Friday, January 4

Andalusia Aku Datang!


Travelog Jelajah Andalusia, Sepanyol - Part 1

Tanggal 27 Disember 2012, penulis DKKC memulakan perjalanan ke bumi Andalusia di selatan Sepanyol ‘melarikan’ diri dari suhu sejuk musim winter di Denmark yang mencengkam tulang. Berbekalkan sebungkus roti home made cinnamon-snail dan juga pasta potato salad, langkah dimulakan menuju ke Copenhagen Airport seawal jam 3.40 pagi tatkala mata masih kantuk. Penerbangan di awangan hanya disulami dengan aktiviti terbantut, menyambung lena yang tergendala.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Taala, atas kelapangan masa yang ada, kemurahan rezeki yang diberikan, kesihatan tubuh-badan yang mengizinkan, sampai jugak kami ke Malaga, Espana setelah transit beberapa jam di Brussel Aiport. Perkataan ‘Bienvenido’ yang bermaksud welcome tertera jelas tatkala menuju ke bahagian arrival di Málaga-Costa del Sol Airport (Spanish: Aeropuerto de Málaga-Costa del Sol). Bahagian terminal 2 yang dibuka sejak Jun 2011 tampak moden dan seolah berada di KLIA. Udara nyaman menghembus muka tatkala mengorak keluar dari ruangan arrival disertai senyuman krew Kelana Convoy yang setia menunggu ketibaan kami. Oh ya, kami join tour anjuran Kelana Convoy bagi menjejaki sebahagian besar warisan Tamadun Islam di bumi Andalusia.
Mezquita de Fuengirola kelihatan cantik diapit pohon tamar, tapi sayang pagar berkunci. Mezquita bermaksud Masjid dalam bahasa Spanish
Trip ini merupakan kali kedua bersama Kelana Convoy, sebelum ini pernah mengikuti trip menaiki bas Highlight of Europe – tour 6 Countries (9 days, 7 nights). Tetapi kali ini hanya disertai oleh 19 orang beserta 3 orang krew KC selama 6 hari je. Maka hanya dua buah van dan sebuah kereta kecil jenama Fiat digunakan. Kami menginap di sebuah banglo di Fuengirola, iaitu pekan kecil berhampiran bandar Malaga. Villa bernama Mercedes itu mampu memuatkan 14 orang dewasa dengan 6 bilik tidur lengkap dengan perabot, dapur, kolam mandi (outdoor) dan juga bilik riadah sungguh selesa dan memang sesuai dengan namanya. Kawasan villa yang hanya 450m dari pantai Fuengirola yang menghadap Laut Mediterranean memang mendamaikan dengan cuaca yang nyaman dan disekitarnya pulak banyak pokok limau yang lebat buahnya ditanam menghiasi jalanan. 
Aktiviti riadah di Villa para peserta Kelana Convoy di malam hari setelah seharian berjalan-jalan
Day 2 : Gibraltar
Buenocias!! (Selamat Pagi) Penerokaan bumi Andalusia dimulakan dengan menghala ke bahagian selatan menuju ke The Rock of Gibraltar. Bukit berbatu yang hanya keluasan 5km x 1km tersebut adalah asalnya kepunyaan Sepanyol tetapi telah menjadi tanah jajahan Inggeris. Gibraltar merupakan salah satu dari 14 wilayah British Overseas Teritories. Oleh itu, kami perlu menunjukkan passport apabila tiba di kawalan Imigresen selepas melepasi La Línea de la Concepción di bahagian Sepanyol. Sungguh menarik kerana berada di bandar kecil itu seolah berada di United Kingdom. Hampir keseluruhan papan tanda menggunakan bahasa Inggeris. Bas merah seolah London Bus, pondok telefon merah, peti pos surat juga warna merah ada di merata tempat. Malah matawang pound turut digunakan di sini, tetapi tak sama dengan UK kerana Gibraltar Pound (GIP) digunakan, tetapi pound sterling juga diterima.
Jabal Tariq
Nama Gibraltar diambil sempena nama Jabal Tariq (Gunung Tariq) atau Jabraltar dan kemudian hanya disebut Gibraltar. Jeneral Tariq ibn Ziyad terkenal dengan kisah membakar kapal-kapal tentera Islam. Namanya terpahat dalam lipatan sejarah.  Menurut cerita, di atas bukit setinggi 300m dari aras laut itu, Jeneral Tariq memerintahkan pembakaran kapal-kapal yang telah membawa mereka. Arahan ini membuat tenteranya kehairanan.

