Wednesday, October 9

Kembara ke Prague, Kota 100 Menara di Republik Czech

Day 1: City of 100 Spires (Part 1 of 2)
Lokasi Czech Republik dan negara-negara jiran. Germany & Austria adalah negara western europe manakala Poland, Slovakia dan juga Czech adalah negara eastern europe.
Prague atau Praha dalam bahasa tempatan adalah salah satu dari daftar panjang kota-kota di benua eropah impian yang ingin ditakluki oleh Penulis DKKC, dan Alhamdulillah akhirnya tercapai jua. Sebenarnya, pada awalnya sedikit dilema kerana ada dua wishlist yang belum tertunai, iaitu menjejaki kota Prague dan juga ke Edinburgh. Perancangan ke Edinburgh terpaksa dimansuhkan akibat kekangan masa dan juga ekonomi yang tidak stabil, lantas beralih arah ke salah sebuah negara eastern Europe yang cukup dikenali sebagai The Golden City of 100 Spires iaitu ibunegara negara Czech Republik.

Memang benar, mengembara bukan soal destinasi tetapi soalnya bagaimana kita menghayati dan belajar dari setiap pengalaman melalui liku-liku ke destinasi itu. Pengalaman itulah yang membuat kita lebih matang dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Pengalaman yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Apepun, pemilihan untuk kembara ke kota bohemia ni adalah cukup tepat, kerana boleh la dianggap murah bagi budget traveler macam kami dari segi tempat penginapan dan lebih-lebih lagi tiket pengangkutan awam yang tidak mahal berbanding kos di ibukota negara eropah yang lain.

Tiket Free ke Prague
Perjalanan menerusi SAS airlines hanya mengambil masa sejam suku dari tempat kami di Copenhagen ke Prague. Hasil usaha gigih mengumpul mata points membership Eurobonus, dapatlah jimat dalam 1000kr  (RM580) bagi dua orang, kerana mendapat percuma harga tiket dan fuel charges dan hanya dikenakan taxes fee iaitu 171kr (RM99). Sinar mentari keluar dibalik awan di saat pesawat Airbus A340-300 mendarat di Prague Václav Havel Airport (Letiště Václava Havla Praha) seawal jam 8.30am. Walaupun cuaca cerah, suhu adalah rendah mencecah 14oC, petanda musim panas benar-benar telah berakhir dan beralih ke musim luruh. Kami tiba di ibukota Czech Republic ketika jam menunjukkan hampir pukul 10.15 tengahari. Perjalanan dari Airport tidaklah sukar, kami menaiki Bus 119 ke Metro Station Dejvická dan seterus menukar haluan ke Florence C, kawasan tempat penginapan yang telah ditempah melalui booking.com.

Info#1: 24hr public transport tiket hanya 100 czk (RM 18.50) seorang, dan membolehkan anda menaiki bus, tram, keretapi bawah tanah Metro dan juga kereta kabel di sekitar pusat Bandar Prague.Tiket 90min adalah 32 CZK (RM 5.40), tetapi jika membawa luggage, anda perlu membeli tiket khas untuk luggage berharga 16 CZK (RM2.70).

Tanpa berlengah kami terus meneroka kota yang dikenali sebagai Kota Emas 100 Menara (Golden City of 100 Spires) yang telah dibina sejak abad ke-14 dan telah diakui oleh UNESCO sebagai salah satu Kota Warisan Dunia pada 1992. Kota Praha memiliki atmosfera yang unik dengan berbagai rekabentuk bangunan dan monumen yang menarik. Pada awal abad ke 19, seorang ahli matematik dan falsafah Bohemia telah mengira bilangan menara menara gereja dan bangunan di Praha dan mendapati terdapat 103 buah kesemuanya. Mulai saat itu, kota Praha dikenali sebagai Kota Emas 100 Menara kerana kebanyakan menaranya dicat warna emas. Selain itu, Prague tersebut juga turut dikenali sebagai Paris of Eastern Europe kerana dikatakan begitu cantik dan mempunyai suasana yang romantis.

Sebelum tiba, penulis DKKC tertanya-tanya benarkah sebegitu cantik kota Praha/Pargue sehingga diberikan jolokan sebegitu. Namun, apabila sudah tiba dan melihat dan merasai sendiri, maka mata menjadi saksi dan hati turut mengiyakan kebenaran itu. Bandarnya sengaja dikekalkan dengan bangunan-bangunan lama sebagai satu simbol kepada Negara Czech. Kecantikan binaan bangunannya, sudah pasti membuatkan sesiapa saja akan terpesona.

Free Royal Prague Walk Tour
Bagi lebih mendalami apakah rahsia disebalik kota tersebut, kami memilih untuk mengikuti salah satu tour guide percuma. Free Royal Prague Tour dipilih berdasarkan banyak komen positif di Tripadvisor. Tepat jam 2.10 petang tour selama 3 jam mengelilingi Bandar Prague pun bermula. Kumpulan pelancong dibahagikan kepada 2 kumpulan kecil seramai 20 orang dan group kami diketuai oleh Chriss yang berasal dari Austria.  Suara Chriss sungguh lantang dan penguasaan Englishnya juga bagus menjadikan tour pada petang itu lebih menarik.

