Travelog Jelajah Andalusia, Sepanyol - Part 2
Konvoi 2 van dan 1 kereta melalui highway baru, 4 lorong dari Malaga ke Cordoba |
Day 3 : Cordoba
Mentari pagi mula garang menyinari bumi selatan Espana seawal 9.30 pagi. Perjalanan sejauh 120km ke Cordoba dari Fuengirola, Malaga selama 2 jam hampir tidak dirasai kerna begitu asyik memerhati pemandangan indah sambil mendengar celoteh Tour Manager Kelana Convoy bercerita mengenai sejarah Andalusi melalui corong walkie-talkie. Kiri-kanan lebuh raya dikepung bukit-bukau dengan hutan pokok
renek dan juga hamparan ladang zaitun sejauh mata memandang. Lima terowong dan dua tol dilalui.
Pokok Zaitun hidup subur di bumi Andalusia |
Menjelang tengahari, kami tiba ke
destinasi pertama iaitu Madinat Az Zahra.
Madinat Az-zahra adalah tapak bandar lama milik kerajaan pemerintahan Islam yang berada di atas bukit. Ia
seakan bandar terpencil yang hidup secara sendiri, tapi kekal maju dan
bertamadun dan menjadi pusat pertadbiran ala Putrajaya gitu. Dengan bayaran
tiket EUR 1.20, kami memasuki kawasan muzium tepat jam 12 tghr. Pengunjung
dijamu dengan tayangan video selama 20 min gambaran ilustrasi kehidupan dan suasana
Medina Azahara zaman dahulu kala serta perbandingannya pada hari ini.
Kemudian, kami dibawa menziarahi tapak asal medinat Az-zahra untuk melihat sisa tinggalan sambil mendalami rentetan kisah sejarah yang dilalui bandar
ini.
Kota tinggalan, Medina Azahara |
Kota seluas 112 hektar yang dibina
oleh Khalifah Abdul Rahman III menjadi pusat kerajaan Islam di Sepanyol. Selain
istana khalifah, kompleks ini lengkap dengan dewan tetamu, masjid, pejabat
kerajaan, taman, berek tentera, bengkel, kolam dan tempat mandi awam. Kini
hanya rangka binaan lama, tiang dan gerbang menjadi saksi kehebatan sebuah
kerajaan yang telah hilang.
House of Ya'far |
Seterusnya kami menuju ke bandar
Cordoba, iaitu hanya 8km dari Medinat Az Zahra. Cordoba ataupun dalam English disebut
Cordova sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, bimbang tidak tercapai apa
yang ingin dikatakan. Namun, bagi yang belum pernah menjejakkan kami ke bumi
Andalus, andai pernah menonton siri drama ’Suria di Cordoba’ setentunya dapat
membayang keadaan dan suasana di kota Cordoba kini. Ala, drama bersiri lakonan Sari Yanti, Ady Putra
dan Fahrin Ahmad dulu2 tu (2011).
Tidak sah jika berada di Cordoba
tanpa memasuki Masjid Qurtubah [La
Mezquita] yang telah diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Di dalam bangunan itu, masjid sudah
hilang tanda. Yang tinggal hanya kesan-kesan sejarah dan lagenda. Semuanya
sudah ditukarkan menjadi gereja. Perkarangan Masjid Cordoba yang dikelilingi
pohon-pohon limau dan juga pohon tamar, seolah menyambut kehadiran pelawat. Menariknya,
deretan pohon-pohon limau itu ditanam selari dengan tiang-tiang yang terdapat
didalam masjid. Sungguh tenang. Namun seringkali ketenangan itu diganggu tatkala loceng gereja dari menara bergema. Menara setinggi 93m tempat muazzin melaungkan
azan dari The Torre de Alminar, telah ditambah dengan loceng besar dan bertukar
nama menjadi The Bell Tower. Bunyi bacaan ayat suci Al-Quran juga telah lama
lenyap dan diganti dengan nyanyian gereja.
Pohon limau dan tamar di hadapan pintu masuk Le Mezquita |
Bayaran EUR8 dikenakan bagi
pelawat dewasa. Huish nak masuk masjid pun kena bayar? Hmm nak buat macam mana masjid
ini telah pun menjadi La Catedral de
Cordoba. Rasa sedih melingkar kalbu. Bangunan masjid ini terkenal kerana adanya
ornament lengkungan batu bata yang dibentuk arches yang berselang-seli warna
merah dan putih menghubungkan tiang. Sebanyak 900 tiang (kini tinggal 856) dengan
bahan marmar dan granit, memberikan nuansa yang sangat indah di dalam masjid. Lebih-lebih
lagi tatkala cahaya matahari masuk menerangi menerusi tingkap masjid.
