Tuesday, June 19

Pergi Haji di Kota London


Siri Novelet Travelog-Kembara Cinta di Kota Eropah (Bahagian 1)

-I-
29 March 2012-Jumaat
Pesawat Airbus A319 milik Easyjet terbang tenang meredah awan stratus di ruang udara North Sea. Setelah hampir sejam setengah berlepas dari Kastrup Airport, Copenhagen, bumi Britain mulai jelas kelihatan.
Di tempat duduk bernombor B24, Mirza Taqiudin masih mengelamun. Dia masih lagi terasa ralat. Inilah pertama kali dia memonteng kelas tutorial. Rekod bersihnya 100% hadir kelas kuliah sejak dari semester pertama pengajian master degreenya telah sedikit tercalar. Dia nekad untuk ponteng kali ini. Kembara jelajah ke negara Eropah dengan perkhidamatan Kelana Convoy sudah lama dirancang. Tiket flight yang mahal di hujung minggu ditambah pula permulaan cuti Easter memaksa dia akur untuk terbang ke London pada penghulu segala hari. “Tak pa la, tutorial je, bukannya kuliah.” Bisiknya sekadar penyedap hati.

Disebelah kirinya, isterinya Elisa Liyana baru terlena, sedang asyik dibuai awalan mimpi. Mirza menjeling ke arah kanan. Jiran sepenerbanganya, seorang lelaki warganegara Denmark yang juga merupakan seorang guru itu masih ralit mentelaah buku.

        Seketika itu, tatkala Mirza cuba meninjau ke ruang angkasa, kedengaran suara ketua  pramugari yang telah berumur hampir separuh abad membuat pengumuman. Sungguh enak bunyi accent Britishnya. Rupanya, pesawat EZY 3564 sudah hampir mendekati lapangan terbang Gatwick, London. Dia melipat kembali meja kecil ke posisi asal. Makalah in-flight magazine edisi Mac, diambil lagi dan dibelek perlahan. Sudah empat kali dia membelek. Tercari-cari artikel yang belum dibacanya. Namun, kecewa. Langsung tiada lagi yang mampu menambat matanya. Dia dahagakan sesuatu yang berinformasi. Baginya, otak yang lama berehat pasti akan cepat berkarat. Lagipun dia sedar ‘reading without reflection is like eating without digesting!

-II-
Papan tanda besar tertera ‘UK Border’ tergantung kukuh di antara tiang. Suasana agak bingit dek raungan dua anak kecil yang menangis secara serentak. Elisa menyelit kemas dua keping borang landing card dicelah passport miliknya dan Mirza. Sungguh berliku laluan beratur menuju ke kaunter kawalan Imigresen. Macam ular yang tidak berekor. Manakan tidak, dari 8 kaunter untuk non-EU passport holder, hanya 2 kaunter sahaja yang dibuka. Dari kejauhan, seorang lelaki memandang mereka berdua. Mirza memberi senyuman tawar. Mungkin orang Indon kot. Fikirnya.


Menjelang giliran ke kaunter, sekali lagi dia bertembung dengan lelaki Indon tadi. Dan kali ini dia terpandang buku merah dipoket kanan dada lelaki tadi dibalik jaket hitam. Ohh.. orang Malaysia rupanya. Lantas, dia menegur.
"Dari Malaysia ke?" Tegurnya sopan.
Lelaki itu hanya mengangguk serta tersenyum, lalu merapati mereka berdua dan menghulurkan salam. Rupanya lelaki itu dari Temerloh, Pahang. Singgah sebentar di London setelah menyertai exhibition di Hamburg. Sungguh kecil dunia ini.

Elisa resah tatkala tiba giliran mereka ke kaunter. Bukan gentar kerana bakal disoal jawab oleh pegawai Imegresen, tetapi bimbang akan terlepas bas Easybus yang telah ditempah secara online untuk departure ke London City Centre jam 12.30 tengah hari. 
" Eishh dah dua belas suku ni. Sempat ke. Luggage pun tak ambil lagi ni." Gerutu Elisa sendirian sambil memandang suaminya
"InsyaAllah, kalau ada rezeki, ada la bas tu." Jawab Mirza dengan tenang walhal dia pun sedikit gusar.

