereja bagi panganut roman Katholik kini menjadi sebuah pusat ibadat umat Islam setelah diambil alih oleh golongan umat Islam dari Turki. Lantaran itu, Mirza dan jemaah yang lain tidak terasa pelik pabila dimaklum bahawa arah kiblat harus diarahkan ke sebelah kiri walaupun karpet sejadah menghadap ke arah yang lain.
 Usai solat, Mirza melangkah keluar dari masjid dan dia memanjatkan setinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Ilahi kerana dipermudahkan dalam menunaikan tanggungjawab seorang mukmin. Menerusi lorong kecil dia menuju ke jalan utama mencari roti kebab bagi mengalas perut.
                                                 -IV-
Mereka tiba di bandar Amsterdam jam 3.30 petang. Mirza dan Elisa segera melangkah meneroka ibukota Holland itu. Mereka tidak mahu membuang masa. Kesempatan berada di pusat bandar Amsterdam harus digunakan sebaiknya. Berbekalkan sekeping peta yang diberi oleh Tour Manager Kelana Convoi, mereka berjalan menuju ke Koninklijk Paleis iaitu dataran Royal Palace. Sambil laju melangkah, mata mereka loliah-loliah ke arah reka bentuk bangunan di tepi terusan. Cantik dan unik. Pemerhatian dan gerak kaki mereka bergerak selari. Itulah ciri pengembara sejati.

Bersama mereka Maizurah dan Aqela. Mak Cik Kiah dan anaknya turut mengikuti mereka. Salina dan Badriah pula tidak mengikuti mereka kerana memilih untuk meneroka bandar dari atas atas bot. Mereka bersepakat untuk menaiki tram nombor lima untuk ke Max Euweplein lokasi letaknya Hard Rock Café Amsterdam. Dari situ, mereka bergerak pula mencari lokasi letaknya tulisan besar mencu tanda tulisan I AMSTERDAM.

Pening melihat peta, kumpulan kecil itu membuat keputusan untuk bertanya. Malu bertanya sesat jalan. Bukan sahaja sesat, malah membuang masa. Mereka bernasib baik bertemu dengan seorang wanita Holland yang sudi membantu. Lebih bernasib baik apabila wanita itu boleh berbahasa Melayu. Atau lebih tepat lagi berbahasa Indonesia.
 “Mara ke depan, lantas menyeberang dan jumpa gedung. Tandanya di sebelah kiri ya. Selamat berlibur.” Terang wanita Holland kepada mereka. Kagum mereka mendengar kepetahan wanita berbicara dalam bahasa Indonesia, hasil menetap lima tahun di Jakarta.

 Rupa-rupanya tanda I AMSTERDAM itu tidaklah jauh dari Hard Rock Café. Tidak perlu menaiki Tram. Beberapa kumpulan kecil pelancong Asia kelihatan sibuk bergambar tatkala mereka tiba di sana.
 “Ingatkan apa benda la I AMSTERDAM ni. Rupanya benda ni je.” Mak Cik Kiah bersuara setelah tiba di landmark berupa tulisan I AMSTERDAM yang terletak di hadapan Rijksmuseum. Anak Mak Cik Kiah hanya membuat tidak dengar.
 Setelah puas bergambar mereka kembali ke tengah bandar untuk ke Floral Market. Floating Flower Market itu terletak bersebelahan terusan Singel di antara kawasan Koningsplein dan juga Muntplein. Kebanyakan deretan kedai mula menutup gerai mereka walaupun baru 5.15 petang. Di situ banyak cenderahati yang agak murah boleh diperolehi. Beberapa orang bersama mereka membeli beberapa helai T-shirts yang tertera ‘I Love Amsterdam’. Mirza mengeleng kepala. Hatinya berkata “Mana mungkin seseorang boleh ‘jatuh cinta’ pada sesebuah negara setelah hanya menjejakkan kaki beberapa jam ke sesebuah negara?”
“Jom ke Red Light District. Sempat lagi ni.” Cadang Mirza kepada Elisa. Elisa menjeling. “Ala..pergi dengan bini kat tempat tu tak pe.” Pujuk Mirza. Mereka mengorak langkah menuju ke kawasan Red Light District. Walaupun masih petang, beberapa kedai telah mula memasang lampu. Kelihatan beberapa wanita berpakaian tidak cukup kain mula menjalankan tugas. Peluh mula memercik di dahi. Mirza merasa bahang panas dibalik jaket yang dipakai.

“Ha..tu la nak datang sangat. Tu baru panas dunia.” Perli Elisa kepada Mirza. Dia hanya tersenyum sambil matanya masih pantas memerhati kiri dan kanan. Dan petang itu serasa masa berdetik perlahan..

