Saturday, December 7

Belajar dari Denmark, Negara Paling Bersih Rasuah

Alhamdulillah, sekali lagi nukilan tak seberapa coretan penulis DKKC telah tersiar diruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Kalau tempoh hari berkisar mengenai Denmark sebagai negara paling bahagia di dunia, kali ini mengenai budaya orang Denmark yang menjadikan mereka bebas rasuah. 

Rencana

BELAJAR DARI DENMARK, NEGARA PALING BERSIH RASUAH 

December 7, 2013

Global Transparency International telah mengeluarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index) bagi tahun 2013. Badan Ketelusan Antarabangsa yang berpangkalan di Berlin, Jerman tersebut telah menyusun senarai 177 buah negara mengikut darjah di mana rasuah dianggap wujud berdasarkan data hasil penilaian dan tinjauan. Senarai tahunan yang dikeluarkan pertubuhan itu sering dijadikan kayu ukur kepada parti politik, pihak polis, sistem keadilan dan perkhidmatan awam dalam mengukur tahap dan usaha memerangi rasuah bagi sesebuah negara. 
Perkataan rasuah mungkin memberikan konotasi dan maksud yang berbeza-beza. Pertubuhan ini mentakrifkan rasuah  sebagai penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi. Dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Malahan, perkataan “rasuah” itu sendiri berasal daripada perkataan arab yang berbunyi “al-risywah” yang bermaksud “suap”.

Dalam laporan tersebut, Malaysia telah menduduki tangga ke-53 menyaksikan kenaikan satu anak tangga daripada kedudukan ke-54 berbanding 2012. Malaysia mendapat 50 markah iaitu naik satu mata berbanding 49 markah pada tahun sebelumnya berdasarkan penilaian skor daripada 0 ke 100 (0 paling tinggi rasuah ke 100 paling bebas rasuah). Purata markah indeks rasuah seluruh dunia adalah 43 dengan hampir 70 peratus negara di dunia ini mendapat kurang dari 50 markah. Pencapaian dan peningkatan kecil yang diperolehi tidak bermakna Malaysia sudah boleh berpuas hati dan mendabik dada. Kita seharusnya menoleh ke arah negara yang berada unggul di tangga teratas dalam senarai tersebut. Denmark dan New Zealand berkongsi tempat pertama dengan 91 markah iaitu hampir bersih daripada gejala rasuah.

Sememangnya adalah tidak wajar untuk kita membandingkan Malaysia dengan Denmark. Negara Skandinavia itu jelas mempunyai saiz negara yang lebih kecil dengan bilangan penduduk hanya 5.6 juta orang, dan mempunyai KDNK per kapita jauh lebih tinggi. Tetapi, adalah wajar untuk kita mengambil ibrah serta telusuri kenapa dan bagaimana negara tersebut secara berterusan berada di kelompok teratas sebagai negara hampir bersih rasuah sejak Indeks Persepsi Rasuah mula diperkenalkan pada tahun 1995.

Sejarah Denmark dalam memerangi rasuah 
Untuk belajar cara Denmark menangani rasuah, kita haruslah membelek lembaran sejarah sedari tahun 1860. Sewaktu pemerintahan Raja Christian VII dan diikuti oleh anaknya Raja Frederik VI, negara Denmark sudah mula memerangi korupsi. Tindakan keras secara seksaan kepada pesalah dikenakan dikalangan kakitangan istana yang memberi dan menerima sogokan. Tetapi, Raja Frederik VI mendapati undang-undang secara keras tersebut tidak dapat mengurangkan kadar rasuah, lalu Raja tersebut meningkatkan gaji pekerja di samping memberikan pencen yang berpatutan. Raja Frederik VI berpendapat punca rasuah terjadi adalah kerana gaji yang diterima oleh pegawai istana terlalu rendah dan juga disebabkan peri kehidupan yang daif.