Sesi beratur yang memakan masa sejam suku ternyata tidak berkadaran dengan waktu soal jawab di kaunter. Kurang dari dua minit sesi soal jawab selesai. Tiada soalan cepu emas. Mereka hanya ditanya soalan standard. Berapa hari mereka berada di UK, sekarang belajar di mana dan kali ke berapa datang ke UK. Tapi mungkin kerana ini kali kedua mereka menjejakkan kaki ke bumi ratu, mereka dengan mudah ‘dilepaskan’. Mirza menarik nafas lega. Dia agak bimbang. Fail yang mempunyai semua maklumat penting mengandungi salinan tiket penerbangan pulang dan juga booking reservation untuk tempat tinggal semasa di berada di London terlupa diambil. Semuanya ada dalam hand luggage! Aii..Muda lagi sudah pelupa. Getus hatinya.

-III-
Tepat jam 2.50 petang akhirnya mereka tiba di Malaysian Hall London. Kali kedua menjejakkan kaki ke tempat itu membuatkan mereka tidak asing lagi di kawasan Bayswater. Perasaan lega dibenak dada. Terasa seolah pulang ke tanah air sendiri. Bertambah lega setelah mendapat kunci bilik tidur masing-masing. Mereka memilih untuk menginap satu malam di Malaysian Hall. Walau terpaksa tidur berasingan, namun itulah pilihan terbaik bagi mengurangkan kos. Yang penting, bilik air ada di setiap bilik. Itu yang utama.

Seterusnya mereka berdua menuju ke kantin makanan Malaysia Hall yang terletak di bahagian basement. Kelihatan ramai warga Malaysia sedang menjamu makan tengahari walau waktu lunch hour telahpun berlalu. Meriah bagai pasar pagi. Patut la dinamakan kantin, bukannya café.
“Nasi lemak 5.50 pound? Tu dah hampir RM 27 sepinggan. Boleh tahan mahal ni.” Reaksi Mirza sambil membaca menu yang tertera.
“Ehh..jangan cakap kuat-kuat. Orang kat sini paham la.” Tegur Elisa. Mirza tersenyum. Dia terlupa. Tidak seperti di Kota Copenhagen mereka berdua bebas bercakap-cakap dalam bahasa Melayu tanpa perlu khuatir orang lain di sekitar akan faham. Di London ni, orang Melayu ada di mana-mana.

        Usai menjamu nafsu perut. Mereka beredar ke bilik. Lelaki di tingkat empat dan wanita di tingkat tiga. Tiba di bilik 407, Mirza menghempas badan ke atas katil. Dia terbaring sambil membelek beberapa bronchure Visit London yang sempat disambar olehnya semasa di Airport. Laluan peta Tube London Underground turut ditelitinya. Selimut bercorak bulu harimau seolah meraum memaksanya memejamkan mata. Ahh.. kekenyangan dan katil memang sahabat sejati. Tetapi, memang wajar dipisahkan tanpa perlu bersebab. Dia menoleh ke arah jam. Jam berjenama Tissot hadiah hantaran perkahwinan terikat sedikit longgar di pergelanganan tangan kanannya ditanggalkan. Sudah jam 4.55 petang. Dia berjanji bertemu isterinya di lobi jam 5! Segera dia bergerak ke kamar mandian untuk berwudhuk untuk menunaikan solat jamak dan qasar.