          Bersambung..
Next : Bahagian 4 - Conquer Europe di Brussel
Previous : Bahagian 2 - Rombongan Cik Kiah Ke Amsterdam

Thursday, June 21

Rombongan Cik Kiah ke Amsterdam

Siri Novelet Travelog-Kembara Cinta di Kota Eropah (Bahagian 2)

-I-
30 March 2012-Sabtu
Pagi itu, gerimis halus mengundang. Menambah kebasahan bumi tatkala manik-manik embun masih belum lagi menyejat. Setelah check out dari Malaysian Hall, Mirza Taqiudin dan Elisa Liyana terus memulakan langkah menuju ke Park Lane. Tempat itu merupakan departure point bagi peserta rombongan Kelana Convoy yang menyertai pakej Highlights of Europe. Lokasinya tidak jauh dari Hyde Park Corner. Oleh itu, mereka berdua memilih untuk menggunakan kudrat kaki meredah taman luas Hyde Park dari Queensborough Terrace. Namun, 1.3 miles tidak terasa begitu jauh kerana begitu asyik melihat pohon-pohon yang berbunga mekar penyeri di pagi hari.
       Mirza mengorak langkah dengan pantas. Elisa tercungap-cungap mengejar dari belakang. Dia tidak mahu lambat. Mereka harus sampai di sana jam 7.30 pagi. Dari kejauhan, kelihatan sekelompok besar orang ramai tengah berkumpul. Dari gaya pemakaian dan tudung wanita-wanita kumpulan tersebut, mereka yakin semuanya orang Malaysia. Dia tidak teragak-agak lagi. Itulah kumpulan peserta Kelana Konvoi yang bakal mereka sertai.


           Tepat jam 8.02 pagi bas double-deck luxury coaches mula bergerak keluar dari Kota London menuju ke Dover. Nampaknya, semua orang Melayu yang berada di Kota London tidak lagi mengamalkan ‘janji Melayu’. Sejurus itu Abu Jibrail selaku Ketua Crew yang juga merupakan Tour Manager Kelana Convoy terus membacakan doa dan memulakan tugasnya. Mirza dan Elisa gembira beroleh tempat duduk di tingkat atas. Agak selesa dengan 35O reclining seats beserta aircraft-style folding tables.

     Di hadapan mereka adalah dua anak muda bernama Salina dan Badriah. Salina adalah tidak asing bagi Elisa dan Mirza. Gadis kecil molek itu merupakan kenalan mereka berdua yang kini menuntut di Karolinska Institut di Sweden. Manakala Badriah pula kenalan baik Salina yang kini menyambung pengajian di Leipzig, Jerman. Di belakang mereka berdua pula adalah keluarga Kak Zarina dan suaminya Nasarudin beserta tiga anak kecil dari Durham.

-II-
        Bas berplat nombor dari Wales FJ06 ZKU itu terus laju menghala ke arah South East England. Tiga orang krew Kelana Convoy mula membahagikan roti perancis, butter broinche rolls sebagai alas perut. Dikesempatan itu Tour Manager mula menggunakan pembesar suara bagi sesi taaruf. Semua peserta bergilir-gilir memperkenalkan diri.  Rata-rata kedengaran masih malu-malu. Seramai 64 orang semuanya termasuk kanak-kanak. Kebanyakkannya dari United Kingdom. Ramai juga dari Malaysia dan ada juga datang jauh dari Australia. Majoriti adalah pelajar dan sebahagian kecil telahpun bekerja. Mereka semua datang dangan satu matlamat, ingin meneroka bumi Eropah dalam masa 9 hari.
       Akhirnya bas tiba Dover jam 9.45 pagi. EuroTunnel di Dover merupakan salah satu alternative untuk menyeberang ke negara-negara Eropah selain menaiki Feri. Laluan di dasar laut sepanjang 50.5 km itu menghubungkan Kent, United Kingdom dan Coquelles, Pas-de-Calais di utara Perancis. Apa yang menarik bas dan semua kenderaan lain tidak bergerak, tetapi dimuatkan dalam ruangan keretapi yang panjang dan dibawa oleh gerabak.

    Akibat banyak kenderaan yang beratur menunggu giliran, bas mereka hanya boleh menyeberang pada jam 11 pagi. Kesempatan yang ada diluangkan dengan berlegar-legar di pusat belah bersaiz sederhana berhampiran. Mirza sempat juga membeli Reader’s Digest sebagai wadah minda untuk Elisa. Selain itu, krew Kelana Convoy turut memenuhi masa dengan mengajar ahli rombongan memasang khemah. Bertepatan dengan tema budget travel, khemah merupakan salah satu pilihan selain kabin untuk penginapan sepanjang berkelana. Walaupun ramai yang memilih untuk tinggal di kabin memandang suhu yang masih sejuk, mereka berdua tetap memilih untuk berkhemah. Lebih adventure menurut Mirza.
-III-
        Tiba di Calais, bas terus dipandu laju oleh Mr Craig, pemandu coach dari Wales dan mula melintasi sempadan Perancis-Belgium. Di kiri-kanan hamparan tanaman menghijau sejauh mata memandang. Wind turbin tersusun  di sana-sini. Detik yang berlalu tidak mungkin dipersiakan tanpa pengisian. Mirza membaca lembaran demi lembaran buku yang dibawa. Buku bertajuk 13 days: The Pythagoras Conspiracy yang dibeli secara online di Amazon ternyata membuatkan mata dan otak semakin penat. Buku yang sarat dengan terminologi engineering itu, langsung tidak merehatkan mindanya. Matanya makin kantuk.
      Elisa pula sibuk melayan anak-anak Kak Zarina. Iffah yang berumur 5 tahun sungguh petah dan cepat mesra, tetapi adiknya Izzah, 3 tahun lebih pemalu. Celotehnya mereka berdua sungguh mencuit hati. Maklumlah anak kecil yang mula membesar di negeri orang puteh, agak petah berbicara dalam bahasa Inggeris. Terhibur Elisa dengan keletah mereka.
       