Info#2: Banyak khidmat free tour guide disediakan di Kota Prague antara yang popular adalah Royal Prague Tour dan juga Sandermans. Walaupun free tour tetapi ‘kena’ bagi sedikit upah kepada tour guide setelah tamat. Tour guide sebegini ada setiap hari biasanya bermula jam 11 pagi dan juga 2pm.
Artis jalanan membuat persembahan di Old Town Square
Tour bermula di Old Town Square. Walaupun bukan musim cuti sekolah dan juga sudahpun di penghujung summer holiday, keadaan pusat Bandar Prague begitu sesak dengan kebanjiran pelancong. Kebetulan ramai pula pengantin baru yang buat photoshoot di sekitar bandar pada hari itu. Antara tarikan utama di dataran Old Town adalah Astronomical Clock dan Tyn Church. Entah mengapa begitu ramai orang ramai berhenti dan menghayati jam lama yang berusia lebih 600 tahun itu yang juga bertindak sebagai kalendar di zaman silam. Lebih-lebih lagi tatkala minit menghampir angkat 00 iaitu jam tepat. Rupa-rupanya terdapat 2 jendela terbuka dengan tiba-tiba dan mempamerkan 12 patung yang berlegar-legar (6 patung setiap jendela).Terdapat juga 4 patung yang yang bergerak-gerak. Setelah itu, akan ada pekerja yang meniupkan trumpet dari puncak menara jam tersebut.
Inilah rupa Astronomi Clock tu. Jam yang betul ada kat hampir dengan menara dan dua lagi yang kat bawah adalah kalendar astronomi
Bagi Penulis DKKC, ’persembahan’ jam astronomi tersebut itu hanya biasa-biasa sahaja. Malah keseluruhan ’persembahan’ itu yang memakan masa hanya sekitar 2 minit. Namun, percaya atau tidak, menara jam itulah yang menjadikan tarikan utama pelancong di Prague. Mungkin juga, ianya cukup terkenal di Czech Republik kerana terdapat kisah menarik disebalik pembinaan jam tersebut. Menurut Chriss, tour guide kami, jam itu dibina sejak 1410 dan merupakan antara tiga jam astronomi yang tertua di dunia, tetapi satu-satunya yang masih berfungsi hingga kini. Ahli matematik dan astronomi yang membina jam tersebut telah dibutakan matanya agar tidak berupaya membina jam yang baru seumpamanya. Oleh kerana terlalu kecewa, beliau telah merosakkan jam tersebut dengan terjun ke arah struktur dalaman jam tersebut. Akibatnya, jam tersebut rosak teruk dan hanya dapat diperbaiki kira-kira seabad setelah kejadian tersebut.

Info#3: ‘Persembahan’ patung-patung dan tiup trumpet berlaku setiap hari, setiap jam bermula jam 10am hingga 9pm.
Tour guide kami sedang memberi keterangan mengenai Old New Synagogue  & the Golem yang tertua di benua Eropah. Synagogue ni macam church la, tapi untuk puak yahudi
Seterusnya Chriss membawa kami melawat sekitar Old Jewish Quarter, Old New Synagogue & the Golem, dan kemudiaan ke Art Nouveau Municipal House dan Powder Tower setelah 20 minit berehat. Selain bercerita, Chriss turut memberi tips-tips penting tatkala di Prague. Antaranya, jangan sesekali menukar wang di kedai money changer yang tidak berlesen. Penulis pada awalnya juga musykil kerana banyak benar kedai money changer kat pusat Bandar Prague ni. Boleh dikatakan setiap 50m, ada je kedai money changer. Yang peliknya, hampir kesemua  money changer mengenakan kadar tukaran yang tidak munasabah. Menurut Chriss, antara taktik scam yang biasa digunakan adalah dengan menukarkan duit dengan matawang dari Negara Hungary, Bulgaria dan juga Romania yang mempunyai nilai yang lebih rendah. Ye lah kan, mana la pelancong kenal atau cam jenis matawang yang digunakan.
Art Nouveau Municipal House, macam Dewan Bandaraya tapi ada juga Concert hall di dalamnya. Di sinilah antara lokasi filem Triple X, lakonan Vid Diesel
Tips#1: Mengeluarkan duit dari ATM machine di bank adalah cara yang paling selamat untuk mendapatkan matawang Czech Republic iaitu Czech Koruna (Kč). Malah money changer di airport sekalipun dilaporkan tidak jujur.

