Sunday, January 6

Sinar Suria di Cordoba

Travelog Jelajah Andalusia, Sepanyol - Part 2
Konvoi 2 van dan 1 kereta melalui highway baru, 4 lorong dari Malaga ke Cordoba
Day 3 : Cordoba
Mentari pagi mula garang menyinari bumi selatan Espana seawal 9.30 pagi. Perjalanan sejauh 120km ke Cordoba dari Fuengirola, Malaga selama 2 jam hampir tidak dirasai kerna begitu asyik memerhati pemandangan indah sambil mendengar celoteh Tour Manager Kelana Convoy bercerita mengenai sejarah Andalusi melalui corong walkie-talkie. Kiri-kanan lebuh raya dikepung bukit-bukau dengan hutan pokok renek dan juga hamparan ladang zaitun sejauh mata memandang. Lima terowong dan dua tol dilalui.
Pokok Zaitun hidup subur di bumi Andalusia
Menjelang tengahari, kami tiba ke destinasi pertama iaitu Madinat Az Zahra. Madinat Az-zahra adalah tapak bandar lama milik kerajaan pemerintahan Islam yang berada di atas bukit. Ia seakan bandar terpencil yang hidup secara sendiri, tapi kekal maju dan bertamadun dan menjadi pusat pertadbiran ala Putrajaya gitu. Dengan bayaran tiket EUR 1.20, kami memasuki kawasan muzium tepat jam 12 tghr. Pengunjung dijamu dengan tayangan video selama 20 min gambaran ilustrasi kehidupan dan suasana Medina Azahara zaman dahulu kala serta perbandingannya pada hari ini. Kemudian, kami dibawa menziarahi tapak asal medinat Az-zahra untuk melihat sisa tinggalan sambil mendalami rentetan kisah sejarah yang dilalui bandar ini.
Kota tinggalan, Medina Azahara
Kota seluas 112 hektar yang dibina oleh Khalifah Abdul Rahman III menjadi pusat kerajaan Islam di Sepanyol. Selain istana khalifah, kompleks ini lengkap dengan dewan tetamu, masjid, pejabat kerajaan, taman, berek tentera, bengkel, kolam dan tempat mandi awam. Kini hanya rangka binaan lama, tiang dan gerbang menjadi saksi kehebatan sebuah kerajaan yang telah hilang.
House of Ya'far
Seterusnya kami menuju ke bandar Cordoba, iaitu hanya 8km dari Medinat Az Zahra. Cordoba ataupun dalam English disebut Cordova sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, bimbang tidak tercapai apa yang ingin dikatakan. Namun, bagi yang belum pernah menjejakkan kami ke bumi Andalus, andai pernah menonton siri drama ’Suria di Cordoba’ setentunya dapat membayang keadaan dan suasana di kota Cordoba kini. Ala, drama bersiri lakonan Sari Yanti, Ady Putra dan Fahrin Ahmad dulu2 tu (2011).
Drama Suria di Cordoba. Kelihatam loceng yang diletakkan di menara The Torre de Alminar
Tidak sah jika berada di Cordoba tanpa memasuki Masjid Qurtubah [La Mezquita] yang telah diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Di dalam bangunan itu, masjid sudah hilang tanda. Yang tinggal hanya kesan-kesan sejarah dan lagenda. Semuanya sudah ditukarkan menjadi gereja. Perkarangan Masjid Cordoba yang dikelilingi pohon-pohon limau dan juga pohon tamar, seolah menyambut kehadiran pelawat. Menariknya, deretan pohon-pohon limau itu ditanam selari dengan tiang-tiang yang terdapat didalam masjid. Sungguh tenang. Namun seringkali ketenangan itu diganggu tatkala loceng gereja dari menara bergema. Menara setinggi 93m tempat muazzin melaungkan azan dari The Torre de Alminar, telah ditambah dengan loceng besar dan bertukar nama menjadi The Bell Tower. Bunyi bacaan ayat suci Al-Quran juga telah lama lenyap dan diganti dengan nyanyian gereja.  
Pohon limau dan tamar di hadapan pintu masuk Le Mezquita
Bayaran EUR8 dikenakan bagi pelawat dewasa. Huish nak masuk masjid pun kena bayar? Hmm nak buat macam mana masjid ini telah pun menjadi La Catedral de Cordoba. Rasa sedih melingkar kalbu. Bangunan masjid ini terkenal kerana adanya ornament lengkungan batu bata yang dibentuk arches yang berselang-seli warna merah dan putih menghubungkan tiang. Sebanyak 900 tiang (kini tinggal 856) dengan bahan marmar dan granit, memberikan nuansa yang sangat indah di dalam masjid. Lebih-lebih lagi tatkala cahaya matahari masuk menerangi menerusi tingkap masjid.

Info: From Monday to Saturday, from 8:30 a.m. to 10:00 a.m., it could be possible to visit the Cathedral free.