      Bas yang dinaiki akhirnya berhenti di sebuah kilang membuat coklat di perkampungan kecil di tepi lebuh raya di Snaaskerke, berhampiran bandar Brugge. Belgium dan coklat memang sebati. Seisi bas terus menyerbu kedai P&J The Factory seluas 800m2Salina yang merupakan hantu coklat kelihatan begitu teruja. Katanya, coklat telah terbukti secara saintifik boleh membuatkan seseorang individu senang hati.  
-IV-
        Perjalanan panjang hampir sehari ditamatkan setelah tiba di Amsterdam. Bas yang dinaiki berhenti di Het Amsterdamse Bos, sebuah kawasan camp site terletak  tidak jauh dari Schipol Airport. Keluar sahaja dari pintu bas, angin sejuk mula menerpa muka. Sejuknya bukan kepalang. Tatkala peserta lain memunggah barang memasuki kabin, Mirza dan Elisa mula sibuk memasang khemah.  Mereka berjiran dengan Salina dan Badriah. Beberapa peserta lain turut berkhemah di kawasan yang sama. Tak ramai yang memilih untuk berkhemah. Suhu yang rendah mencecah 5OC, adalah sesuatu yang begitu mencabar dan perlu ditempuhi mereka semua.


    "Eish. Sejuk bebenor ni. Boleh tahan tak ni?" Sayup kedengaran suara Salina bertanya kepada Badriah. Tidak jauh dari situ, Mirza hampir selesai membina khemah. Sebagai bekas ahli pengakap sejak dari bangku sekolah, pengalaman kerap berkhemah sungguh berguna buatnya.  Awal-awal lagi dia telah menerangkan kepada Elisa, "Pintu masuk khemah kena lawan arah angin. Baru tak sejuk sangat." Jelasnya dengan yakin.
         
          "Orang puteh pun duduk dalam kabin, kita orang Melayu macam hebat je tidur dalam khemah" Teriak Mirza sambil bergerak ke arah Maizurah dan Aqela. Dia kesian melihat mereka berdua yang kekok membina khemah. Lantas menghulurkan bantuan. Malam itu, semua ahli rombongan dijamu dengan nasi panas berserta sayur dan kari daging. Mata Mirza mulai mengantuk setelah kekenyangan menambah nasi dua kali.
                                                                      -IV-
        Malam itu, angin sejuk mula menyelusuri celahan bahagian atas khemah. Pintu khemah yang mempunyai double layer zip ternyata tidak berguna. Kedudukan pintu khemah yang melawan arah angin juga nampaknya tidak membantu keadaan. Kesejukan mula melanda.

        “Ya Allah! Bersepahnya! Dah la sempit, terabur pulak” Leteran Elisa memecah kesunyian malam, sampil kedua tangannya tangkas mengemas. Jaket dan plastik makanan bertaburan disimpan rapi. Mirza yang tidur-tidur ayam tersedar. Dia bingkas bangun. Memperbetulkan sleeping beg. Inilah kali pertama dalam sejarah hidupnya tidur dengan memakai 2 lapis stokin dan 4 lapis baju lengkap dengan snow hat di kepala. Dia baring semula dengan posisi mengiring. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Dia benar-benar berharap agar sinar mentari segera muncul.


Bersambung..
Next : Bahagian 3 - Keukenhof: Tanah Rendah Sekebun Bunga 
Previous : Bahagian 1 - Pergi Haji di Kota London

Tuesday, June 19

Pergi Haji di Kota London


Siri Novelet Travelog-Kembara Cinta di Kota Eropah (Bahagian 1)

-I-
29 March 2012-Jumaat
Pesawat Airbus A319 milik Easyjet terbang tenang meredah awan stratus di ruang udara North Sea. Setelah hampir sejam setengah berlepas dari Kastrup Airport, Copenhagen, bumi Britain mulai jelas kelihatan.
Di tempat duduk bernombor B24, Mirza Taqiudin masih mengelamun. Dia masih lagi terasa ralat. Inilah pertama kali dia memonteng kelas tutorial. Rekod bersihnya 100% hadir kelas kuliah sejak dari semester pertama pengajian master degreenya telah sedikit tercalar. Dia nekad untuk ponteng kali ini. Kembara jelajah ke negara Eropah dengan perkhidamatan Kelana Convoy sudah lama dirancang. Tiket flight yang mahal di hujung minggu ditambah pula permulaan cuti Easter memaksa dia akur untuk terbang ke London pada penghulu segala hari. “Tak pa la, tutorial je, bukannya kuliah.” Bisiknya sekadar penyedap hati.

Disebelah kirinya, isterinya Elisa Liyana baru terlena, sedang asyik dibuai awalan mimpi. Mirza menjeling ke arah kanan. Jiran sepenerbanganya, seorang lelaki warganegara Denmark yang juga merupakan seorang guru itu masih ralit mentelaah buku.

        Seketika itu, tatkala Mirza cuba meninjau ke ruang angkasa, kedengaran suara ketua  pramugari yang telah berumur hampir separuh abad membuat pengumuman. Sungguh enak bunyi accent Britishnya. Rupanya, pesawat EZY 3564 sudah hampir mendekati lapangan terbang Gatwick, London. Dia melipat kembali meja kecil ke posisi asal. Makalah in-flight magazine edisi Mac, diambil lagi dan dibelek perlahan. Sudah empat kali dia membelek. Tercari-cari artikel yang belum dibacanya. Namun, kecewa. Langsung tiada lagi yang mampu menambat matanya. Dia dahagakan sesuatu yang berinformasi. Baginya, otak yang lama berehat pasti akan cepat berkarat. Lagipun dia sedar ‘reading without reflection is like eating without digesting!