Penipu scam tukar duit boleh dikenali dengan mudah kerana mereka-mereka ini seringkali berlegar-legar dihadapan money changer dan memegang calculator. Mereka ini cukup peramah dan mampu bertutur dalam perlbagai bahasa. Penulis DKKC sendiri juga disapa dua kali. Cara terbaik untuk menghindari scam seumpama ini adalah dengan cara tidak melayan seolah tidak memahami bahasa yang dituturkan. Menurut tour guide kami, sekiranya anda ditegur oleh orang yang tidak dikenali, maka 60% kemungkinan besar anda akan  ditipu. Oleh itu, disebalik terkenal dengan kecantikan senibina, bandar Prague juga cukup dikenali sebagai ’scam city’ kerana ramai pelancong bernasib malang, yang mana saku mereka diseluk orang.
Yang ni bukan cubaan menyeluk saku, tetapi salah satu adegan yang dilakonkan secara spontan oleh tourist yang bagi bagi lebih memahami cerita yang disampaikan oleh Tour Guide, Chriss.
Pengalaman Pertama Menonton Theater Musical
Menjelang petang, kami kembali ke apartment tempat penginapan di Florence C. Apartment David’s Guesthouse yang ditempah melalui booking.com amatlah sesuai dengan lokasinya. Walaupun tidak mewah tetapi cukup luas dan selesa selain turut menyediakan dapur kecil untuk tetamu. Lokasinya hanya 200m ke pintu masuk train Metro underground laluan B dan C. Malahan, hanya 15minit, jika berjalan kaki ke pusat Bandar. Lebih menarik ianya berada bertentangan dengan salah satu theater utama di Prague iaitu Musical Theatre Karlín (Hudební divadlo Karlín).
Teater yang terletak hanya seberang jalan dari apartment
Seperti Viena, bilangan teater di Prague juga boleh dikatakan  agak banyak. Pada awalnya, pening juga fikir, samada nak tengok teater musical, opera, orchestra music ataupun tarian ballet. Akhirnya memilih teater musical kerana ada gabungan drama, tarian dan juga live music. Lebih-lebih lagi ada persembahan teater muzikal yang diadakan di teater yang terletak diseberang jalan tempat kediaman kami semasa di Prague. Lantaran itu, Penulis DKKC membawa Cik Puan Isteri menonton Theater Musical bertajuk ‘Aida-The Timeless Love Story’. Inilah pengalaman kali pertama kami menonton teater secara langsung. Sebelum ini ada juga bercadang untuk menonton opera semasa berkembara ke Viena yang cukup terkenal sebagai Musical City, tetapi terpaksa memadam hasrat kerana tiketnya adalah mahal bagi pelajar seperti kami. Manakan tidak untuk seorang sahaja paling kurang pun tiket berharga EUR28 (RM120).

Dari luaran, Musical Theatre Karlín seolah bangunan biasa. Namun, dekorasi dalamnya agak mewah. Pelik juga apabila pekerja bertugas memaklumkan ada subtitle bahasa English semasa membeli tiket. Mana tidak pelik, katanya live teater, macam mana pulak ada subtitle. Tiket yang available hanyalah bagi seat kedua paling belakang, tetapi ok lah kerana itulah tiket yang paling murah iaitu 280 Czech koruna (RM48). Rupanya, memang ada subtitle, bukan dibawah tetapi pada skrin kecil di atas pentas. walaupun hanya samar-samar kelihatan akibat sekali sekala lampu spotlight terlampau cerah, tetapi oklah daripada langsung tidak faham kerana dituturkan dalam bahasa tempatan.
Suasana dalam dewan teater
Persembahan teater tersebut boleh la dianggap menarik, walaupun ada part yang Penulis DKKC hampir terlelap kerana kepenatan akibat seharian berjalan. Namun, seringkali mata menjadi segar semula apabila mendengar alunan musik dan kesan bunyi yang berdentum dan bergema di dalam dewan. Muzik latar yang dimainkan oleh ahli musik yang berada dibawah pentas juga hebat. Maklum la musik bagi teater ni adalah hasil garapan Sir Elton John. Oleh kerana ianya adalah teater musikal, maka kebanyakan dialog pelakon adalah secara menyanyi. Lakonan, kostum pelakon sungguh menarik selain banyak probs tambahan digunakan seperti kapal layar dan juga piramid. Pentas juga canggih boleh turun naik dan juga perpusing 360oC. Lantaran itu, usai tamat persembahan, hampir seluruh penonton memberikan ’standing ovation’ diiringi tepukan bergemuruh hampir 10 minit.
Tags: Panduan ke prague, tips ke prague, melancong ke prague, tempat menarik di prague, melawat bandar prague

Thursday, September 12

Bahagiakah bila berada di negara paling bahagia di dunia??

Alhamdulillah nukilan tak seberapa yang dikarang oleh penulis DKKC telah tersiar di ruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Hantar untuk ruangan 'opinion' keluar jadi rencana plak. tapi tak kisah la..