Sementelahan itu, Raja tersebut turut mengambil pemeriksa dari luar untuk memeriksa akaun negara dan membenarkan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara bagi mendedahkan sebarang kejadian rasuah. Secara tuntasnya, kita boleh lihat sejak 150 tahun yang lampau, negara Denmark sudah mula mengambil prakarsa bagi membendung gejala rasuah yang nyata boleh membobrokkan sesebuah negara dan hasilnya boleh dilihat kini. Ini adalah kerana, tempoh waktu yang singkat sudah tentu tidak mampu mengubah amalan korupsi yang telah menjadi kudis dalam masyarakat dalam sekelip mata.

Pemerintahan dan pentadbiran yang telus
Walaupun Denmark sudah dinobatkan negara hampir bebas rasuah, namun kerajaannya tidak pernah memandang enteng dalam aspek rasuah. Pelbagai pendekatan telah diambil bagi menambah baik pentadbiran negara. Sejak tahun 1955, terdapat jawatan khas iaitu Ombudsman Parlimen (Folketingets Ombudsmand) untuk menyiasat aduan yang dibawa oleh individu dalam semua perkara yang berkaitan dengan tadbir urus awam, termasuk salah urus oleh pihak berkuasa pusat atau tempatan yang berkaitan undang-undang pentadbiran; undang-undang perlembagaan dan juga hak-hak banduan. Badan yang dilantik oleh parlimen ini juga bebas mengambil inisiatif sendiri untuk menyiasat setiap aduan terhadap mana-mana pihak berkuasa, menteri, waima Perdana Menteri.  


Selain itu, Kod Amalan Baik (Code of Good Practice) turut digariskan bagi semua anggota perkhidmatan awam pada 2007. Malahan, semua menteri diwajibkan untuk melaporkan maklumat mengenai perbelanjaan perjalanan dan hadiah yang diperolehi secara bulanan.  Pada tahun 2009, parlimen di Denmark turut memperkenalkan Skim Keterbukaaan (Openness Scheme) bagi meningkat ketelusan dari segi perbelanjaan dan aktiviti dikalangan wakil rakyat. Semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik perlu mendedahkan semua informasi mengenai perbelanjaan bulanan, kos pengangkutam, aktiviti liburan dan juga saguhati atau hadiah yang telah diterima.

Tender secara terbuka turut diamalkan sepertimana yang digariskan oleh EU yang mana setiap syarikat individu harus menyiarkan dokumen kepada umum setiap pembelian yang bernilai 500,000 DKK ke atas, dengan hanya beberapa pengecualian. Kerja-kerja pembinaan yang bernilai lebih daripada 3 juta DKK juga perlu melalui tender secara kompetitif. Elemen baik sebegini telah menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menanam modal secara tidak langsung menjadi memberikan kesan domino yang baik dan sekaligus memberi impak kepada ekonomi.

Denmark juga adalah antara 62 buah negara yang mengambil bahagian dalam Perkongsian Kerajaan Terbuka (Open Government Partnership). Sebagai sebuah negara anggota, Denmark telah menyatakan komitmen untuk memodenkan sektor awam dan memperbaiki pengurusan sumber-sumber awam. Ini dilakukan dengan meningkatkan, antara lain: ketelusan dalam membuat keputusan melibatkan kepentingan awam, anti-rasuah dan mekanisme melibatkan akauntabiliti, penyertaan dikalangan rakyat serta dialog dengan masyarakat awam. Sehingga kini, hanya Indonesia dan Filipina yang komited dan menyertai Perkongsian Kerajaan Terbuka di kalangan negara Asia Tenggara sejak dilancarkan pada tahun 2011.