-II-
Papan tanda besar tertera ‘UK Border’ tergantung kukuh di antara tiang. Suasana agak bingit dek raungan dua anak kecil yang menangis secara serentak. Elisa menyelit kemas dua keping borang landing card dicelah passport miliknya dan Mirza. Sungguh berliku laluan beratur menuju ke kaunter kawalan Imigresen. Macam ular yang tidak berekor. Manakan tidak, dari 8 kaunter untuk non-EU passport holder, hanya 2 kaunter sahaja yang dibuka. Dari kejauhan, seorang lelaki memandang mereka berdua. Mirza memberi senyuman tawar. Mungkin orang Indon kot. Fikirnya.


Menjelang giliran ke kaunter, sekali lagi dia bertembung dengan lelaki Indon tadi. Dan kali ini dia terpandang buku merah dipoket kanan dada lelaki tadi dibalik jaket hitam. Ohh.. orang Malaysia rupanya. Lantas, dia menegur.
"Dari Malaysia ke?" Tegurnya sopan.
Lelaki itu hanya mengangguk serta tersenyum, lalu merapati mereka berdua dan menghulurkan salam. Rupanya lelaki itu dari Temerloh, Pahang. Singgah sebentar di London setelah menyertai exhibition di Hamburg. Sungguh kecil dunia ini.

Elisa resah tatkala tiba giliran mereka ke kaunter. Bukan gentar kerana bakal disoal jawab oleh pegawai Imegresen, tetapi bimbang akan terlepas bas Easybus yang telah ditempah secara online untuk departure ke London City Centre jam 12.30 tengah hari. 
" Eishh dah dua belas suku ni. Sempat ke. Luggage pun tak ambil lagi ni." Gerutu Elisa sendirian sambil memandang suaminya
"InsyaAllah, kalau ada rezeki, ada la bas tu." Jawab Mirza dengan tenang walhal dia pun sedikit gusar.

Sesi beratur yang memakan masa sejam suku ternyata tidak berkadaran dengan waktu soal jawab di kaunter. Kurang dari dua minit sesi soal jawab selesai. Tiada soalan cepu emas. Mereka hanya ditanya soalan standard. Berapa hari mereka berada di UK, sekarang belajar di mana dan kali ke berapa datang ke UK. Tapi mungkin kerana ini kali kedua mereka menjejakkan kaki ke bumi ratu, mereka dengan mudah ‘dilepaskan’. Mirza menarik nafas lega. Dia agak bimbang. Fail yang mempunyai semua maklumat penting mengandungi salinan tiket penerbangan pulang dan juga booking reservation untuk tempat tinggal semasa di berada di London terlupa diambil. Semuanya ada dalam hand luggage! Aii..Muda lagi sudah pelupa. Getus hatinya.

-III-
Tepat jam 2.50 petang akhirnya mereka tiba di Malaysian Hall London. Kali kedua menjejakkan kaki ke tempat itu membuatkan mereka tidak asing lagi di kawasan Bayswater. Perasaan lega dibenak dada. Terasa seolah pulang ke tanah air sendiri. Bertambah lega setelah mendapat kunci bilik tidur masing-masing. Mereka memilih untuk menginap satu malam di Malaysian Hall. Walau terpaksa tidur berasingan, namun itulah pilihan terbaik bagi mengurangkan kos. Yang penting, bilik air ada di setiap bilik. Itu yang utama.

Seterusnya mereka berdua menuju ke kantin makanan Malaysia Hall yang terletak di bahagian basement. Kelihatan ramai warga Malaysia sedang menjamu makan tengahari walau waktu lunch hour telahpun berlalu. Meriah bagai pasar pagi. Patut la dinamakan kantin, bukannya café.
“Nasi lemak 5.50 pound? Tu dah hampir RM 27 sepinggan. Boleh tahan mahal ni.” Reaksi Mirza sambil membaca menu yang tertera.
“Ehh..jangan cakap kuat-kuat. Orang kat sini paham la.” Tegur Elisa. Mirza tersenyum. Dia terlupa. Tidak seperti di Kota Copenhagen mereka berdua bebas bercakap-cakap dalam bahasa Melayu tanpa perlu khuatir orang lain di sekitar akan faham. Di London ni, orang Melayu ada di mana-mana.

        Usai menjamu nafsu perut. Mereka beredar ke bilik. Lelaki di tingkat empat dan wanita di tingkat tiga. Tiba di bilik 407, Mirza menghempas badan ke atas katil. Dia terbaring sambil membelek beberapa bronchure Visit London yang sempat disambar olehnya semasa di Airport. Laluan peta Tube London Underground turut ditelitinya. Selimut bercorak bulu harimau seolah meraum memaksanya memejamkan mata. Ahh.. kekenyangan dan katil memang sahabat sejati. Tetapi, memang wajar dipisahkan tanpa perlu bersebab. Dia menoleh ke arah jam. Jam berjenama Tissot hadiah hantaran perkahwinan terikat sedikit longgar di pergelanganan tangan kanannya ditanggalkan. Sudah jam 4.55 petang. Dia berjanji bertemu isterinya di lobi jam 5! Segera dia bergerak ke kamar mandian untuk berwudhuk untuk menunaikan solat jamak dan qasar.