Rencana

PUNCA DENMARK MENJADI NEGARA PALING BAHAGIA DI DUNIA - MUHAMMAD IMRAN ISMAIL

September 11, 2013
Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013). 
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Nyhavn, pelabuhan kecil di Denmark. Penuh dengan orang tak kira musim panas atau sejuk
Apa yang menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5).  Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana negara di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan rakyat terjaga
Denmark sememangnya cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%.  Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte  (The State's Educational Support). Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Salah satu iklan menarik di Copenhagen. Diskaun untuk membeli cenderamata berdasarkan umur. Umur 52 dapat 52% diskaun, kalau 78 tahun dapat 78% dan kalau 100 tahun, free je kot. 
Selain itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan  majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Berbasikal ke mana-mana saja
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan  itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Nenek warga emas berjoging semasa salji masih tebal
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
P/S: Terima kasih editor TMI sudi siarkan. Terima kasih juga atas pembetulan. Perkataan 'redha' rupanya ejaan yang betul adalah 'reda'. Tapi ada satu lagi editor tak perasaan, perkataan 'and' terlupa dipadam pada perenggan kedua. Tapi tak pe, janji mesej dan info yang nak disampaikan, sampai kepada pembaca 

Monday, September 2

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia di Denmark

Salam kemerdekaan. 31 Ogos baru sahaja berlalu, bagaimana hari merdeka anda? Meraikan bersama ahli keluarga dan sahabat andai atau hanya merayakan hari cuti umum dan hujung minggu dengan beristirehat di rumah? Walau apapun, kami berharap hari merdeka anda tetap ceria dan patriotik!
Sesi bergambar berlatar belakangkan pokok epal yang lebat
Tahun ini kami komuniti kecil di bumi Copenhagen sekali lagi menyambut hari kemerdekaan dan juga aidilfitri di Nivå, Denmark seperti tahun-tahun yang sebelumnya.  Walau jauh beribu batu, masing-masing dengan penuh patriotik bersama-sama meraikan hari kebangsaan yang ke 56.


Alhamdulillah, walau sambutannya hanya secara kecil-kecilan, namun tetap ceria dan meriah. Bak kata rakan-rakan di sini 'Kalau di Malaysia pun, tidak dapat merasai semangat patriotisme luar biasa sebegini'.
Maka benarkan kata orang, bila dah berada diluar negara, barulah sedar betapa bertuahnya kita menjadi warga Malaysia kerana dapat merasaikan keamanan dan kemakmuran'.Lagipun, kalau kita tak sayang negara sendiri, siapa lagi??
Kek khas sempena merayakan hari kemerdekaan dan juga sambutan hari lahir

Walaupun jauh diperantauan, Malaysia tetap di hati. Iyelah kan, 'hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri'.
Tag: komuniti pelajar malaysia di denmark, komuniti rakyat malaysia di denmark, pelajar malaysia di luar negara, sambutan kemerdekaan di luar negara, sambutan kemerdekaan malaysia di oversea, merdeka di luar negara

Monday, August 26

Beraya Di Bergen Dengan Hidangan Daging Ikan Paus

Part 1: Journey of a Lifetime, Norway Fjords (Day 1)

Alhamdulillah, dengan limpah dan kurniaNya sekali lagi penulis DKKC dan Cik Puan Isteri diberi peluang untuk menjejaki ke bumi Norway pada 9 Syawal yang lalu. Kiranya trip kali ni, kami pergi beraya ke bandar Bergen, walaupun tak de jemputan dan saudara mara di sana. Kota yang kecil yang berada di barat Norway itu merupakan bandar kedua terbesar di Norway dan merupakan syurga dunia bagi pencinta keindahan alam. Sebelum ni, kami berpeluang meneroka selama 8 jam ibunegara Norway iaitu, bandaraya Oslo setelah belayar dengan cruise.
Kami mendarat di Bergen Airport, Flesland-Avinor setelah 1 jam 20min merentas Selat Kattegat dan North Sea dari Copenhagen, Denmark menerusi Norweigian airlines. Dari airport, kami menaiki bus untuk ke pusat bandar. Syukur alhamdulillah, urusan perjalanan berjalan lancar walau cuaca tidak menyebelahi kami.

Tip#1: Jarak airport Flesland ke Bergen hanya 17km, 25min menaiki bas. Terdapat dua jenis bas iaitu flybussen dan FlybussBergen. FlybussBergen lebih murah (beza 30NOK) dengan harga 100NOK (RM55) bagi return ticket (student price). Tiket boleh dibeli dengan driver (hanya kad kredit diterima).

Kami berada di Bergen selama sehari, sebelum meneruskan perjalanan menerusi pakej retun trip ’Norway in the Nutshell ®’. Bergen memang merupakan pintu gerbang untuk menerokai keindahan Fjords di Norway. Oleh kerana sisa waktu adalah singkat di Bergen, maka setiap detik waktu yang berlalu tidak dipersia dan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Bandar pelabuhan kecil yang dinobatkan salah satu dari ’European Capital of Culture’ pada tahun 2000 tidak kurang menariknya.

Sedap ke Daging Ikan Paus?
Bandar Bergen cukup sinonim kepelbagaian hidangan seafood yang dikatakan murah dan segar, terbaik dari laut la katakan. Bagi rakyat tempatan, harga yang ditawarkan adalah sangat murah dan hanya dijual seolah pasar tani di Malaysia. Namun, bagi pelancong seperti kami, harga memang boleh tahan mahal. Lokasi tempat pasar seafood adalah 'fish market' di Fiskertorget. Tunjuk saja mana satu pilihan kalbu. King crab, udang kara dan apa saja, maka jurujual bisa masakkan untuk anda samada rebus atau grill. Tapi, bersedialah dengan wang besar. Tapi jangan risau, kalau wang tidak mencukupi anda juga boleh bayar dengan diamond and gold!
Bergen Fish Market
Tip#2Tidak banyak money changer di bandar Bergen. Wang boleh ditukar di Tourist Information Centre bersebelahan Fish Market (tapi, lebih baik tukar wang di airport kerana rate lebih baik). Kalau anda mempunyai matawang Euro, jangan risau kerana kebanyakan kedai souvenirs malah gerai menjual seafoods menerima matawang Euro.