Di Denmark, rakyatnya tidak menganggap rasuah merupakan masalah utama dalam masyarakat. Para pengusaha dan peniaga berurusan dengan pegawai-pegawai awam dan ahli politik dengan penuh etika dan integriti. Penjawat awam turut diberikan gaji yang tinggi, setimpal dengan kos sara hidup yang tinggi di negara tersebut. Walaupun cukai yang dikenakan juga cukup tinggi, tetapi rakyat seolah afirmatif kerana sedar dan faham serta dapat melihatkan sendiri kebaikan dari setiap cukai yang dibayar. Mereka juga percaya kesamaan dan keadilan sosial adalah penting bagi rakyat. Lantaran itu, Denmark turut diisytiharkan sebagai negara paling bahagia di dunia pada tahun 2013 berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh U.N. Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kebebasan media massa
Badan Ketelusan Antarabangsa juga melaporkan bahawa kadar rasuah di sebuah negara adalah berkadar secara terus dengan kadar kebebasan media bersuara. Ini jelas terbukti kerana Denmark dikategorikan sebagai negara “bebas” dari segi kebebasan bersuara dan berada di tangga ke-6 daripada 179 buah negara berdasarkan Freedom of the Press Index 2013 oleh Reporters without Borders manakala Freedom House turut menyenaraikan Denmark di tangga  ke-6 daripada 197 buah negara. Malaysia pula masih jauh ketinggalan di tangga ke-145 iaitu turun 23 anak tangga berbanding tahun 2012 bagi Freedom of the Press Index dan berada di tangga ke-146 bagi bagi Global Press Freedom Rankings 2013 yang dikeluarkan oleh Freedom House.

Media yang bebas menggambarkan kepelbagaian pendapat politik dan sering menjadi saluran bagi menyuarakan pendapat dan cadangan. Seringkali media massa tempatan di Denmark mengkritik pihak kerajaan mahupun parti pembangkang secara terbuka. Konsepnya adalah mudah iaitu yang baik dipuji, yang salah tidak dikeji tetapi diperbetulkan. Namun, keterbukaan perlu ada batasnya. Kebebasan tanpa sempadan juga terbukti membawa musibah kepada Denmark apabila syarikat akhkbar tempatan menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad SAW pada tahun 2005 dan mendapat kecaman hebat dari umat Islam dari seluruh dunia. Oleh itu, perlu ada garis sempadan supaya dapat menjaga sensitiviti orang lain, tetapi pada masa yang sama suara orang awam dapat didengari dan rakyat mendapat informasi yang telus.

Sifat jujur dan kepercayaan sosial
Sifat rakyat Denmark sendiri juga wajar dipuji. Sikap saling percaya dan jujur di antara satu sama lain telah berakar umbi sejak dari kecil dan telah menjadi budaya dan amalan seharian. Misalnya, untuk menggunakan perkhidmatan keretapi di sekitar bandaraya Copenhagen, tiada pagar atau halangan untuk penumpang menaiki keretapi. Tiket boleh dibeli di mesin atau di kaunter dan seterus boleh menaiki keretapi dengan bebas. Syarikat keretapi percaya setiap penumpang akan membeli tiket sebelum menaiki kenderaan awam dan rakyat pula tidak pernah culas dan membeli tiket. Kendatipun pemeriksaan tiket hanyalah dibuat secara rambang dan pastinya setiap kali semakan dibuat, didapati hampir kesemua penumpang mempunyai tiket yang sah. Ini adalah kerana rakyat disulami sikap jujur yang tinggi sesuai dengan fasiliti kelas pertama yang disediakan dan juga mentaliti kelas pertama yang ditampilkan.
Poster pilihanraya peringkat local (ADUN) di Denmark pada 19 November yang lalu
Para pemimpin juga dihormati walau berbeza fahaman politik kerana berintegriti. Walaubagaimanapun, negara seperti Denmark juga tidak sunyi dari skandal. Pada November 2013 yang lalu, Menteri Pembangunan Denmark iaitu Christian Friis Bach telah meletak jawatan ekoran pendedahan skandal yang melibatkan bekas perdana menteri Denmark iaitu Lars Løkke Rasmussen yang juga merupakan ketua parti politik pihak pembangkang.  Lars Rasmussen telah dikritik kerana berbelanja secara mewah semasa menjadi pengarah bagi sebuah NGO antarabangsa, Global Green Growth Institure (GGGI) yang beribupejabat di Seoul, Korea Selatan.