“Kenapa kamu lakukan ini?” tanya mereka. “Bagaimana kita kembali nanti?” tanya yang lain.
Namun Tariq tetap pada pendiriannya. Dengan gagah berani ia berseru,
“Kita datang ke sini bukan untuk kembali. Kita hanya punya dua pilihan, menakluk negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid di jalan Allah”

Kata-kata tersebut telah menaikan semangat perajurit muslim yang dipimpinnya. Bala tentara muslim yang berjumlah 12,000 orang melawan tentara musuh yang berkekuatan 100,000 tentera di bawah pimpinan King Roderick. Atas usahanya, kerajaan Islam Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun. Selain itu terdapat sebuah masjid di namakan bersempana Tariq ibn Ziyad tidak jauh dari pusat bandar Gibraltar.
Sebuah masjid di Gibraltar bernama Mosque Tarik ibn Zeyad
Kami mengambil pakej Official Gibraltar Rock Tour [EUR25/186kr/RM99] dengan menaiki van. Tour hampir 2 jam tersebut termasuk dengan pakej melawati monument The Pillars of Hercules, St. Michael’s Cave dan juga Great Siege Tunnels yang terletak di kawasan Nature Reserve Area. Terasa ngeri berada dalam van sewaktu mendaki lereng-lereng bukit yang sempit. Driver van pulak sibuk bercerita mengenai sejarah bukit tersebut, sambil tangan ligat memegang stereng. Maka kengerian berganda.

Info: Terdapat perkhidmatan Gibraltar Cable Car berharga EUR13.75 return tiket untuk dewasa. Tetapi tidak termasuk tiket melawat St. Michael’s Cave dan Great Siege Tunnels [EUR 14].
St. Michael Cave
St. Michael’s Cave sungguh menarik dan perlu dilawati jika menjejakkan kaki Gibraltar. Batuan kapur stalactites dan stalagmites yang terbentuk dari titisan air menjadikan struktur dalaman St. Michael’s Cave unik. Di kawasan puncak the Rock of Gibraltar pula wujud kolini kecil monyet yang suka menyakat pelancong. Pantang nampak makanan, terus di sambar. Sepatutnya pemandangan dari puncak bukit membolehkan kami melihat Jabal Musa yang terletak kira-kira 14 km di Morocco. Namun, kabus tebal yang ditiup bayu dari Laut Mediterranean menghalang pandangan.

Info: Dari selatan Sepanyol anda boleh menyeberangi selat Gibraltar untuk pergi ke utara Afrika ke Bandar tangier di Negara Magribi. Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk memasuki Maghribi.
Panorama dari puncak bukit Gibraltar. Kelihatan selat Gibraltar dan laluan jalan raya utama di atas landasan kapal terbang.
Kami menuju ke pusat bandar Gibraltar setelah turun dari puncak the rock of Gibraltar dan melalui the main street untuk ke Casemates Square. Tiada banyak pilihan makanan halal di kawasan tersebut, walau banyak deretan restoran dan cafe. Hanya Rock English Fish & Chips Cafe sahaja yang dijamin halal. Kami mengisi perut dengan hidangan Fish & Chips. Fries kentang yang panas dan rangup menenggelamkan hidangan ikan kod yang dirasakan kurang ’aumnya’. Bantai saja, lagipun ini bukannya siri rancangan Jalan-jalan Cari Makan. Asap tipis dari cappucino yang hangat menyimbangkan suasana di sekitar yang sesekali dihembus semilir dingin sambil mata memerhati kedai sekililing.
Masjid Ibrahim al Ibrahim sumbangan Kerajaan Arab Saudi
Usai aktiviti wajib-shopping souvenirs di sekitar jalanan main street, kami menuju ke Ibrahim-al-Ibrahim Mosque. Masjid yang terletak di pinggir laut di kaki bukit sungguh cantik dipandang, tapi sayang dipinggirkan dan kurang jemaah kerna terletak agak jauh dari kawasan bandar. Masjid tersebut dibina atas sumbangan oleh King Fahd bin Abdulaziz dari Kerajaan Arab Saudi. Walau sunyi, tetapi  Alhamdulillah, dapatlah kami menumpang bersolat dengan tenang dan selesa. 

Next post : Mencari Suria di Cordoba (Part 2)
trip kelana convoy andalusia, melawat andalusia, panduan melancong ke andalusia, tempat menarik di andalusia

6 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Saya seronok membaca kembara saudara. Terasa saya turut mengembara, duduk minum semeja dan menikmati keindahan alam dan tinggalan sejarah Islam di sana.

    Singgahlah minum secawan kopi di blog saya.

    ReplyDelete
  2. cantiknya view....subhanallah....teringin menikmati suasana seperti ini...

    ReplyDelete
  3. @Naramas Aman: W'salam. Terima kasih sudi singgah ke blog DKKC dan terima kasih atas jemputan minun kopi.
    @radziah AR: Memang cantik bumi ciptaan Allah SWT, Alhamdulillah sekali sekala dapat melihat tempat orang

    ReplyDelete
  4. best nye jalan2 ngan Kelana Convoy!!!

    teringin nak gi lagi dengan Kelana Convoy!!! best!!!

    ReplyDelete
  5. Asslam...cantik nya negara ore, Saya pun teringin juga nak jejak kaki di bumi eropah.
    In sha Allah kalu ada rezki bolih minum bersama

    ReplyDelete
  6. Subhanallah indahnya, InshaAllah dengan izinNya kami sekeluarga akan ke Malaga, Granada, Cordoba dan Gibraltar pada penghujung Nov 2014. Blog ni telah membantu saya untuk merancang perjalanan kami selama 6 hari.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...