Penulis DKKC begitu seronok kerana dapat mencuba daging ikan salmon dan juga pelbagai jenis kaviar secara percuma di setiap gerai. Antara yang eksotik, adalah pengalaman merasai daging ikan paus. Ikan paus merupakan sejenis mamalia kerana berdarah panas dan mempunyai paru-paru dan juga menyusukan anak. Ikan paus adalah halal dimakan dan tidak perlu disembelih walaupun adalah sejenis mamalia laut. Pandangan dari majoriti Ulama bahawa segala haiwan yang hidup di air hukumnya boleh dimakan kerena termasuk kategori ikan. Dalil yang membolehkannya adalah nas Al-Qur'an surah al-Ma'idah, ayat 96 "Dihalalkan untukmu sekalian haiwan buruan laut dan makanan laut".
Daging paus, sekilo 590NOK (RM323) je
Bagi yang ingin mengetahui apakah rasa daging ikan paus ni, hmm, sebenarnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, namun bagi Penulis DKKC rasanya adalah seperti daging lembu biasa, tetapi tidak liat. Rupanya seperti daging, tetapi warna agak gelap, hampir kehitaman. Oleh kerana tidak puas mencuba secara percuma ’free taste’ yang ditawarkan jurujual, kami memilih sepinggan yang lengkap dengan pelbagai jenis seafood segar sebagai hidangan tengahari. Walaupun, harganya tidak terkira mahalnya, namun apakan daya masa takkan kembali dan peluang hanya sekali, lantas kami pejamkan mata menggores kad kredit bagi menikmati sepinggan ’cold dish’ yang berharga 250NOK (RM 137). Tetapi berbaloi kerana makanan laut tersebut sungguh sedap dan segar, malah kesedapan isi king crab dari Norweigian Sea masih lagi terasa hingga kini dan menari-nari dalam mulut.
sepinggan potato salad, salad biasa, hirisan ikan salmon, ikan salmon berempah, udang halus yang direbus, udang kecil yang manis, udang kara, batang kaki king crab dan juga isi daging paus sungguk enak dicicah dengan honey mustard sauce
Bergen-The City of Rain in Norway
Perut kenyang, hati pun girang. Alhamdulillah. Seterusnya kami berjalan pula ke sekitar Bryggen, kawasan deretan bangunan berwarna-warni yang telah digazetkan sebagai salah satu dari lokasi World Cultural Heritage oleh UNESCO. Bangunan yang dibina sejak 1702 tersebut kelihatan senget bila dilihat dari dekat dan seolah hampir runtuh.  Kompleks deretan 17 bangunan yang diperbuat dari kayu tersebut kini menjadi tarikan pelancong yang menempatkan beberapa galeri dan muzium selain kedai cenderahati dan juga restoran/cafe.
Deretan bangunan kayu berwarna warni bryggen
Hujan rahmat turun mencurah-curah seolah tiada tanda untuk berhenti tidak mematah semangat kami untuk meneruskan pula perjalanan ke Bergenhus Fortress, iaitu tembok pertahanann yang berdiri utuh di muara Bergen yang kini menjadi muzium. Hujan dan Bergen memang tidak dapat dipisahkan. Bayangkan, hujan turun setiap hari berturut-turut selama 85 hari dari 29 Oct 2006 - 21 Jan 2007. Oleh itu, bagi penduduk tempatan hanya ada dua jenis cuaca, sama ada hujan renyai ataupun hujan lebat. Sinar mentari sudah tentu memberi sinar kebahagian kepada warga tempatan. 
Pahlawan viking giat berlatih di medan lapang di hadapan Bergenhus Fortress
Memetik Raspbery Liar di Gunung Fløyen
Bandar bergen dikelilingi oleh 7 gunung. Lantaran itu sukan aktiviti lasak seperti hiking adalah popular di kawasan tersebut. Bagi yang ’malas’ mendaki tetapi masih ingin melihat kecantikan bandar Bergen dari puncak gunung Fløyen, jangan risau kerana anda boleh menaiki kereta kabel/funicular yang digelar ’Fløibanen’. Kami memilih untuk menjadi sedikit ’rajin’ iaitu menaiki funilar ke puncak gunung dan berjalan kaki menuruni bukit yang setinggi 320m. Sebenarnya bukan rajin sangat pun, tapi sebab perlu membayar 40NOK (RM22) bagi menggunakan kereta kabel untuk naik dan turun yang hanya mengambil masa 8  minit!