Bekas perdana menteri tersebut dilaporkan telah menaiki pesawat dengan menggunakan pada tiket kelas pertama sebanyak 15 kali dengan kos harga purata 64,000 DKK bagi setiap tiket semasa mempengerusikan mesyuarat di luar negara. Oleh kerana NGO tersebut dibawah seliaan Kementerian Pembangunan dan memperoleh dana dari pembayar cukai di Denmark iaitu sebanyak 90 juta DKK setahun, maka pengarah GGGI dan juga kementerian tersebut telah dikecam hebat. Rakyat menuntut agar perbelanjaan lebih berhemat dilakukan dan tiket kelas perniagaan digunakan oleh pengarah serta ahli lembaga pengarah yang lain berbanding kelas pertama kerana ianya melibatkan wang dari pembayar cukai. Lantaran itu, Menteri Pembangunan iaitu Christian Bach secara terbuka mengakui kesilapan dan akauntabiliti terhadap kelemahan kementerian yang beliau uruskan dan meletak jawatan.
Malaysia juga mampu membasmi rasuah
Menjadi fitrah kepada setiap rakyat untuk mendampakan pentadbiran yang dilunaskan secara telus dan bijaksana lantas meningkatkan kepercayaan kepada kerajaan pemerintah. Acapkali kita dengar kempen membasmi gelaja rasuah  dicanangkan dan pelbagai langkah telah dilaksanakan di bawah inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara, tetapi tahap rasuah masih belum berkurangan secara signifikan.

Peningkatan yang marginal bagi Indeks Persepsi Rasuah pada 2013 sama sekali tidak boleh diterima kerana telah banyak duit dibelanjakan. Pada 2013 sebanyak RM252 juta diperuntukkan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala RM14 juta lagi  bagi Jabatan Audit Negara untuk memperbaiki ketelusan dan mengurangkan rasuah di Malaysia. Bagi tahun 2014, peruntukan kepada SPRM ditingkatkan kepada RM298 juta dan Jabatan Audit Negara dinaikkan kepada RM169 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM467 juta untuk kedua-dua agensi tersebut.  Ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani gejala rasuah. Namun, rakyat marhaen berharapkan peningkatan markah Indeks Persepsi Rasuah pada tahun mendatang  juga  sejajar dengan peruntukan yang diberikan bukan setakat retorik kosong dan hasilnya dapat dilihat dengan nyata.
Tidak kira rakyat mahupun kerajaan, adalah amat penting untuk kita bersatu padu mengembleng tenaga membasmi budaya korupsi agar tidak bernanah dalam kehidupan seharian. Pendekatan sentiasa menabrak pihak kerajaan semata-mata adalah tiada maknanya sekiranya kita hanya melihat dengan sebelah mata kejadian rasuah yang berlaku dan seolah-olah merestui sekiranya tidak melaporkan kepada pihak yang berwajib. Malah lebih teruk lagi  jika ada di antara kita sendiri yang bergelumang dengan amalan buruk itu walaupun ianya tidak melibatkan ribuan atau jutaan ringgit. Ini adalah kerana gejala rasuah tidak berlaku hanya dari sebelah pihak. Tiada tangan yang menerima sekiranya tiada tangan yang memberi.
Di dalam ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, Malaysia perlu cepat beradaptasi dengan perubahan dunia agar kita sentiasa seiring dalam memastikan kita terus maju dan kehadapan. Segala ketirisan perlu dikenal pasti, strategi yang progresif dan inklusif harus dicongak segera agar amalan sifar rasuah dapat ditempa dan menjadi paksi pengukuhan dan pemangkin negara untuk mencapai Wawasan 2020 kelak. 


* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Friday, November 8

RumahKu, HotelKu

Aik, pasai pa’ hotelku, bukan ke Rumahku, Syurgaku ke?
Hah..itu la.. kalau duduk di rumah di Denmark ni, dah macam duduk kat hotel. Cuba bayangkan, kalau sewa sebulan mencecah 7,900kr (RM 4,500), maksudnya sewa harian adalah RM 150 sehari, dah macam sewa budget hotel di Malaysia. Kalau menginap di Superior Queen kat Hotel Sri Malaysia di Johor Bahru, baru RM120 untuk semalaman. Itupun siap inclusive breakfast.