-IV-
Keluar sahaja dari Stesen Tottenham Court Road mereka terkejut. Orang ramai ke hulu ke hilir. Rupanya mereka tiba di penghujung laluan membeli-belah di Kota London, Oxford Street. Mereka tiba-tiba putus arah. Elisa mengeluarkan penunjuk ajaibnya. GPS dari telefon Nokia N8 itu sungguh lambat mendapat signal. Lantas Mirza membuka peta ajaibnya. Kaki bergerak pantas dan mata melilau mencari nama jalan.
       Seperti yang dirancang, Mirza memilih untuk melawat Museum of London. Minggu itu, adalah minggu terakhir special exhibition The Journey to Hajj. Tiket dibeli dengan harga diskaun. Sungguh beruntung bergelar seorang pelajar. Mendapat potongan harga untuk tiket masuk. 10 pounds adalah berbaloi untuk ‘pergi haji’. Tetapi mereka terpaksa menunggu giliran kerana ruang pameran agak sesak. Masa yang ada digunakan untuk melawat pameran percuma di sekitar museum.

       Museum of London sungguh besar dan luas. Pendek kata macam-macam ada. Dari sejarah dan koleksi barangan prehistoric hinggalah ke tamadun Rom dan juga Mesir. Mereka menuju ke bahagian ancient Egypt. Walau bukan pencinta sejarah sejati, namun apa salahnya mengetahui serba sedikit mengenai Pharaoh, Sphinx dan juga jenis tulisan caligraph, fikir mereka.
Ruang pameran Hajj: The journey to the heart of Islam agak kelam. Mungkin sengaja dibuat begitu agar pengunjung lebih dapat memberi fokus pada setiap satu bahan pameran. Sekeping kain kiswah penutup Kaabah tergantung megah. Cahaya keemasan dari sulaman emas bersilau terang di bawah lampu. Kebanyakan bahan pameran itu didatangkan khas dari Riyadh, setelah mendapat kerjasama dari King Abdul Aziz Public Library. Mirza begitu kaget kerana sungguh ramai orang bukan Islam yang turut serta ingin mengetahui tentang rukun Islam yang kelima tersebut. Malah mereka lebih khusyuk berbanding mereka.

Jam 7.15 petang mereka mula beredar. Mereka mengambil keretapi bawah tanah atau lebih dikenali sebagai 'tube' menggunakan laluan lingkaran Central dan seterusnya menukar arah dengan Victoria line dan juga Circle line. Mereka ingin Westminster. Suasana petang yang hampir menjelang senja mencetuskan idea untuk menuju ke House of Parliment. Belum puas ke tempat itu semasa kali pertama ke sana.
        Malam berlabuh. Cahaya lampu sorot dipancar ke setiap penjuru dinding. Bangunan usang yang mempunyai seni bina neo gothic style itu kelihatan begitu cantik di kala malam. Clock tower yang menempatkan Big Ben setinggi 96m turut menambah seri. Ligat tangan Mirza merakam gambar dengan lensa kamera dari pelbagai sudut. Tak jauh dari situ, London Eye juga cantik melatari sungai Thames.
         Angin melimbai cermat mengelus wajah Elisa Liyana. Pawana yang berarak masuk melalui lohong nafas terasa menghulur bening kedamaian santak ke luhur atma. Tetapi, bayu malam itu membuatkannya hampir menggigil. 
          “Tu la tak mau pakai jaket. Nak bergaya sangat, siapa yang susah? Kan Abang jugak yang susah.” Bebel Mirza sambil tangannya meraut erat badan Elisa dengan harapan berkurang kedinginannya. Elisa terdiam seribu bahasa. Dia sedar kerana alpa yang mereka sememangnya merancang untuk pulang pada waktu malam. Suhu di malam hari di musim bunga sememangnya masih sejuk mencengkam tulang..

Bintang-bintang yang bergemerlapan malam itu sungguh indah menghiasi persada langit. Malam berlalu menunaikan janji putaran alam.

Bersambung..

Wednesday, April 11

Teaser - Siri Novelet Travelog

Title: Kembara Cinta di Kota Eropah
Genre : Adventure/Travel/Drama/Romance
Cast : Mirza Taqiudin, Elisa Liyana, Salina, Badriah, Maizurah, Aqela, Iffah
Location: London, Amsterdam, Brussel, Luxembourg, Swiss Alps, Paris
Broadcast network : Blog DKKC
Date release : Mid April 2012  Jun 2012


Synopsis:
Elisa telah lama menanam hasrat untuk berkunjung ke kota eropah. Baginya, kota-kota eropah penuh kesenian dan romantik. Demi menunaikan keinginan isterinya, Mirza membawa Elisa mengembara. Lantas mereka berkelana ke kota indah di bumi eropah selama 9 hari 8 malam. Bukan satu kota, malah meneroka 6 negara sekaligus. Tertunaikah hasrat Elisa? Nantikan siri novelet travelog titipan perjalanan Elisa Liyana & Mirza Taqiudin di Blog DKKC...

Wah2, ape macam? Haha, teaser tak boleh blah. Dah la cover macam drama Ariana Mikhael..Hmm bosan gak asyik tulis travelog gaya sama je. Citer hari tu pergi sana, pergi sini. Nah, ni dalam bentuk novel plak.Tunggu!!

Oh ya, novelet tu maksudnya novel pendek. Kiranya novel pendek bersiri beserta gambar-gambar menarik yang berkaitan. Ala-ala the chronicles of travelog gitu. Tak boleh buat novel panjang2, nanti dari blogger sambilan jadi novelis plak. Nanti akan ada beberapa siri ceritera yang digarap berlatar belakangkan tempat2 yang dilawati oleh Mirza & Elisa dengan Kelana Convoy 'Highlight of Europe' pada cuti Easter 2012. Oh ya nama Mirza Taqiudin & Elisa Liyana dan watak2 lain adalah sekadar nama glamer, tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang dah tiada.