Tip#3Laluan mendaki naik/turun gunung Fløyen agak tricky kerana tiada papan tanda. Tetapi, anda boleh follow pelancong yang lain, kerana ramai juga yang tidak menaiki kereta kabel, sebab mahal sangat, tapi kalau pelancong tersebut pun tak tahu jalan, anda pun akan turut sesat!
Pemandangan dari puncak gunung Fløyen
Memang cantik pemandangan dari puncak gunung, baru nampak rupanya besar jugak bandar Bergen tu. Perjalanan turun menuruni gunung Fløyen memakan masa hampir 40 minit. Di lereng bukit, banyak sungguh pokok raspberry tumbuh meliar. Cer teka, siapa yang paling ghairah mengutip buah beri liar ni? Tentu la Cik Puan Isteri juaranya. Tekun sungguh memetik, maklum la katanya kat Malaysia tak de pokok raspberry free sebegitu. Lagipun, kat kedai pun mahal harga.
Ini lah rupa raspberi yang berjaya dipetik. Ada yang masam, ada yang manis
Tiada Yang Murah di Bergen
Yang pastinya tiada apa yang murah di seluruh Norway termasuklah di bandar Bergen. Bagi kami yang telah biasa menetap di bandar di negara Scandinavia, iaitu Copenhagen, pun tetap terasa kemahalannya. Bayangkan, sebatang mentimun berharga 16NOK (RM8.50), walhal hanya RM3 sebatang (tu pun dah mahal sebenarnya). Begitu juga minuman jus dan susu, rasanya 20% lebih mahal dari Denmark. Souvenirs pun boleh tahan harganya. Fridge magnet yang cikai pun dah 39NOK (RM21) sekeping! Kebanyakan cenderahati adalah berupa viking dan juga patung 'Troll' yang berwajah hodoh dan sangat tua. Troll merupakan mitos lagenda cereka orang Norway yang mana hidup di balik gunung serta memakan manusia tetapi tidak boleh terkena cahaya matahati.
Troll yang pendek, tua dan hodoh
Part 2: Pengalaman belayar melalui Norway Fjords yang mengagumkan
Tags: pergi ke norway, melancong ke norway, pergi ke bergen, melancong ke bergen, bandar bergen, pasar ikan di bergen, melawat bandar bergen, ada apa di bergen, panduan ke bergen, panduan ke norway


Sunday, August 11

I Ønskes Glædelig Eid!

Salam lebaran.. I Ønskes Glædelig Eid tu maksudnya kami mengucapkan selamat hari raya dalam bahasa danish. Maklumla duduk di perantauan, kena nak ucap dalam bahasa tempatan.

Alhamdulillah pada hari aidilfitri yang lalu, penulis DKKC dan Cik Puan Isteri berpeluang mengadakan rumah terbuka di hari raya yang pertama. Walaupun bilangan yang ada tidak lah ramai, namun sambutannya tetap bermeriah, malah berganda-ganda kemeriahannya. Dan sempat la buat video ucapan beramai buat tatapan keluarga tersayang di kampung.


Yang ni plak, versi bloopers/in the making. Kelakar pulak dengan gelagat masing-masing.


I Ønskes Glædelig Eid!

Sunday, June 2

Denmark from A to Å

Mari belajar ABC. Bukan sampai Z, tapi sampai Å. Al-maklum la huruf-huruf dalam bahasa Danish ada 3 huruf tambahan. So, kali ini Penulis DKKC ingin berkongsi info dan fakta ringkas mengenai Denmark dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya secara index dari A ke Å. Layanzz

A - Amager
Sebuah pulau yang baru dibangunkan dan terletak tidak jauh dari bandar Copenhagen. Kawasan tersebut mempunyai banyak bangunan pelik dan unik. Amager juga terkenal dengan pantai lokasi muda-mudi bermandi manda iaitu di Amager Beach Park. Di situ terdapat 1000m pulau buatan seolah lagun yang menjadi tumpuan untuk bersunbathing di musim panas. Maka makin bertambahlah panas dunia semasa musim panas pabila dugong-dugong berjemur..

B - Bakken
Nama penuhnya Dyrehavsbakken (The Deer Park Hill). Tempat ni merupakan theme park yang tertua di dunia (the world’s oldest amusement park). Bayangkan sejak 1583, Denmark dah pun ada taman tema. Sebelah themepark tu, terpadat Taman Rusa seluas 11km persegi dan setiap tahun diadakan lumba kuda ’Hubertus Jagt’ di musim luruh.

C – Christiana
Satu kawasan yang pelik yang tak jauh dari pusat Bandar Copenhagen. Tempat ni lain sket sebab ianya mendapat Freetown status yang mana mempunyai undang-undang sendiri. Malah, jualan kanabis adalah dibenarkan dijual beli secara bebas.

D – Danmark
Ejaan Negara Denmark dalam bahasa tempatan adalah Danmark. Jangan tertukar pulak, ada kawasan di Perth, Australia juga diberi nama Denmark. Huruf ‘D’ memang berkait rapat dengan Negara ini. Misalnya orang tempatan dikenali sebagai Danes, bahasa yang digunakan adalah Danish, bendera pun ada nama khas, Dannebrog dan juga plat kereta bermula diletakkan label DK.
E - Elsinore
Elsinore merupakan nama tempat di utara Pulau Sjæland dan merupakan bahasa tempatan bagi Helsingor. Di Elsinore terdapat istana lama yang dikenali sebagai Kronborg Castle yang mana terkenal dengan kisah Putera Hamlet.

