Alhamdulillah nukilan tak seberapa yang dikarang oleh penulis DKKC telah tersiar di ruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Hantar untuk ruangan 'opinion' keluar jadi rencana plak. tapi tak kisah la..
Rencana
PUNCA DENMARK MENJADI NEGARA PALING BAHAGIA DI DUNIA - MUHAMMAD IMRAN ISMAIL
Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013).
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Nyhavn, pelabuhan kecil di Denmark. Penuh dengan orang tak kira musim panas atau sejuk |
Apa yang menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5). Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana negara di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan rakyat terjaga
Denmark sememangnya cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%. Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte (The State's Educational Support). Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Salah satu iklan menarik di Copenhagen. Diskaun untuk membeli cenderamata berdasarkan umur. Umur 52 dapat 52% diskaun, kalau 78 tahun dapat 78% dan kalau 100 tahun, free je kot. |
Selain itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Berbasikal ke mana-mana saja |
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Nenek warga emas berjoging semasa salji masih tebal |
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
P/S: Terima kasih editor TMI sudi siarkan. Terima kasih juga atas pembetulan. Perkataan 'redha' rupanya ejaan yang betul adalah 'reda'. Tapi ada satu lagi editor tak perasaan, perkataan 'and' terlupa dipadam pada perenggan kedua. Tapi tak pe, janji mesej dan info yang nak disampaikan, sampai kepada pembaca