Info: From Monday to
Saturday, from 8:30 a.m. to 10:00 a.m., it could be possible to visit the
Cathedral free.
Sejarah mencatatkan tapak asal Masjid Cordoba
ini merupakan sebuah tempat penyembahan kaum Roman dalam kurun ke 6 dan apabila empayar Roman jatuh, ianya dijadikan
sebuah gereja. Dan, setelah orang Islam berjaya menduduki Sepanyol dibawah pemerintahan Bani Ummayah, gereja tersebut telah
diruntuhkan sepenuhnya dan dijadikan sebuah masjid. Pembinaannya dimulakan oleh
Khalifah Abd ar Rahman I dalam tahun 784. Walaupun pada asalnya tiang-tiang
Roman digunakan, namun apabila ketinggiannya tidak sekata, tiang-tiang
berbentuk empat segi ditambah di atas tiang-tiang asal. Ini bagi membolehkan
lengkungan-lengkungan yang unik mengampu siling masjid.
Seterusnya Khalifah Abd ar Rahman
II menyambung pembinaan dengan mendirikan menara dan Al Hakam II memperindahkan kawasan dalam masjid. Pada keseluruhannya pembinaan Masjid Cordoba ini sebenarnya
telah memakan masa selama 203 tahun. Masjid Cordoba yang berkeluasan 24,000
meter persegi ini dapat menampung 10,000 umat Islam pada satu masa dan merupakan
masjid yang ketiga terbesar dalam dunia Islam ketika itu. Puncak kegemilangan
adalah semasa pemerintahan Abdul Rahman III (912 - 961). Ketika itu ia adalah
kota terbesar di Eropah Barat lengkap dengan masjid, perpustakaan, universiti,
pasar dan balai cerap. Namun, pada tahun 1236, Córdoba telah diambil alih dari orang
Islam oleh Raja Ferdinand III. Setelah dikuasai, masjid ini diubah menjadi
gereja Kristian. Maka, tiadalah berkesempatan untuk umat Islam bersujud disini
lagi. Tiada lagi Imam mengimamkan
solat...
Sewaktu melewati bangunan yang penuh dengan ukiran dan
patung Kristian, ditengah-tengah bangunan tersebut terdapat Mihrab yang
menghadap ke kiblat, tempat dimana imam memimpin solat suatu masa dulu. Berbentuk
cekungan langit-langit yang diukir dari blok marmar dan ruang-ruang di sisinya
dihiasi dengan mozaik byzantium indah. Di sekeliling mihrab terukir dengan
tinta emas dan biru 99 nama-nama Asma ul Husna. Subhanallah, sungguh indah
mata memandang. Memang terpegun melihat keindahan senibina masjid ini. Terselit rasa bangga.
Di luar kawasan masjid terdapat
deretan kedai souvenir yang pelbagai. Naik juling jugalah mata memandang. Pening
jugak nak memilih. Kalau mahu diturutkan hati, mahu dibeli semuanya. Kemudian, kami
meneruskan langkah menuju ke jambatan peninggalan Roman 'El Puente Romano'. Di bawahnya mengalir arus sungai
Guadalquivir. Jambatan itu menghubung ke Torre de Calahorra agak unik, tapi air sungai sungguh busuk tidak terkata. Panorama La Mezquita dan juga Alcazar yang merupakan kota pertahanan kelihatan gah dari atas jambatan.
Semasa melalui sekitar kota ini, kami temui beberapa arca tokoh-tokoh terkemuka di Spain iaitu Seneca, Averroes/ Ibnu Rusyd, dan Maimonades. Ibnu Rusydi atau di barat dipanggil Averroes, seorang cendekiawan perubatan dan ahli falsafah yang terkenal dilahirkan di sini dari keluarga yang berpengaruh. Selain beliau, Ibn Arabi, seorang ahli mistik dan ahli falsafah, dan juga Az-Zahrawi seorang ilmuwan dalam perubatan moden serta Qadi Iyad, seorang ahli perundangan Islam dan ahli theologi juga lahir di kota Cordoba.
Semasa melalui sekitar kota ini, kami temui beberapa arca tokoh-tokoh terkemuka di Spain iaitu Seneca, Averroes/ Ibnu Rusyd, dan Maimonades. Ibnu Rusydi atau di barat dipanggil Averroes, seorang cendekiawan perubatan dan ahli falsafah yang terkenal dilahirkan di sini dari keluarga yang berpengaruh. Selain beliau, Ibn Arabi, seorang ahli mistik dan ahli falsafah, dan juga Az-Zahrawi seorang ilmuwan dalam perubatan moden serta Qadi Iyad, seorang ahli perundangan Islam dan ahli theologi juga lahir di kota Cordoba.