Sedar tak sedar, sudah tiga tahun, 2 bulan Penulis DKKC telah berkelana di bumi Copenhagen ni. Dan tak sampai sebulan lagi untuk kembali ke pangkal jalan. Sepanjang menulis di dunia blogging ni, selalu juga terima email bertanyakan tentang cost of living di Denmark dan juga mengenai sewa rumah dan bermacam-macam lagi perkara yang sewaktu dengannya. Jadi di kesempatan ini, Penulis DKKC ingin berkongsi pengalaman menyewa rumah di Denmark. Bukan sebuah rumah, tapi 3 buah rumah, sekadar perkongsian untuk ibrah semua.
Photobucket
Rumah pertama sebelum di deko. Cantik dan luas.
Rumah Pertama : Rumah Jenis Apartment
Lokasi : Grønnevej 54, St. Th., 2830 Virum, Denmark.
Saiz rumah : 79sqm
Spesikasi : Unfurnished. 2 bilik (1 bilik tidur, 1 ruang tamu), ada beranda dan store. Rumah (keseluruhan blok) diuruskan oleh property agent company. Ada spacious build-in clothing cabinet dalam bedroom. Dapur yang agak selesa dengan peti ais (baru), in-house washing machine dan dryer. Siap ada dish washer.
Sewa: 8300kr sebulan. Utilities (Heating dan air panas): 600kr. 
         Total permonth : 8900kr (RM 5,100)
Tempoh menyewa: 15 bulan
Details sewaan : Unlimited contract. Perlu bayar deposit 3 bulan dan 3 bulan prepaid rent (advanced payment)
Persekitaran: Kawasan kediaman dan perumahan di pinggir bandar. Seolah pekan kecil. Kebanyakan rumah didiami oleh orang tua.
Jarak ke Universiti : 4.3km (20min berbasikal), 12 minit menaiki bas (2 zoner)
+ve: Lokasi yang baik, senang akses public transport dan terdapat mini supermarket berdekatan, condition rumah yang sangat baik. Kawasan rumah juga sentiasa bersih kerana diurus dengan baik oleh company (sebab dah bayar monthly maintenance dan representation fee yang mahal).
-ve : Harga sewa yang mahal.
Faktor pindah : Desakan ekonomi. Sewa rumah yang naik setiap tahun. Bertambah naik setelah penambahan double layer cermin keseluruhan blok. Bagi 3 bulan notis. Tetapi keluar awal (2 bulan setelah bagi notis). Deposit 3 bulan hangus kerana company gunakan untuk refurbish setelah move out.

Rumah pertama yang Penulis DKKC dan Cik Puan Isteri menyewa adalah di kawasan aman damai bernama Virum. Alamat rumah-rumah di Denmark sungguh ringkas. Walaupun pendek dan ringkas, kadang kala sukar disebut dengan tepat. Hanya nombor rumah pada nama jalan dan juga poskod kawasan diperlukan. Alamat rumah pertama Grønnevej 54, St. Th. 'St' tu adalah 'Stuen' yang bermaksud groundfloor manakala 'Th' adalah 'Til Hojre' yang bermaksud sebelah kanan. Saiz rumah agak luas dan selesa untuk buat acara kenduri keramaian.