Tajuk siri bagi novelet ini adalah seperti berikut:
-Pergi Haji di London (Day 1: Copenhagen-London)
A-B: Rombongan Cik Kiah ke Amsterdam (Day 2: London-Dover-Calais-Amsterdam)
B-C: Keukenhof-Tanah Rendah Sekebun Bunga (Day 3: Amsterdam)
C-D: Conquer Europe in Brussel (Day 4: Brussel, Belgium)
D-E: Luxury Luxembourg (Day 5: Luxembourg City-Swiss Alps)
F: Kuch-kuch Hota Hai in Alps (Day 6: Lauterbrunnen, Swiss)
F-G: From Paris with Love (Day 7: Swiss to Paris)
G: Alam Fantasi Disneyland Paris (Day 9)
G-H: Di bayangan Eiffel Tower (Day 10)
kelana convoi trip kelana convoy highlight of europe conquer of europe trip kelana convoy kelana konvoi harga kelana konvoy trip melawat eropah amsterdam paris lauterbrunen brussel brussel ititenari kelana convoy pengalaman kelana convoy harga kelana convoi

Friday, March 30

Geng Bas Sekolah-Industrial Trip

Geng Bas Sekolah kat Denmark ni lain sket sebab driver bus adalah seorang mak cik. Dua kali trip, dua kali drivernya pompuan. Siap boleh drift lagi tu. Hebat. Baru-baru ni, penulis DKKC berpeluang menerjah ke 2 buah company terkemuka di Denmark ni, iaitu Maersk dan juga Leo Pharma. Sebelum ni dah 3 company dilawati. Tapi kali ini berjalan-jalan cari ilmu ke Industry Oil & Gas dan Pharmaceutical plak.

Pada 29 March 2012, hampir 40 orang pelajar masters dari course Good Management Practice (GMP) in Food, Pharma and Biotech telah berkunjung ke industrial complex syarikat Leo Pharma di Ballerup bagi mendekati lebih dekat proces pengurusan GMP di pharmaceutical industry.

Kami dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil. Satu group untuk international students dan dua group lagi untuk Danish students. Katanya lebih senang depa nak terangkan dalam bahasa tempatan. Semua kumpulan dibawa memasuki 3 department yang berbeza iaitu bahagian penghasilan vitamin D, loji penghasilan ubat secara tablet dan juga bahagian pengurusan utilties yang berkaitan dengan GMP. Memang canggih manggih kilang depa. Kat luar nampak macam bengkel atau gudang warehouse je. Masuk dalam, baru nampak macam-macam ada.
Uniform nak masuk dalam kawasan terlarang. Rakan coursemate dari Portugis, France dan Iraq bersama Lecturer dari Belgium
Rupanya bukan senang nak menghasilkan ubat. Banyak betul process yang rumit lagi melecehkan. Bayangkan, nak bikin vitamin D saja pun dah ada 14 steps. Kilang Leo Pharma ni sebenarnya fokus pada penghasilan ubatan bagi masalah dermatologi. Selain itu, depa juga ada buat shampoo, conditioner dan macam-macam product API-Active Pharmaceutical Ingredients.

Penulis agak kagum dengan kebolehan production technician yang menjadi guide bagi group kami. Semua soalan exercise kami di dalam kelas boleh dijawab bagai kacang pistachio. Semua dia tahu dah dalam kepala. Dah macam manager. Tu baru production technician. Masa nak balik, lalu bertanya dan baru la tahu dia ada background  B.Sc and master in chemistry. Kat Denmark ni, ada masters pun baru dapat jadi technician. 


Trip yang kedua adalah bertandang ke HQ Maersk Oil yang terletak di Esplanaden 50, Copenhagen pada 14 Mac yang lepas. Trip kali ni tak ramai. Sekitar 25 orang je. Semuanya yang mengikuti course Risk Assessment in Chemical and Biochemical Industry.
Geng Bas Sekolah- Kelihatan sorang je yang kulitnya yang kurang putih...huhu

Mungkin ramai yang tak tahu, Maersk bukan setakat syarikat Shipping Container je. Selain bidang Oil and Gas (Maersk Oil), syarikat ini juga mempunyai share rangkaian retail supermarket utama di Denmark ni, antaranya Fotex, Bilka dan Netto. Tapi, untuk lawatan kali ini adalah berkaitan Safety and Health di Offshore.
Introduction session by Head of Operation Unit
Seperti biasa, acara makan memang antara acara yang ditunggu-tunggu. Dan kali ini, hidangan minum petang adalah buah-buahan exotic. Jangan la mengharap ada karipap atau donat. Memang tak de. Kat sini semuanya healthy diet semuanya. Buah-buahan yang dikatakan exotic tersebut adalah buah rambutan, belimbing, nenas, kiwi dan juga segala macam berries. Gembira bukan kepalang penulis membalun buah rambutan yang dah lama mengidam. Ade ke patut  si mamat salleh dari Norway tu kata buah rambutan tu adalah Laici. 
Bangunan Maersk Oil. 
Apapun memang best sekali sekala join Geng Bas Sekolah ni. Ingatkan nak join pergi trip ke Offshore pada 31 March. Tapi terpaksa la cancel sebab termelancong ke tempat lain plak.. 