-IV-
Keluar sahaja dari Stesen Tottenham Court Road mereka terkejut. Orang ramai ke hulu ke hilir. Rupanya mereka tiba di penghujung laluan membeli-belah di Kota London, Oxford Street. Mereka tiba-tiba putus arah. Elisa mengeluarkan penunjuk ajaibnya. GPS dari telefon Nokia N8 itu sungguh lambat mendapat signal. Lantas Mirza membuka peta ajaibnya. Kaki bergerak pantas dan mata melilau mencari nama jalan.
       Seperti yang dirancang, Mirza memilih untuk melawat Museum of London. Minggu itu, adalah minggu terakhir special exhibition The Journey to Hajj. Tiket dibeli dengan harga diskaun. Sungguh beruntung bergelar seorang pelajar. Mendapat potongan harga untuk tiket masuk. 10 pounds adalah berbaloi untuk ‘pergi haji’. Tetapi mereka terpaksa menunggu giliran kerana ruang pameran agak sesak. Masa yang ada digunakan untuk melawat pameran percuma di sekitar museum.

       Museum of London sungguh besar dan luas. Pendek kata macam-macam ada. Dari sejarah dan koleksi barangan prehistoric hinggalah ke tamadun Rom dan juga Mesir. Mereka menuju ke bahagian ancient Egypt. Walau bukan pencinta sejarah sejati, namun apa salahnya mengetahui serba sedikit mengenai Pharaoh, Sphinx dan juga jenis tulisan caligraph, fikir mereka.
Ruang pameran Hajj: The journey to the heart of Islam agak kelam. Mungkin sengaja dibuat begitu agar pengunjung lebih dapat memberi fokus pada setiap satu bahan pameran. Sekeping kain kiswah penutup Kaabah tergantung megah. Cahaya keemasan dari sulaman emas bersilau terang di bawah lampu. Kebanyakan bahan pameran itu didatangkan khas dari Riyadh, setelah mendapat kerjasama dari King Abdul Aziz Public Library. Mirza begitu kaget kerana sungguh ramai orang bukan Islam yang turut serta ingin mengetahui tentang rukun Islam yang kelima tersebut. Malah mereka lebih khusyuk berbanding mereka.

Jam 7.15 petang mereka mula beredar. Mereka mengambil keretapi bawah tanah atau lebih dikenali sebagai 'tube' menggunakan laluan lingkaran Central dan seterusnya menukar arah dengan Victoria line dan juga Circle line. Mereka ingin Westminster. Suasana petang yang hampir menjelang senja mencetuskan idea untuk menuju ke House of Parliment. Belum puas ke tempat itu semasa kali pertama ke sana.
        Malam berlabuh. Cahaya lampu sorot dipancar ke setiap penjuru dinding. Bangunan usang yang mempunyai seni bina neo gothic style itu kelihatan begitu cantik di kala malam. Clock tower yang menempatkan Big Ben setinggi 96m turut menambah seri. Ligat tangan Mirza merakam gambar dengan lensa kamera dari pelbagai sudut. Tak jauh dari situ, London Eye juga cantik melatari sungai Thames.
         Angin melimbai cermat mengelus wajah Elisa Liyana. Pawana yang berarak masuk melalui lohong nafas terasa menghulur bening kedamaian santak ke luhur atma. Tetapi, bayu malam itu membuatkannya hampir menggigil. 
          “Tu la tak mau pakai jaket. Nak bergaya sangat, siapa yang susah? Kan Abang jugak yang susah.” Bebel Mirza sambil tangannya meraut erat badan Elisa dengan harapan berkurang kedinginannya. Elisa terdiam seribu bahasa. Dia sedar kerana alpa yang mereka sememangnya merancang untuk pulang pada waktu malam. Suhu di malam hari di musim bunga sememangnya masih sejuk mencengkam tulang..

Bintang-bintang yang bergemerlapan malam itu sungguh indah menghiasi persada langit. Malam berlalu menunaikan janji putaran alam.

Bersambung..

4 comments:

  1. Salam

    Termakasih.
    Heeh lama betul tunggu....

    ReplyDelete
  2. W'salam.

    Hehe, lambat sedikit. Terbengkalai hampir 2 bulan. Dah lama peram draft. Skrang baru berpeluang untuk post. Terima kasih kerana sudi membaca.

    ReplyDelete
  3. waaahhh... selamat kembali..

    ReplyDelete
  4. m.u.l.a.n: TQ. Kembali setelah 2 bulan menyepi..hehe

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...