Belakang rumah pula ada padang/taman. Kawasan tersebut juga berdekatan dengan tasik-tasik kecil yang menjadi laluan jogging yang menarik sambil melihat-melihat rumah orang yang kaya raya. Tak jauh dari kawasan itu juga terdapat tasik kedua terbesar di Denmark  iaitu Furesø yang menjadi pusat ski di musim sejuk dan juga tanaman gandum.
Kebun sayur di beranda
Disebabkan rumah ada beranda seluas 5sqm, maka sempatla menanam pokok bunga-bungaan, tulip dan juga sayuran termasuk strawberry semasa musim spiring hingga summer. Kawasan kediaman sungguh aman. Jiran sebelah kiri rumah adalah Mr Thomas Kentorp. Orangnya baik selalu tegur-menegur bila terserempak di tangga. Tinggal sendirian, tetapi jarang ada dirumah kerana sentiasa travel. Dia merupakan naib presiden club kricket denmark (sekarang dah jadi presiden). Manakala sebelah kanan adalah private klinik dan dua rumah sebelah atas didiami oleh Nenek bernama Emma Nielsen (Apa khabar dia sekarang, harapnya masih hidup) dan juga seorang Atuk Misteri yang sentiasa berada di tepi tingkap menantikan kedatangan cucu-cucu. Kedua-dua duduk sendirian, walau sudah berumur 70-an. Semasa kami menetap di kawasan tersebut, terdapat 2 keluarga Melayu yang turut menetap di kawasan sama. Oleh itu, ianya seolah perkampungan kecil rakyat Malaysia. Walaupun hanya ada 3 buah rumah Melayu, tetapi siap ada Tok Penghulu.
Rumah Kedua : Studio Apartment, Blok 3 Tingkat
Lokasi : Kollegiebakken 15A, 1-42, 2800 Kgs. Lyngby, Denmark.
Saiz rumah : 40sqm
Spesikasi  : Unfurnished. Tingkat 1. Hanya 1 bilik (Bilik tidur dalam ruangan tamu) ada beranda dan tiada store tetapi mempunyai bilik wardrobe yang kecil.  Dapur yang agak selesa tetapi hanya ada mini peti ais. Ada in-house washing machine/dryer.
Sewa : 4800kr sebulan. TV dan Internet: 160kr. Utilities (Heating dan air panas): 640kr. Total permonth : 5600kr (RM3,200)
Tempoh menyewa: 12 bulan
Details sewa : Temporary contract. Deposit 3 bulan dan 1 bulan prepaid rent (advanced payment)
Persekitaran : Terletak dikawasan universiti. Keseluruhan blok diuruskan oleh company yang dilantik oleh pihak Univeristi. Kebanyakan adalah student antarabangsa.
Jarak ke Universiti : Dalam kawasan universiti. 1.4km ke office (5min berbasikal), 18 min berjalan kaki.
+ve: Lokasi yang baik, condition rumah yang sangat baik. Block hanya 3 tingkat, tetapi ada lif. End lot (tiada ramai jiran). 
-ve : Rumah sempit. Tiada store. Apabila malam kunjung tiba, sedikit bingit dengan bunyi kereta yang lalu-lalang dari highway.
Faktor pindah : Rumah dijual kepada pemilik yang baru. Pemilik yang baru ingin menetap di situ. Diberi sebulan notis oleh landlord. 100% pulangan semula deposit.

Rumah kedua, jenis studio apartment sedikit istimewa kerana berada dalam kawasan universiti. Namanya Kollegiebakken yang mana Kollegie = College dan bakken = Hill/Bukit. Yang paling best semasa menetap disitu adalah kerana kelas tempat Penulis DKKC belajar bahasa Danish adalah hanya bersebelahan bangunan je. Banyak juga kuliah diadakan dikawasan berdekatan. 3 minit sebelum waktu kelas bermula, baru keluar dari rumah. Dan juga senang pulang ke rumah untuk solat zuhur dan asar semasa senggang waktu rehat kuliah. Lebih menarik boleh kerap ke Gym Universiti hari-hari (subscribe jadi member untuk satu semester (300kr). Boleh tengok video kami berbasikal meredah snow ke tempat belajar [Di sini]. 
Dah la rumah kecik je. Ada pulak immigrant yang menumpang tanpa bayaran sewa hingga beranak-pinak. Kelihatan pokok bunga tulip yang baru membesar sebelum diranapkan oleh si ibu merpati
Oleh kerana rumah kedua adalah end lot (penghujung blok), maka hanya ada seorang jiran yang bernama Steve Jørgensen yang sungguh pendiam dan kurang friendly. Pemandangan sekitar hanyalah laluan trek jogging 5km satu pusingan universiti. So, setiap hari tengok orang berjogging tak kira siang atau malam. Pernah juga tengok orang jogging pukul 4am.

Rumah Ketiga : Rumah Jenis Apartment 2 Tingkat
Lokasi : Holmelinsvej **, 1Tv, 2800 Kgs. Lyngby, Denmark.
Saiz rumah : 54sqm
Spesikasi : Semi-furnished. Tingkat 1. Ada 2 bilik (1 bilik tidur dan 1 ruang tamu). Tiada beranda.
Sewa: 6042kr sebulan. Utilities (Heating dan air panas): 700kr. Antena TV: 80kr, Maintenance fee: 58kr. Sewa basement: 1000kr. Total permonth : 7880kr (RM4,490)
Details sewa : Unlimited contract. Deposit 3 bulan dan 1 bulan prepaid rent (advanced payment)
Persekitaran : Kawasan perumahan lama. Kurang sibuk kerana sedikit jauh dari jalan utama
Jarak ke Universiti : 3.8km (22 min berbasikal), 30 minit menaiki bas (2 zoner)
+ve: Lokasi yang agak baik. 
-ve : Condition rumah kurang baik. Ada sharing loundry facility, tetapi kena bayar untuk washing machine dan dryer. Terpaksa membayar sewa basement yang tidak diperlukan.
Faktor pindah : Tamat belajar.