Friday, March 16

5 Panduan Penting Melancong ke Copenhagen

Siri Panduan Melancong ke Denmark: Part 2

Salam 1Dunia.

Memang tidak dinafikan, Copenhagen (atau Kobenhavn dalam bahasa tempatan) bukan la berada dalam top list destinasi pelancongan yang orang suka lawati bila pusing Eropah. Tak macam kota London, Milan atau Paris. Namun, tak glamer tak semestinya tak best dan menarik kan?

Walaupun banyak website yang memaparkan info-info yang berkaitan melawat Denmark, namun penulis DKKC merasakan jauuuh lebih baik kalau ‘orang luar’ yang berhijrah sementara di sini yang mencurahkan pengalaman untuk dikongsi. Jadinya tips dan guide ni adalah dari perspektif penulis DKKC dan boleh la dijadikan rujukan tambahan dan perbandingan semasa survey dan mencari info pasal melancong ke Denmark bumi Scandinavia ni.

Sebelum ditampilkan 5 panduan penting melancong ke Copenhagen, Jom kita lihat, tips before your travel.

Tips -Before Your Travel
Visa
Visa is not required for residents of Malaysia for stays up to 90 days. Bawa je buku merah tu.

Time Zone ( GMT )
Copenhagen Time Zone adalah GMT+1hour. Perbezaan Malaysia-Copenhagen adalah 7 jam. Tapi bila ada daylight saving time (March-October) kena la kurangkan sejam tapi selepas tu, tambah balik sejam.

Electricity
Kat sini memang problem kalau bawa normal charger handphone, camera atau lap top dari Malaysia. Jadi untuk senang, bawalah universal adapter. Jangan beli kat sini, bawa la dari Malaysia, kat sini lebih mahal daa.

5 panduan penting melancong ke Copenhagen

When To Visit?

Tengok tu, paling ‘panas’ pun cuma 20oc je. Macam best je kan. Tapi bila time sejuk, mahunya mencecah -5oC. Melancong ke negara Scandinavia khususnya ketika musim sejuk mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya time ni tak ramai sangat pelancong, banyak hotel and airlines buat promo dan diskaun (kecuali ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru). Tapi ada juga kekurangannya. Semasa musim sejuk, waktu siang adalah sangat pendek, cuaca pun asyik gloomy dan sudah tentu sejuk semacam. Dah namanya musim sejuk, memang la sejuk kan. 

Tapi berlainan kalau anda ingin ‘menikmati’ panorama bersalji atau bermain. Malahan kalau ada ingin bermain ski, misalnya di negara scandinavia yang lain misalnya Norway dan Sweden, Hmm time ni la yang paling sesuai. Namun, sepertimana negara Eropah yang lain time spring (musim bunga) hinggalah ke awal autumn (musim luruh) adalah time yang sangat sesuai dilawati. Cuaca yang ok, suhu yang mendamaikan dan juga persekitaran sana-sini indah. Tapi bila time mid-summer, agak crowded sikit sebab ramai pelancong berkunjung.


Where to Stay?
Di bandar Copenhagen memang sukar mencari hotel yang harganya berpatutan. Sejajar dengan taraf hidup yang tinggi di sini, sewa tempat penginapan pun memang kadang2 tak tercapai dek akal. Malahan hostel and budget hotel pun masih boleh dianggap tidak berpatutan. Manakan tidak, tido semalam di Hotel 2 star misalnya pun dah dalam range 400kr-550kr (RM215-300). Tu baru budget hotel. Toilet kat luar (shared) dan tanpa breakfast plak tu. Dan hostel plak dalam lingkungan 180-250kr (RM100-150) satu malam perperson in dorm. Lainla kalau anda mempunyai poket yang tebal, memang tiada masalah. Penulis tak pernah pulak menginap di mana-mana hotel di Copenhagen ni. Tetapi ada boleh merujuk booking.com untuk membandingkan harga hotel/hostel pilihan.
 
Nak makan kat mana? Halal ke?
Memang kat sini tiada restoran Malaysia. Asian Restaurant ada la. Tapi tu pun belum tentu halal-haramnya. Tapi jangan bimbang, kerana rangkaian kedai arab dan juga gerai kebab senang dijumpai. Harganya? Sebiji kebab yang biasa dalam lingkungan 38-45kr (RM20-25) sebiji. Ok la tu. Takkan nak makan megi je. Oh ya, bersebelahan dengan Copenhagen Central Train Station, ada beberapa kedai asian. Kat sana pun kekadang tu ada jugak Maggi dari Malaysia dijual, 10kr/RM5.50 untuk tiga paket. Ada juga beberapa jenis megi buatan Indonesia dan Thailand. Yang ni kena check label dulu la ya.

Nak beli makanan yang pelik2 di kedai tu mestilah dipastikan kandungannya. Jangan main hentam beli je. Tak semua boleh dimakan oleh orang Muslim walaupun ianya hanyalah roti, biskut ataupun aiskrim. Ini adalah benar, kerana tak semua kedai yang peniaganya kelihatan seperti orang arab, kebab misalnya dari sumber daging yang halal. Memang la tiada daging b*bi di dalam kedai tapi sumbernya belum pasti. Setakat yang penulis ketahui rangkaian kedai Konya Kebab dan Restaurant Shawarma, insyaAllah setakat ini ditanggung halal. Walaupun tiada tertera logo dan tanda halal, namun misalnya Shawarma ada digantung sijil sumber daging yang diperakui dari Scandinavia Islamic Center. Restaurant Kebabish pun insyaAllah halal. Ada orang cakap nama restaurant tu pelik sikit macam kebab+babi, tapi bukan gitu ok.