F – Frilandmuseum
Frilandmuseum merupakan sebuah museum yang menempat rumah-rumah rekabentuk tradisional kawasan tertentu di Denmark. Terdapat juga dua kincir angin kayu senibina lama. Kiranya macam kampung muzium. Yang bagusnya, masuk free.

G - Glyptotek
Museum Ny Carlsberg Glyptotek adalah museum seni yang agak terkenal di Copenhagen hasil sumbangan tauke Carlsberg. Bangunan yang mempunyai senibina ala-ala tamadun mesir dan Golden Age menarik dengan rumah kaca yang gah ditengah bangunan. Ada pokok bunga raya yang segar bugar di tengah-tengah rumah kaca tersebut.. Nak masuk mahal jugak 75kr (RM40), tapi masuk adalah percuma setiap hari Ahad!

Klik>> Cleopatra Datang Ke Copenhagen

H - Hans Christian Andersen
Ikon terkenal ini biasanya dieja HC Andersen dan merupakan penulis cerita fairy tale. Terkenal dengan rekaan cerita kanak-kanak seperti kisah ikan duyung, the ugly duckling, thumbelina dan bermacam-macam lagi.  

J-Jutland
Sebutannnya didengari adalah ’You-land’. Memang la tanah diaorang kan. Kawasan Jutland bukannya pulau tetapi  merupakan sebahagian tanah besar benua Eropah. Jutland bersempadan Jerman dibahagian selatan.

K - Krone (kr)
Walaupun Denmark memasuki kesatuan eropah (EU) sejak 1973, namun Negara Denmark tidak menggunakan matawang Euro dan masih mengekalkan matawang asal yang dikenali sebagai ‘krone’ atau in English bermaksud ‘crown’. Syiling  di Denmark unik unik kerana ada lubang ditengahnya (Syilling di Norway juga berlubang). Wangnya bermula dengan 5 ore (sen), 1kr, 2kr, 5kr, 10kr, 20kr dan wang kertas 50kr, 100 kr, 200kr, 500kr dan juga 1000 kr. Penulis DKKC menyukai corak duit syilling 5kr kerana terdapat 2 bentuk/tanda Love. Kat syilling pun ada Love? Kiut kan?

L - Lego
Lego merupakan permainan kanak-kanak yang berasal daripada Billund, Denmark. Walaupun, Denmark merupakan tanah tumpah darah kelahiran permainan tersebut, harga barangan Lego tidaklah murah seperti yang disangka. Kat Denmark, tiada benda yang murah selain potato dan carrot.

M - Maersk
Sebenar Company Maersk bukan sahaja terlibat dengan dengan perniagaan perkapalan kontena, tetapi turut mempunyai segmen bahagaian oil and gas yang agak besar serta mempunyai rangkaian kedai runcit yang utama di Denmark iaitu Bilka, Føtex dan juga Netto.

N – Noma
Noma atau Nordisk (Nordic) Mad (Mad = Food) merupakan antara restaurant yang terbaik dengan dua Michellin star dan telah mendapat 3 kali berturut title the Best Restaurant in the World iaitu pada 2010, 2011 dan 2012. Tetapi, pada 2013 jatuh ke tempat yang kedua.

O - Odense
Odense merupakan bandar yang ketiga terbesar di Denmark yang terletak di Pulau Fyn (Funen). Bandar ini terkenal sebagai dengan tempat kelahiran HC Andersen.
Klik >> Trip ke Odense

P- pga.
Pga adalah singkatan perkataan ’på grund af’ yang sering digunakan dalam bahasa Danish yang bermaksud ’oleh kerana’. Contoh singkatan perkataan yang lain adalah dvs. (det vil sige) yang bermaksud that is/i.e dan juga osv. (og så videre) yang bermaksud et cetera ataupun etc. Singkatan perkataan sebegini memang diterima pakai walau untuk kegunaan formal. Contohnya dalam surat rasmi atau berita dalam akhbar, osv.

Q - Queen Margrethe
Nama Ratu di Denmark. Tapi orang Danish sebut ‘Ma-gray-te’. Queen Margrethe merupakan Ratu yang pertama menjadi Ketua Negara di Denmark. Dah 40 tahun naik tahta dan merupakan perokok tegar (sampai gigi kekuningan). Di Denmark ada majalah gossip khas yang berkisar kisah royal family. 

R - Rødgrød med fløde

Perkataan paling femes kerana perkataan paling susah nak sebut bagi foreigner adalah rødgrød med fløde. Perkataan tersebut merupakan nama makanan tradisional tempatan iaitu puding buah-buahan dengan krim dan biasa dimasak dengan berry hitam dan merah.

T-Tivoli
Tivoli garden and park merupakan taman tema yang popular di Denmark dan merupakan taman tema kedua tertua di dunia. Walt Disney dapat idea buat Disneyland pun selepas berkunjung ke Tivoli.