Rumah terakhir di Denmark merupakan blok apartment yang mempunyai 12 rumah. Kiranya macam kawasan antarabangsa kerana ramai foreigner yang menetap dikawasan tersebut. Jiran sebelah rumah dari Macedonia, depan rumah pasangan dari UK+German, sebelah kanan campuran keluarga pasangan China+Filipina dan satu lagi juga dari Macedonia manakala disebelah lagi ada famili dari India. Tetapi, jiran bawah semuanya orang tempatan. Kawasan rumah tidak diuruskan dengan baik. Walaupun dibayar 58kr sebulan untuk maintenance tetapi mungkin hanya untuk perkhidmatan pembuangan sampah setiap minggu. Rumput jarang dipotong, pokok-pokok tumbuh meliar tidak dicaras dan banyak sampah bertaburan.

Pengalaman Suka duka Mencari Rumah
Proces mencari rumah di sekitar Copenhagen tidaklah semudah yang disangkakan. Bak kata tycoon real estate, three factors need to be considered. Location, Location and Location. Rumah yang lokasi yang baik dengan harga yang berpatutan biasanya akan mendapat persaingan yang sangat sengit. Sudah tentu landlord yang majoritinya adalah orang tempatan akan mengutamakan orang tempatan, lebih-lebih lagi yang sudah berkerjaya. Rumah pertama kami agak senang diperoleh kerana tiada persaingan. Mungkin kerana harganya agak mahal. Bayaran untuk first payment sebelum dapat kunci adalah bayaran sewa untuk 7 bulan iaitu sebanyak 55,700kr (RM31,800) je. 

Rumah kedua boleh la dikatakan rezeki. Setelah hampir 2 bulan subsribe website berbayar agent mencari rumah (3 minggu straight secara aktif mencari rumah), puluhan email dihantar akhirnya dapat rumah yang telah diiklankan di bus stop di kawasan universiti. Iklan tu dah lama, bila hantar email dan menerima email balas yang memaklumkan dah ada orang berminat. So, redha je lah. Tetapi selepas seminggu akhirnya mendapat panggilan yang memaklumkan rumah masih belum berpunya dan landlord offer kami kerana prefer orang yang dah berkeluarga, lebih-lebih lagi ada kaum hawa dalam rumah. Tidak mahu lelaki-lelaki bujang. Dan rasanya pilihannya tidak silap kerana tatkala kami move out dan hand over kunci, terserlah senyuman puas hati dari landlord melihat keadaan rumah yang tip-top bersih tanpa calar dan kerosakan. Manakan tidak, 2 hari kami bertungkus lumus membersihkan dapur, lantai dan toilet. Nasib baik dapat balik semula kesemua deposit.