Sejarah mencatatkan tapak asal Masjid Cordoba ini merupakan sebuah tempat penyembahan kaum Roman dalam kurun ke 6 dan apabila empayar Roman jatuh, ianya dijadikan sebuah gereja.  Dan, setelah orang Islam berjaya menduduki Sepanyol dibawah pemerintahan Bani Ummayah, gereja tersebut telah diruntuhkan sepenuhnya dan dijadikan sebuah masjid. Pembinaannya dimulakan oleh Khalifah Abd ar Rahman I dalam tahun 784. Walaupun pada asalnya tiang-tiang Roman digunakan, namun apabila ketinggiannya tidak sekata, tiang-tiang berbentuk empat segi ditambah di atas tiang-tiang asal.  Ini bagi membolehkan lengkungan-lengkungan yang unik mengampu siling masjid.
Tiang-tiang gerbang dan jalur merah putih Masjid Cordoba
Seterusnya Khalifah Abd ar Rahman II menyambung pembinaan dengan mendirikan menara dan Al Hakam II memperindahkan kawasan dalam masjid. Pada keseluruhannya pembinaan Masjid Cordoba ini sebenarnya telah memakan masa selama 203 tahun. Masjid Cordoba yang berkeluasan 24,000 meter persegi ini dapat menampung 10,000 umat Islam pada satu masa dan merupakan masjid yang ketiga terbesar dalam dunia Islam ketika itu. Puncak kegemilangan adalah semasa pemerintahan Abdul Rahman III (912 - 961). Ketika itu ia adalah kota terbesar di Eropah Barat lengkap dengan masjid, perpustakaan, universiti, pasar dan balai cerap. Namun, pada tahun 1236, Córdoba telah diambil alih dari orang Islam oleh Raja Ferdinand III. Setelah dikuasai, masjid ini diubah menjadi gereja Kristian. Maka, tiadalah berkesempatan untuk umat Islam bersujud disini lagi.  Tiada lagi Imam mengimamkan solat...
Ukiran dari emas di Mihraj masih dikekalkan dan dipagar
Sewaktu melewati bangunan yang penuh dengan ukiran dan patung Kristian, ditengah-tengah bangunan tersebut terdapat Mihrab yang menghadap ke kiblat, tempat dimana imam memimpin solat suatu masa dulu. Berbentuk cekungan langit-langit yang diukir dari blok marmar dan ruang-ruang di sisinya dihiasi dengan mozaik byzantium indah. Di sekeliling mihrab terukir dengan tinta emas dan biru 99 nama-nama Asma ul Husna. Subhanallah, sungguh indah mata memandang. Memang terpegun melihat keindahan senibina masjid ini. Terselit rasa bangga.
Roman Bridge
Di luar kawasan masjid terdapat deretan kedai souvenir yang pelbagai. Naik juling jugalah mata memandang. Pening jugak nak memilih. Kalau mahu diturutkan hati, mahu dibeli semuanya. Kemudian, kami meneruskan langkah menuju ke jambatan peninggalan Roman 'El Puente Romano'. Di bawahnya mengalir arus sungai Guadalquivir. Jambatan itu menghubung ke Torre de Calahorra agak unik, tapi air sungai sungguh busuk tidak terkata. Panorama La Mezquita dan juga Alcazar yang merupakan kota pertahanan kelihatan gah dari atas jambatan.

Semasa melalui sekitar kota ini, kami temui beberapa arca tokoh-tokoh terkemuka di Spain iaitu Seneca, Averroes/ Ibnu Rusyd, dan Maimonades. Ibnu Rusydi atau di barat dipanggil Averroes, seorang cendekiawan perubatan dan ahli falsafah yang terkenal dilahirkan di sini dari keluarga yang berpengaruh. Selain beliau, Ibn Arabi, seorang ahli mistik dan ahli falsafah, dan juga Az-Zahrawi seorang ilmuwan dalam perubatan moden serta Qadi Iyad, seorang ahli perundangan Islam dan ahli theologi juga lahir di kota Cordoba.
Monument Ibn Rusyd, tokoh cendekiawan Islam terbilang.
Next post : Kota nan merah, Al Hambra
panduan melancong ke cordoba, melawat cordoba andalusia, harga tiket masjid cordoba, cara ke cordoba

6 comments:

  1. Salam Yeop

    Sedih kan melihat kehilangan sebuah tamadun Islam yang begitu agung suatu ketika....byk pengajaran dari sejarah tu untuk kita renungi dan ambik iktibar.

    Impian akak juga nak ke sini suatu hari nanti untuk melihat sendiri...cantik sungguh senibina masjid tu.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    Runtuhnya sebuah tamadun Islam adakah kerana kerakusan manusia, ingin mengejar nama, kealpaan manusia kepada Allah atau ketidakjituan ukhwah sesama Islam? Pernahkah kita mengambil iktibar daripada ini?

    Saya pernah melihat fenomena yang sama semasa berkunjung ke Toledo. Dulu ia masjid tetapi kini gereja. Tapi saya lupa nama gereja itu. Di dalamnya masih lagi ada tinggalan senibina Islam. Terdapat pedang bertulis kalimah Allah di dalamnya. Terselit rasa sedih melihat Islam lemah.

    ReplyDelete
  3. Terbaik. Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman...

    ReplyDelete
  4. @Aku Seorang Pengembara: W'salam. Semoga impian Akak melihat sendiri bumi Andalusia tercapai. Memang berbaloi pergi
    @Naramas Aman: W'salam. Semoga sama-sama kita ambil iktibar dari peristiwa runtuhnya sebuah tamaduh Islam semoga ia tidak berulang.
    @Tahir Jaafar: Terima kasih sudi singgah dan baca

    ReplyDelete
  5. Subhanallah, maha suci Allah, kagum sungguh tatkala melihat senibina Islam yg kekal indah sepjg zaman! Sayang dan rasa hiba...kr ia kini udah bertukar tangan!

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...