Tetapi kekadang tu, memang la susah sikit sebab ingredienser (ingredient) dalam bahasa tempatan. Tapi kalau ada E-kod tu, boleh la rujuk. Dan kalau tertera label untuk vegetarian or makanan yang dilabel pakai vegetabilsk oile (vegetable oil) insyaAllah kalau yakin dan juga pasti tiada tulisan svinefedt (pork fat) atau apa2 seangkatan dengannya boleh la beli. Kalau tak tawakkal je la. Kalau agak ragu-ragu, tak payah beli terus.

Pengangkutan
Sistem pengangkutan awam di Copenhagen memang boleh dikira agak baik dan memuaskan. Pendek kata boleh dipercayai dan tepati masa. Namun, yang kurang baiknya adalah sedikit mahal kosnya. Di Copenhagen terdapat perkhidmatan Metro (mostly underground-di tengah bandar), S-Tog (On the ground-kawasan bandar) dan juga regional train (antara bandar). Terdapat juga bas yang kerap. Anda boleh menggunakan tiket yang sama untuk menaiki mana2 perkhidmatan awam dengan syarat dalam zon yang tertentu dan tempoh waktu yang ditetapkan.
Dari Airport ke City Center boleh ambil train Metro (M2), warna kuning
Tiket boleh dibeli bergantung kepada berapa zon yang akan dilalui (kawasan dari tempat mula bergerak ke destinasi) samada beli secara sehala ataupun secara pukal. Pembelian tiket secara pukal atau dikenali sebagai klippekort adalah lebih murah dan lebih menjimatkan. 1 keping klippekort boleh digunakan sebanyak 10 klip/kali. Walaupun harga 1 klippekort mungkin agak mahal, tapi jika anda menggunakan banyak kali dan menggunakan public transport secara kerap adalah lebih menjimatkan berbanding beli secara on the spot atau untuk sehala.

Contohnya yang paling mudah adalah perjalanan dari Copenhagen Airport ke kawasan pusat bandar, misal berhenti di Kongen Nytorv atau Norreport adalah 3 zone (zone 1, 3 dan 4). Perjalanan tersebut hanya memakan masa 15 minit dengan menaiki train Metro. Sekiranya tiket sehala dibeli, harganya adalah 39kr (RM21) dan sekiranya klippekort dibeli kosnya hanya 19kr(RM10) (sehala). Tapi anda harus ingat, tiket klippekort boleh digunakan 10 klip, maksudnya ada 10 tiket, jadi anda harus membeli dengan harga 190kr (RM100)/sekeping bagi klippekort 3 zone. Tetapi sekiranya anda berdua atau berkumpulan elok dibeli klippekort ni kerana ianya boleh dikongsi. Tempoh waktu yang boleh juga bergantung jenis klippekort yang dibeli. Ada klippekort untuk 2,3,4,5,6 dan juga alle zone. Klippekort untuk 3 zone misalnya boleh digunakan dalam tempoh waktu  1 1/2jam bagi satu klip. 

Namun ada cara senang untuk merancang perjalananan. Tak perlu pening dan risau. Ada boleh menggunakan web interactive rejseplanen.dk. Senang je nak guna, boleh juga rujuk blog Sdr Azizul untuk mengetahui cara menggunakannya.


Berapa $budget$ untuk berbelanja?
Denmark mempunyai matawangnya yang tersendiri iaitu kroner (kr). Duit boleh ditukar di Airport ataupun di bandar Copenhagen. Namun tak semua forex atau kaunter tukaran wang mahu mengambil RM. Maka, bagi mengurangkan risiko adalah lebih baik tukar wang RM kepada USD atau Euro dan kemudian ke Kr. Kadaran tukaran adalah lebih kurang 1kr=RM0.53 (tukaran March 2012). Untuk lebih senang anggap aje 50sen sama dengan 1kr. 

Walaupun nampak dua kali ganda, maksudnya tukar RM ke Kr dapat banyak, tapi anda harus sedar bahawa harga barang di sini adalah tinggi. Contoh mudah ialah harga sebotol air mineral 500ml adalah lingkungan 15-18kr (RM8-10) sebotol! Tu baru air mineral bukan makanan atau benda lain lagi tu. Tapi kalau asyik membandingkan harga barangan di sini dan setiap kali itulah anda convert ke RM, maka sampai bila2 anda akan rasa tidak sanggup beli makanan atau barangan di sini. 
Harga souvenirs kat sini pun boleh tahan cantik dan boleh tahan juga harganya. Ada banyak pilihan dan kedai souvenirs di pusat bandar Copenhagen, misalnya di laluan shopping Stroget. Harga sekeping Fridge Magnet adalah 25-35kr (RM13-18) sekeping bergantung kepada saiz dan mutu FM tersebut. Key chain pula biasanya harga bermula dari 35kr (RM18) ke atas. Walaupun harga agak mahal untuk souvenir yang kecil jangan risau sekiranya anda datang dari luar Eropah dan melancong ke sini, anda boleh meminta resit khas untuk proses claim tax free (tax refund) nanti masa kat airport. Walaupun tak banyak maybe 10-20%, tapi ok la daripada tak dapat langsung.


<Nampaknya macam mahal jugak kos melancong ke sini ya. Tapi jangan risau, kalau pandai merancang dapat la jimatkan apa yang patut>

Part 3: Guide 1 day trip in Copenhagen>>

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...