Mencari rumah ketiga lagi mencabar kerana perlu move out dari rumah kedua dalam masa sebulan. Dalam masa tiga minggu pertama memang mencabar dan stress. Setiap hari survey iklan rumah untuk disewa dengan gigih, akhirnya terlihat satu iklan baru bagi satu rumah apartment yang boleh immediate move in di website. Jarang iklan rumah yang landlordnya letak no. phone. So, dengan penuh harapan call landlord setelah email. Terkejut landlord bila terima panggilan. Katanya baru letak online advertisement dalam 10 min, dah dapat call. Dan dah siap hantar email pulak tu. Kesungguhan terserlah di situ. So, keesokannya buat appointment untuk melihat keadaan rumah. Ada 3 pesaing. Seorang lelaki tempatan, seorang lelaki dari Poland yang dah bekerja nak duduk dengan adik dia dan kami. Setelah tamat sesi open house/house inspection, landlord memang dah bagi hint akan bagi priority untuk sewakan kat kami jika berminat. Mungkin tahu kami ni muslim dan dia pun mungkin muslim jugak berdasarkan rupa paras campuran arab dan nama yang agak islamik. So, tak sempat nak solat istikarah, terus call maklumkan. Terus dapat rumah. Sebenarnya, tatkala itu sudah terima 2 offer rumah apartment yang lain. Harga sewa agak ok,  tetapi kerana lokasinya sedikit jauh iaitu di Soborg (kena consider kos pengangkutan) dan faktor lain iaitu rumah dah fully furnished (kami dah ada perabot sendiri), tiada store, berada di tingkat 3 dan 4 dan juga perlu menggunakan laundry facility berbayar yang jauh dari rumah, maka terpaksa tolak keduanya.
Tentera yang sudi turun padang menolong tatkala pindah rumah. TQ!
Pengalaman Pindah - Memindah
Perkara yang memenatkan dan melecehkan setiap kali perlu berpindah adalah pack barang dan unpack barang. Kami menggunakan khidmat sewa lori kecil mengikut jam kerana lebih cepat dan mudah. Khidmat yang digunakan adalah perkhidmatan 3X34 Transport. Konsepnya senang, bayar mengikut masa yang digunakan. Tempahan lori bermula dari barang pertama yang diangkut ke dalam lori. Maksudnya makin cepat naikkan barang ke dalam lori dan keluarkannya, makin kurang caj yang dikenakan. Oleh itu, kalau ramai tentera yang menolong, maka kurang la sedikit kosnya. Alhamdulillah dua kali kami berpindah, ramai rakan-rakan yang turun padang membantu mana yang patut. Sewa dalam 1-2 jam dikenakan dalam 450kr-700kr berdasarkan saiz lori, jarak dan masa.
Lori Mercedes khidmat 3X34 Transport yang disewa mengikut jam
Pengalaman Menerima Surat Cinta (Complaint)
Kisahnya bermula sewaktu bulan puasa di rumah yang ketiga. Satu hari, pada pukul 4am semasa bersahur, tiba-tiba bunyi pintu diketuk. Lantas dihiraukan, sebab pelik orang ketuk pintu di awal pagi. Selang beberapa hari, pintu diketuk lagi. Rupanya jiran dari rumah bawah datang tegur. Katanya dia tersedar, sebab bunyi bising dari dapur kami. Rupa-rupanya depa boleh dengar bunyi pinggan mangkuk di basuh di singki dan juga bunyi microwave dengan jelas. Oleh sebab musim summer, semua orang membuka tingkap akibat kepanasan, maka bunyi dari dapur kami kedengaran jelas kerana keadaan sunyi sepi di kala pagi. Pada minggu terakhir puasa, jiran datang lagi. Kali ini datang berdua di siang hari dan membawa sekeping 'surat cinta'. Sambil memberi surat, depa maklumkan yang depa tahu orang muslim kena 'breakfast' awal sebab berpuasa. So, depa just mintak tutup tingkap dapur dan kalau boleh cuci pinggan setelah pagi bukan waktu sahur. Teguran secara berdepan tersebut kami menerima dengan hari terbuka.
Surat 'cinta' dari jiran tetangga. Ada smile tu :)
Antara kelebihan berpindah randah ni dapat la melihat perubahan 4 musim bagi ketiga-tiga kawasan rumah. tapi sebenarnya kalau boleh tak mahu berpindah randah. Banyak buang masa dan tenaga selain duit. Lebih-lebih lagi perlu membayar deposit rumah yang baru walhal deposit rumah yang lama belum diperoleh. 

Secara tuntasnya, living cost untuk hidup di Denmark (terutamanya di sekitar Copenhagen) agak tinggi. Hampir keseluruhan Elaun Belajar/Biassiswa yang diterima perlu digunakan untuk membayar sewa rumah. Itu belum kira kos makan minum harian, pengangkutan dan juga bil eletrik dan bayaran lesen media. Maka, perlulah belajar untuk berjimat-cermat. Itulah cabaran hidup diperantauan..pengalaman yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...