U - 'u'
Kalau English menggunakan ‘un’ kat depan bagi perkataan yang kontras contohnya unhappy, unmarried, tapi kat Denmark hanya letak 'u' je. Contohnya uacceptabel=unacceptable, ubetal=unpaid,uægte=fake/false.

V-Viking 
Denmark seringkali dikaitkan dengan orang Viking. Di Roskilde, Denmark terdapat satu museum khas yang agak terkenal dan dikenali sebagai Viking Ship Museum. Kalu nak tahu macam mana gambaran macam mana rupa dan cara hidup orang Viking nih, boleh la tengok cerita anime ‘How To Train Your Dragon’. Tapi yang peliknya, keturunan Viking yang ada sekarang ni (orang Danes), kurus-kurus, tinggi lampai dan hidung mancunngg, tak de rupa viking langsung!

W - vv
W disebut 'double v' dalam bahasa Danish. Kadang-kadang disebut v je.

X - X Factor Danmark
Kat Denmark pun ada X Factor versi sendiri dan diadakan time musim winter. So, setiap malam jumaat kebanyakan Danes akan terpacak depan TV dan merupakan antara rancangan TV yang mendapat view paling tinggi.

Y - Ydmyg
Perkataan tersebut bermaksud 'humble'. Entahlah macam mana nak sebut. Tapi, perkataan sebegini memang berguna bagi orang Danes bila main scrabble.

Z - Zealand
Bukan new Zealand, tapi Zealand atau Sjælland dalam bahasa tempatan. Sjæelland adalah pulau terbesar di Denmark yang juga paling ramai penduduk di mana ibunegara Copenhagen juga terletak di Sjælland.

Ø-Øresund
Øresund merupakan selat yang memisahkan Denmark dan Sweden.

Æ- A+E?
Sebenarnya tak banyak perkataan yang bermula dengan huruf æ ni. Tapi yang paling senang adalah Apple. Kat sini epal adalah æble. Tapi bila disebut, bunyi seolah ’ebler’
Å – ‘A‘ mata satu
Huruf ini merupakan perkataan yang terakhir dalam senari huruf dalam bahasa Danish. Jadi jumlah huruf di Denmakr adalah 31 bukannnya 28 seperti English. Sesetngah keyboard tak de huruf æåø. So, boleh guna standard piawaian gantian iaitu OE untuk Ø, AE untuk Æ dan AA untuk Å. Contohnya Bandar kedua terbesar di Denmark iaitu Århus seringkali ditulis sebagai Aargus begitu juga Bandar Ålborg (Aalborg).

Saturday, May 25

Kejap Sejuk Kejap Panas

Alhamdulillah musim sejuk yang panjang telah pun berlalu, memberi laluan kepada musim bunga pula untuk bertandang. Rata-rata, semua orang menyukai musim bunga. Manakan tidak, bunga-bungaan tumbuh melata di sana sini. Hati mana yang tidak girang.
Sekitar blok tempat belajar di Uni.. rasa macam nak berguling-guling sambil membaca buku..
Oleh kerana dedaun kehijauan tumbuh secara serentak, maka warnanya adalah sekata dan tampak cantik pabila sinari mentari ditambah pula backdrop langit yang membiru. Rumput menghijau pula bak karpet hijau yang terbentang, dan biasanya terselit kekuningan bunga dandelion yang tumbuh meliar. Burung-burung juga berkicau merdu saling bersahutan mengusik cecuping halwa telinga. Maklumla, bila bunga dan putik mula mengeluarkan biji buah, ulat-ulat pun membiak cepat. Maka gembira sakan la sang burung kekenyangan.

Yang sedikit kurang best, di musim bunga ni, cuacanya cepat berubah. Kejap sejuk dan juga kejap je panas. Last week, suhu terpanas direkodkan seantero Denmark bagi tahun 2013, iaitu 27.5oC. Tapi seringkali, angin sejuk masih datang bertamu menjadikan suhu serendah 8oC di malam hari. Oh ya sekarang ni, waktu siang pun makin beransur panjang. Waktu solat Subuh seawal 2.30 pg dan mentari terbenam agak lewat, maka lebih kurang jam 9.45 mlm baru masuk waktu Maghrib.

Sila layan 4 gambar panorama pemandangan ruangan halaman rumah kami di penghujung winter dan juga kini, di musim spring. Dahan yang dulunya hanya tunggul tanpa sehelai daun kini dipenuhi dedaun hijau. Bungaannya pulak ada pelbagai warna. Berputik segar menghiasi hujung reranting. Ada yang bewarna merah, putih, kuning dan juga merah jambu. Walaupun perubahan musim asyik silih berganti, rasa syukur dapat menghayati simfoni alam yang indah ciptaan Allah SWT ni.
Sisa salji yang masih belum mencair- Hujung March 2013
Suasana mula menghijau.- Pertengahan Mei 2013
Pokok-pokok yang masih togel di penghujung winter
Pokok-pokok epal di depan rumah tengah lebat berbunga!
P/S: Kat Malaysia lagi best, sepanjang tahun pokok bunga berbunga, tak kira musim!

Next post: Denmark from A to Å

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...